Tuesday, October 26, 2010

Malu Ciri Utama Takwa...

RASULULLAH saw bersabda yang bermaksud: "Malu itu adalah sebahagian daripada iman" (riwayat Muslim dan At-Tirmizi). Berdasarkan hadis ini, orang yang mengaku beriman perlulah punya sifat malu. Apabila berkurang atau tiada rasa malu, maka itu tanda kelemahan atau ketiadaan iman.



Ini kerana iman dan rasa malu mempunyai kaitan atau hubungan yang sangat erat. Perhatikan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Malu dan iman itu adalah satu rumpun. Apabila terangkat (hilang atau tiada) salah satu (daripada kedua- duanya), maka hilang pula yang lain" (riwayat Al-Hakim).

Rasulullah, menerusi hadis itu jelas mahu mengajar atau mendidik umatnya agar bertabiat atau bersifat pemalu. Ini kerana baginda adalah seorang yang sangat atau paling tinggi sifat pemalunya, malah dikatakan sifat malu baginda lebih tinggi daripada pemalunya gadis pingitan.

Mengapa Rasulullah mengaitkan iman dengan rasa malu? Ini kerana orang yang memiliki iman atau kuat rasa keimanannya, tentu akan mempunyai perasaan malu. Apabila perasaan malu tidak ada, bermakna iman sudah tidak ada. Demikianlah sebaliknya.

Sesungguhnya kita manusia memang tidak terlepas daripada melakukan dosa atau kesalahan. Apabila ada di kalangan manusia yang berbuat sesuatu dosa dan kesalahan, baik kepada Allah mahupun manusia, lalu rasa penyesalan yang mendalam terbit dari hatinya lantaran didorong oleh perasaan malu kepada diri sendiri, orang lain, apatah lagi kepada Allah.

Dalam ayat 135, surah Ali Imran, Allah memperjelaskan kepada hamba-Nya bahawa orang yang bertakwa itu bukanlah mereka yang tidak pernah mengerjakan kesalahan atau berbuat silap tetapi orang yang punya sifat takwa ialah yang cepat-cepat bertaubat dengan bersungguh hati di hadapan Allah sesudah menyedari atau terlanjur melakukan kesilapan.

Pernyataan taubat ini tentunya diiringi tekad yang sungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi apa juga kesalahan yang boleh membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah.

Rasa malu dan iman itu adalah dua perkara yang tidak boleh terpisah. Ini kerana seseorang yang benar-benar mempunyai rasa malu dalam melakukan apa saja perbuatan keji atau tercela, bermakna orang itu mempunyai iman yang teguh dan kuat pula.

Perlulah kita yakin bahawa keimanan akan memberi dorongan kepada seseorang untuk menjauhi sebarang kerja maksiat.

Insaflah bahawa Allah sentiasa mengawal atau mengawasi setiap perlakuan hamba-Nya. Sebarang dosa yang walau sekecil mana pun pasti dicatat oleh malaikat yang ditugaskan khusus oleh Allah.

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket