Monday, October 11, 2010

Zubaidah korban harta bina saluran air jemaah haji

NAMANYA terkenal bukan disebabkan dia seorang ratu, tetapi sumbangan besar dalam pelbagai kegiatan, termasuk membina saluran air di Makkah dan Arafah yang masih digunakan hingga kini.

Individu yang dimaksudkan adalah Zubaidah, permaisuri Harun al-Rasyid, khalifah Bani Abasiyah.

Nama asal beliau ialah Amatul Aziz. Beliau adalah ratu yang memiliki kecerdasan dan kebijaksanaan, selain terkenal sifat penyayang.

Khalifah Harun al-Rasyid sentiasa mendengar pandangan Zubaidah ketika pemerintahannya. 

Selepas kematian Khalifah Harun al-Rasyid, tampuk pemerintahan diambil alih pula oleh al Amin, putera Zubaidah.

Al-Amin diancam oleh adiknya, al-Ma'mun hingga mencetuskan permusuhan. Kejadian itu menyebabkan Zubaidah berasa sungguh sedih. Padanya, al-Amin berhak menjadi khalifah dan dalam masa sama, beliau amat sayangkan al-Ma'mun dan tidak mahu sesuatu buruk berlaku kepada al-Ma’mun. 

Zubaidah menasihati panglima perang, Ali Isa, untuk memerangi al-Ma'mun dan menasihati puteranya itu. Harapan Zubaidah sia-sia kerana dalam peperangan itu, al-Amin yang terbunuh, bukannya al-Ma’mun.

Untuk menghiburkan hati ibunya, al-Ma'mun menemui Zubaidah dan berkata: “Wahai ibu, janganlah bersedih kerana akulah pengganti al-Amin.” Jawab Zubaidah: “Bagaimana aku tidak bersedih atas seorang anak yang meninggalkan saudaranya sendiri seperti engkau?”

Sejak peristiwa itu, Zubaidah seringkali bersedih, namun kesedihan itu hilang selepas beliau berulang kali menunaikan ibadat haji di Makkah.

Ketika menunaikan ibadat itu, beliau mendapati jemaah haji berdepan dengan masalah memperoleh air di Makkah kerana harga yang mahal.

Zubaidah bersumpah menyerahkan segala harta miliknya untuk melaksanakan projek penyaluran air bagi penduduk Ummul Qura dan jemaah haji pada masa hadapan.

Sekembali ke Iraq, Zubaidah menjemput arkitek dan pekerjanya serta menyatakan rancangannya untuk membangunkan projek berkenaan.

Justeru, mereka berangkat ke Makkah untuk melaksanakan projek saluran air itu yang dianggap suatu pekerjaan sukar.

Ini kerana, pada masa itu, belum ada lagi peralatan canggih seperti yang ada pada hari ini untuk membina projek penyaluran air jemaah haji itu. 

Setelah sekian lama, akhirnya projek itu siap yang membolehkan sumber air dari Wilayah Hunain disalurklan membasahi bumi Makkah. 

Air dari wilayah Nu'man pula disalurkan ke Arafah. Jasa dan sumbangan besar beliau diabadikan dalam projek itu hingga ke hari ini.



No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket