Saturday, June 11, 2011

Benarkah Perbankan Islam Lebih Mahal & Zalim ?

Melalui tulisan ini, saya akan cuba menjawab beberapa persaoalan yang seringkali kedengaran di kalangan masyarakat Islam khususnya, bagaimanapun, sedikit malang kerana kerap kali isu yang dijaja ini tidak disandari oleh fakta yang jelas, spesifik dan mantap.

Silap Faham Masyarakat 

Masih segar di ingatan saya, salah seorang pemuda yang kelihatan kuat pegangan Islamnya mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang amat kerap saya mendengarnya
" Mengapa bank Islam lebih mahal dari yang Riba ? ". Tatkala saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan demikian.
Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab : "Sebagai contoh" katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan pembiayaan perumahan bank Islam jauh lebih tinggi dari Perbankan Konvensional, bagaimana tu ustaz ?" katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.
Saya bertanya kembali, " bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? " kata saya, "adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh Bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" Tanya saya lagi.
Pemuda itu menjawab : "bank Islam ini mengenakan kadar 7.60 % setahun untuk tahun ke tiga ke tiga puluh", manakala bank konvensional hanya mengenakan  6.75 % , tambahan pula, bank islam kena bayar RM 1050 sebulan, bank konvensional hanya RM 850 sahaja " katanya membawa contoh dengan amat yakin.

Teknik Yang Tidak Disedari

Inilah antara bentuk kekeliruan yang menjalar di kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini. Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, Perbankan Islam hanya mengenakan 7.60 % (tahun 3-30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar ?. Bank Konvensional tidak menawarkan bayaran bulana sedemikian kekal sehingga 30 tahun, ia akan disemak dari masa ke semasa.

Manakala jika dilihat kepada  pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR ( Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25 % (sebagai contoh). Bagaimana jika % BLR melambung tinggi seperti 10 % sebagaimana yang berlaku ketika krisis ekonomi?, bukankah tatkala itu, kadar interest yang perlu di bayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi telah menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati untuk memberikan rebate  (ibra') atau diskaun jika pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement'. Perlu dingat bahawa BLR telah naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6 % sehingga 6.75 %. Ia juga boleh melonjak lagi bergantung kepada keadaan ekonomi.
Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan amat boleh dipertikai. Malah jika dilihat kepada kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Perbankan Islam untuk produk-produk pembiayaan perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara dengan yang di tawarkan oleh Bank Konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar untuk didedahkan kerana sesuatu kadar pembiayaan itu bergantung kepada dua hal terpenting :-
·         a) Kadar Pengurusan Minima ( Cost of Fund ) sesebuah Bank islam itu.
·         b) Prestasi dan kekuatan sesebuah organisasi yang memohon pembiayaan.
·         c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.
Semua yang disebut di atas akan mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon.

Zalim ? 

Saya sedar, bahawa walaupun saya telah menerangkan hujjah di atas, akan terdapat orang ramai yang mula menyebut :
" jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional?, kami ingin kamu menjadi lebih murah".
"Bukankah bank Islam ni patutnya 'maqasid' (tujuannya) adalah untuk membantu umat Islam, lalu kenapa mahal ?" Tanya seorang pelajar Sarjana (MA) kepada saya di sebuah IPTA.
Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah Ketua Jabatan Fakulti Shariahnya. Lalu saya terus melihat kepada Prof ini lalu saya bertanya pula :
"Prof. jika saya nak buat PhD di sini dalam bidang Fiqh Islam & Perbankan Islam, berapa yurannya?"
" Lebih kurang RM 13,000" katanya
"Mengapa begitu tinggi Prof, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji.
"Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Prof tersebut.
Demikianlah dapat saya simpulkan hal di Perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami bahawa Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.
Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, jika kita 'mengutuk' sebuah kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harag yang sama atau lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan, dan ia juga halal.

Kunci Untuk Faham 

Bagi meneruskan jawapan persoalan ini, adalah terlebih baik jika pembaca dapat menghayati fakta berikut terlebih dahulu :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan agar organisasi dapat mara lebih maju lagi ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat di kekalkan bagi meneruskan "bank's efficiency" dan "its competitiveness".

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru jika khidmat yang di tawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula :-

a) Jika anda mengatakan bahawa, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia perlu membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari bahawa, kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga agar mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi SAW tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Ia adalah kerana Nabi SAW tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan, justeru, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran, ia adalah dibenarkan. (Mahanij Ijtihad Fi Istinbad bi rakyi, Dr Fathi Ad-Durayni, ketika menghuraikan isu tas'ir iaitu penetapan harga oleh kerajaan)

b) Jika anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami bahawa jika sesebuah bank islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, Bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan "charity" yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu langsung untuk mendekati Bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh Bank-Bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh Bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui bahawa jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh Bank-Bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut :  RHB ISLAMIC Bank : RM 920 ribu, HSBC Amanah : RM 49 ribu, Maybank "Islamic windows": 1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": 55 ribu ; Hong Leong Islamic : RM 45 ribu  Rujukan : Laporan setiap Bank Berkenaan bagi Tahun Kewangan 2005). Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?.

c) Keuntungan baik yang diperolehi oleh Bank-Bank islam juga akan membolehkan Bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di Perbankan Konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan pemikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar pembiayaan sahaja.

d) Tidakkah anda sedar bahawa, apabila bank mendapat kentungan yang baik, maka ia juga akan menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah, sudah tentu penyimpan ini akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di dalam akaun simpanan jenis wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah' yang lebih menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Jika hujjah ini masih lagi tidak mencukupi, saya sertakan lagi hujjah lain bagi memahamkan rakyat Malaysia terhadap perbankan Islam :-

1)      Nilai sesuatu yang halal adalah tidak ternilai.
Seorang usahawan Malaysia pernah memberitahu saya pengalamannya di London, bahawa harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal dari ayam yang tidak di sembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Demikian analogi yang ingin saya utarakan; jikalau benar sekalipun tuduhan yang mengatakan produk Bank Islam lebih mahal ; perlu diingat ia telah dipastikan halal di sisi Shariah menerusi pengesahan Majlis Penasihat Shariah masing-masing berbanding produk-produk yang tidak di ‘sah' kan Shariah.

Satu fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini apabila wujud di kalangan orang Islam yang amat mengambil berat agar tidak memakan makan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan bahaya dosa keterlibatannya dengan Riba, sedangkan dosa Riba adalah jauh lebih berat dari memakan ayam bangkai atau khinzir.

2)      Kos tambahan untuk khidmat professional pengesahan Shariah.

Jika dilihat dari perspektif perniagaan dan logik pula. Perlu kita sedari bahawa  proses pengesahan Shariah amat diperlukan di dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan oleh Bank Islam. Justeru, keadaan ini boleh di anggap sebagai satu proses penambah piawanan professional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang di tawarkan Bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses Shariah Screening. Sesuatu yang lebih unik dan berkualti sudah tentu mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.
Ini ternyata dari statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 yang menyebut bahawa aset semua Bank-bank Islam dan Jendela Perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM 111.8 Billion dan ia hanya merupakan 11.6 % dari kesleuruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7 % berbading tahun 2004.

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang di tawarkannya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia bolehlah dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di Kedai Runcit di bandingkan dengan harga di hypermarket. Sebagai penguat hujah ini, seseorang perlu memahami bahawa sebuah bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM 150 billion (sebagai contoh), jika ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) dari peminjamnya  berjumlah RM 150 juta, kedudukan Bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya sesebuah bank Islam dengan asetnya berjumlah RM 8 billion, mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar yang sama, sudah tentu ia akan amat memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, Bank-Bank Islam serta kaunter/ jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20 % aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Jika hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal dari institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam

Oleh:
Ust Zaharuddin Abd Rahman

No comments:

Post a Comment

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket