Saturday, November 20, 2010

AMBANG IMTIHAN...


Ambang peperiksaan sudah semakin dirasa. Semua mahasiswa dan mahasiswi bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran. Setiap saat dirasakan makin berharga, setiap detik dirasakan semakin cepat berlalu. Hanya tinggal beberapa jam lagi untuk berjuang. Namun, sedarkah kita??Saudara-saudara kita dibumi Palestin sudah lama berhempas pulas melontarkan peluru dengan sepenuh jiwa dan raga untuk memperjuangkan Islam. Ya Allah berilah kemenangan untuk umat Islam. Hidup Islam!!Sama-samalah kita doakan saudara-saudara kita di bumi Palestin. Pun begitu, berbeza kita di bumi Malaysia ini yang hanya perlu mengangkat sebatang pen sahaja untuk menegakkan syiar Islam. Ya Allah betapa berbezanya perjuangan kita. Tapi matlamat kita adalah SATU iaitu untuk kebangkitan ISLAM..

Disini, suka ana memperingatkan diri ana sendiri dan sahabat-sahabat sekalian. Dalam kita bertungkus lumus mengulangkaji pelajaran jangan lah kita alpa pada ALLAH TAALA. Sebelum ini, tak pernah kita bangun untuk berjaga malam. Namun disebabkan untuk mengejar IJAZAH dan POINTER kita sanggup bangun malam untuk mentelaah. Amat berbeza sekali dengan sahabat-sahabat Rasulullah dahulu. Mereka berjaga di malam hari untuk mengabdikan diri pada ALLAH TAALA dan disiang hari menggunakan sepenuhnya tenaga yang ada untuk melawan musuh-musuh ISLAM. Tetapi kita pada hari ini, adalah sebaliknya, kita bangun di tengah malam adalah semata-mata untuk mentelaah pelajaran yang belum habis lagi di baca demi untuk mengejar segulung  IJAZAH.Alangkah bagusnya jika kita terapkan dalam diri kita bangun dimalam hari untuk mengabdikan diri pada ALLAH TAALA, selepas itu kita sambunglah mentelaah kembali. Ganjaran dunia kita dapat, ganjaran akhirat pun kita peroleh.

Ingat!!!Jangan kerana banyak subjek kita tak sempat ulangkaji, jangan sampai kita melewat-lewatkan solat. Dibimbangi yang dikejar tak dapat, yang dikendong berciciran. Jika pun kita Berjaya, takut ilmu itu tak diberkati ALLAH. Perbetulkan balik niat kita. Belajar kerana Allah Taala, bukan semata-mata mengejar IJAZAH. IJAZAH adalah wasilah untuk kita memberi kemenangan kepada ISLAM.
Sahabat, teruskan bermujahadah. Jangan putus asa. Jadikan imtihan ini sebagai wasilah untuk kita menegakkan ISLAM. Pastikan kejayaaan milik kita bersama. Firman Allah Taala:  

Sesungguhnya berjayalah orang-orang Yang beriman -Surah Al-Mu’minun:1

Sesiapa yang meletakkan USAHA + TAWAKAL kepada ALLAH TAALA=KEJAYAAN. 

اللهم ربنا هب لنا من لدنك رحمة وهيئ لنا من أمرنا رشدا، يسر أمورنا يا الله، رب يسر ولا تعسر فإن تيسير عليك يسير، اللهم   تمم بالخير، اللهم تمم بالخير، برحمتك يا أرحم الراحمين
Ameen....

Sunday, November 14, 2010

UNTUKMU MUJAHIDAH SEJATI

Mujahidah Sejati
Intan permata mutiara mahkota
Seindah pelangi di cakerawala
Menghiasi taman indah nan permai

Mujahidah sejati
Engkaulah serikandi pembela agama
Peribadi solehah hiasan diri
Subur dengan iman dan ketaqwaan

Mujahidah sejati
Akhirat utama kerana dunia bukan pilihannya



Mujahidah sejati
Hatinya berbeza kerana diasuh iman dan taqwa


Mujahidah sejati
Berbekal Al-Quran dan As-Sunnah

Bersulam pengorbanan

Bisa menggegarkan isi dunia


Mujahidah sejati
Terus subur mekar mewangi

Seindah suria menerangi bumi

Harapan ummah yang abadi


Mujahidah sejati
Menyoroti langkah Khadijah,Aisyah,Fatimah

Menjadi muqarrabin bermujahadah

Menuju cinta dan kasih Allah


Mujahidah sejati 
Paras rupa bukannya ukuran

Nilainya sama disisi Tuhan

Cuma ibadah yang membezakan

Wanita solehah disisi Tuhan


Mujahidah sejati
Berhati-hatilah hasutan dunia

Kerana ia merbahaya

Jangan biarkan ia bertakhta

Dalam diri dengan dosa-dosa


Friday, November 12, 2010

Ya Allah siapalah aku disisi Mu..

begitu juga disisi makhluk2 Mu
aku hanyalah hamba Mu yang paling lalai..
akulah hamba Mu yang paling leka..
akulah hamba Mu yang paling zalim
akulah jua adalah hamba Mu yang paling hina.

Ya Allah jika pernah tecipta oleh Mu manusia yang paling lalai di dunia ini..
ketahuilah bahawa ia adalah aku..
Ya Allah jika penah Engkau wujudkan manusia yang paling leka di muka bumi ini..
ia adalah hamba Mu ini...

Ya Allah sesungguhnya tiada daya upaya aku untuk menjauhi segala keburukan..
dan tiada daya upaya aku jua untuk melakukan segala kebaikan dan ketaatan..
melainkan dengan bantuan dan pertolongan Mu,
melainkan dengan hidayah dan pertunjuk Mu
melainan dengan kasih sayang dan cinta Mu
melainkan dengan rahmat,berkat dan redha Mu Ya Allah...

aku ini lemah.. telalu lemah Ya Allah..
ampunilah segala dosa-dosa hamba Mu ini..
maafkankanlah segala kesilapan dan kesalahan ku ini..
sesungguhnya hamba ini tidak mampu hidup walau sedetikpun tanpa Mu....

amin Ya Rabbal Alamin..


Salahkah Jika Wanita Meminang & Menawar Diri Kepada Lelaki ?

Oleh ustaz Emran Ahmad

Di dalam Islam kita sebagai muslim haruslah mengutamakan Al-Qur’an dan sunnah sebagai panduan dan bukan akal, bukan persekitaran atau pun adat. Firman Allah swt :
" Wahai orang-orang yang beriman taatlah kamu kepada Allah dan taatlah kamu kepada rasul dan Uli al-Amri (Orang-orang yang mengurus hal ehwalmu penguasa dari kalangan kamu.." (An-Nis:59).
Sekalipun dalam kaedah fiqhiyah menyebut “Al-A’dah Muhakamah” iaitu adat itu menjadi penghukum dan diambil kira dalam menentukan keputusan (lihat dalam Al-Wajiz fi Qawaid fiqhiyah m/s 100) namun sebenarnya pemahaman terhadap kaedah ini sering disalah erti oleh orang awam.


 “Kebanyakan mereka, tidak menurut melainkan sangkaan sahaja. Sesungguhnya sangkaan itu tidak dapat menentukan sesuatu dari kebenaran (iktikad). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui akan apa yang mereka lakukan” (Yunus : 36).
Dimaksudkan adat sebagai diambil kira dalam hukum dan keputusan ialah apabila tiada dalil dan pertunjuk yang jelas dalam sesuatu perkara dari Al-Qur’an dan sunnah dan tidak wujud riwayat dari para sahabat dan salaf soleh. Selain itu terjadi adat sebagai pertimbangan hanya dalam perkara furu’ yang berbentuk kaedah pelaksanaan bukan dasar atau pegangan. 
Misalnya dalam ibadah korban, jika pelaksanaan ibadah tersebut dilakukan di Malaysia maka adat terpakai dengan melakukan korban mengunakan binatang yang mudah didapati dan biasa dibuat korban misalnya lembu atau kambing bukan unta atau kibasy yang hanya terdapat di Negara arab. Begitulah juga adat terpakai dalam penakrifan sesuatu perkara menurut sesuatu kaum misalnya orang yang bersumpah nazar tidak mahu memakan daging lalu dia memakan ayam kerana menurut kebiasaan daging merujuk kepada lembu, kerbau dan ayam tidak dikira sebagai daging demikianlah contoh pelaksanaan adat.


“Dan jika kamu hanya mengikut kebanyakan orang di muka bumi ini nescayalah mereka akan menyesatkan kamu dari jalan Allah” (Al-An’am : 116).
Adapun dalam hal ibadah dan perkara dasar Islam seperti nikah dan perkahwinan yang merupakan sunnah dan ketetapan syariat maka hendaklah kita merujuk kepada Al-Qur’an dan sunnah selagi terdapat pertunjuk dan panduan dari keduanya. Sebagaimana sabda baginda rasulullah : " Aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang jika kamu berpegang padanya tidaklah kamu akan sesat selamanya iaitu kitab Allah (Al-Quran) dan sunnah rasulnya." (Hadith Hasan, riwayat Malik dalam Muwatha no.898 dan Hakim dalam Mustadrak no.63).
Sesungguhnya di dalam Islam disyariatkan kepada seorang wanita untuk menawarkan dirinya kepada lelaki yang soleh dan beragama apabila dirinya mendapati lelaki tersebut benar akhlaknya dan benar peribadinya menurut syariat Islam (lihat Sahih Fiqh Sunnah m/s 107 Jilid 3). Diriwayatkan oleh Abu Hurairah ra bahawa telah bersabda baginda rasulullah salallahualaihiwasalam : 
“ Jika datang kepada kamu seorang lelaki yang engkau redhai agamanya dan akhlaknya untuk meminang perempuan kamu maka nikahkanlah dia jika tidak kamu lakukan demikian maka akan timbullah fitnah dan kerosakan” (hadith hasan riwayat Tirmidzi no 1084). 


Perbuatan menawarkan diri kepada lelaki yang soleh dan beragama bukanlah sesuatu yang aib dan memalukan sebaliknya merupakan sunnah dan kebaikan ini berdalilkan kepada hadith dari Anas ra yang berkata telah datang seorang wanita kepada baginda rasulullah salallahualaihiwasalam dan menawarkan dirinya kepada baginda dengan berkata : 
Wahai rasulullah apakah engkau berhajat kepada aku ? lalu ketika menceritakan hadith ini maka menyampuklah anak perempuan Anas ra dengan mengatakan sungguh kurang malu perempuan itu dan buruk akhlaknya, lalu dijawab oleh Anas ra : Sesungguhnya dia itu (perempuan yang menawar diri) lebih mulia dan baik darimu kerana dia mencintai nabi salallahualaihiwasalam dan menawar dirinya demi kebaikan” (lihat hadith sahih dalam riwayat Bukhari no 5120 , Nasaie dan Ibn Majah). 
Sesungguhnya hadith di atas tidaklah hanya mengkhususkan kepada baginda rasul sahaja bahkan ianya menjadi contoh teladan kepada semua wanita muslimah dan dibolehkan mereka menawarkan diri mereka kepada semua lelaki soleh muslim yang mukmin kerana apa yang terjadi kepada rasul selagi tidak dikhususkan maka ianya merupakan perbuatan sunnah yang umum.


“Sesungguhnya, adalah bagimu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan keredhaan Allah dan balasan baik hari akhirat, serta ia pula menyebut dan banyak mengingati Allah.” (Surah Al-Ahzab : 21).
Adapun menjawab ayat al-Qur’an yang menyebut kekhususan hanya untuk nabi seperti :


“Dan perempuan mukminah yang menghadiahkan dirinya kepada rasul jika rasul suka mengahwininya; sebagai perkainan hanya khusus bagi kamu dan bukan untuk orang yang beriman yang lain ” (Al-Ahzab : 50).
Dimaksudkan pengkhususan di sini ialah dalam masalah maskahwin iaitu dikhususkan untuk rasulullah bernikah dengan perempuan yang menghadiahkan dirinya kepada baginda nabi tanpa perlu baginda membayar maskahwin sedangkan bagi umat Islam yang lain diwajibkan membayar maskahwin namun untuk nabi diberi pengecualian (lihat Tafsir Al-Qur’anul Azim oleh Ibn Katsir ra m/s 124 Jilid 3). Sebagai kesimpulan adalah menjadi sunat dan galakkan kepada wanita muslimah bagi menawarkan diri mereka kepada lelaki yang soleh dan beragama jika benar lelaki tersebut dilihat dapat membimbing diri mereka dan memandu mereka ke jalan yang benar. 
Malu itu sebahagian dari iman seperti yang disebut dalam hadith Ibu Umar ra bahawa baginda rasul menyebut : “Sesungguhnya malu itu sebahagian dari iman” (hadith sahih riwayat Bukhari no 24 dan Muslim no. 36 , Abu Daud, Tirmidzi, Nasaie dan Ibn Majah). Begitu juga dalam hadith yang lain baginda mengatakan : “Sesungguhnya tidaklah datang malu melainkan membawa kebaikan” (hadith sahih riwayat Bukhari no 6117 dan Muslim no 37). 
Sungguhpun wanita Islam yang muslimah dan solehah itu akan mempunyai malu dan sebagai perempuan, sifat malu itu merupakan perhiasan namun tidaklah patut malu itu menahan dari tercapainya kebaikan dan terlaksananya fitrah dan amal ibadah kerana golongan yang beriman dan solehah itu antara ciri-ciri mereka ialah bersegera kepada kebaikan dan kebajikan.  “Dan bersegeralah kamu (berlumbalah) dalam kebaikan” (Al-Maidah : 48). Bagi mereka yang merasa malu dan segan menawarkan diri secara berdepan mereka boleh menggunakan bahasa lapik atau perumpamaan, sindiran, kiasan atau mengunakan orang tengah dan perantara sebagai menyampai pesanan dan hasrat . 
Berkata Ibn Hisyam ra dalam mengisahkan teladan Khadijah ra dalam menawarkan dirinya kepada rasulullah dengan mengutuskan perantara (orang tengah) bagi menyampaikan hajatnya kepada rasulullah dengan menyampaikan pesanan khadijah ra : “Wahai anak saudara pak cikku, sesungguhnya aku telah tertarik kepadamu dalam kekeluargaanmu dan sikap amanahmu dan kebaikan akhlakmu dan benarnya kata-katamu….” (lihat Sirah Nabawiyah oleh Muhammad Abd Malik Ibn Hisyam m/s 122 Jilid 1). 
Siapakah wanita Islam yang lebih baik dari Khadijah ra ? Wanita pertama Islam, serikandi utama dan mulia yang disebut dalam hadith yang sahih dari riwayat Ummul Mukminah Aisyah ra dengan katanya : Aku tidak pernah mencemburui mana-mana isteri nabi melainkan Khadijah walaupun aku tidak pernah menjumpainya lalu beliau menceritakan : Sesungguhnya rasulullah apabila menyembelih kambing akan berkata : “Hantarkanlah sebahagian daging ini kepada sahabat Khadijah” lalu berkata Aisyah dengan marah pada suatu hari : Khadijah ? (iaitu seperti mempersoalkan kenapa Khadijah) lalu dibalas oleh baginda rasulullah : “ Sesungguhnya aku diberi rezeki oleh Allah untuk mencintainya” (hadith sahih riwayat Muslim no. 134 Jilid 7 dalam kitab Al-Minhaj). Sesungguhnya Ummul Mukminah Khadijah ra yang kini di jannah merupakan wanita pertama dan mulia yang menawarkan dirinya kepada baginda demi mencari kebaikan dan kebajikan.


“ Tidaklah kami tertinggalkan sesuatu perkara pun dalam kitab melainkan telah kami terangkan segalanya” (Surah Al-An’am : 38).


Thursday, November 11, 2010

ISTEMEWA BUAT CALON ZAUJKU...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Mengasihani.
Assolatuwassalam, selawat dan salam buat junjungan mulia, Muhammad saw Kekasih Istimewa. 

Salam Sejahtera buat calon suamiku,
Moga Allah sentiasa merahmati dan memberkati dirimu, namun doaku tidak pernah putus mengiringi setiap langkahmu demi meraih keredhaanNya…
“Seindah perhiasan dunia adalah wanita yang solehah”
Kumulakan warkah ini dengan bait indah yang ditinggalkan Rasulullah saw kepada seisi alam. Wanita solehah! Idaman semua muslimin di alam maya ini.. Alhamdulillah, itulah anjuran Islam yang kita cintai, pilihlah wanita yang mampu menyejukkan pandanganmu dan juga baitul muslim yang bakal dibina tika sampai saat itu, insyaAllah.
Calon zaujku
"Dinikahi seorang wanita itu kerana empat perkara hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya. Maka pilihlah hal keagamaannya, maka beruntunglah kedua-dua tanganmu.."
Telah dinukilkan panduan sepanjang zaman, itulah lirikan utama buatmu memilih calon isteri. Tiap baris itu telah menjadi hafalanku sejak aku mengenali dunia baligh ini. Jika harta yang kau idamkan, ketahuilah diriku tidak punya apa-apa harta di dunia ini melainkan ilmu agama yang telah dititipkan buatku oleh umi dan abah. Tiada harta untuk kupersembahkan dalam taklik ijab kita nanti. Tiada harta sebagai jaminan bahawa kau akan menikmati sedikit kesenangan apabila ijab bersaksi telah dilafazkan. Hanya ketenangan yang mampu aku sediakan buatmu kerana aku pernah terbaca kata-kata ...
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Nya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikannya di antaramu rasa kasih dan sayang.¨(Ar-Rum: 21)
Jika keturunan yang mulia itu yang kau dambakan, ketahuilah jua aku hanyalah anak orang kampung biasa. Namun apa yang pasti, aku adalah keturunan mulia, ayahanda Nabi Adam as dan bonda Hawa as, sama seperti mu. Ingin aku berkongsi lafaz sahih ini denganmu ...
"... maka bertawakkallah kepada Allah, sesungguhnya Allah mengasihi orang yang bertawakal kepadaNya. Jika Allah menolong kamu maka, tiada seseorangpun yang boleh menghalang kamu, dan jika ia mengecewakan kamu, maka siapakah yang dapat menolong kamu sesudah Allah (menetapkan demikian) ? dan ingatlah kepada Allah jualah hendaknya orang yang beriman itu berserah diri..." (Ali Imran : 159-160)
Kecantikan, itulah pandangan pertama setiap insan. Malah aku meyakini bahawa kau juga tidak terlepas seperti insan yang lain. Ketahuilah, jika kecantikan itu yang kau inginkan daripada diriku, kau telah tersalah langkah. Tiada kecantikan yang tidak terbanding untuk kupertontonkan padamu. Telah aku hijabkan kecantikan diriku ini dengan amalan ketaatan kepada tuntutan agama yang kucintai. Kau hanya membuang masa jika kau menginginkan kecantikan lahiriah semata-mata. Aku tidak menjanjikan aku mampu membahagiakan rumahtangga kita nanti, kerana aku memerlukan engkau untuk bersama-samaku menegakkan dakwah islamiyyah ini, dan aku merelakan diri ini menjadi penolongmu untuk membangunkan sebuah markas dakwah dan tarbiyyah ke arah jihad hambaNya kepada Penciptanya yang agung. Melalui pencarian ilmu agama bersama, marilah kita jadikan pernikahan ini sebagai risalah demi meneruskan perjuangan Islam. 
Aku masih kekurangan ilmu agama, tetapi berbekalkan ilmu agama yang telah dibekalkan ini, aku ingin menjadi isteri yang sentiasa mendapat keredhaan Allah dan suamiku untuk memudahkan aku membentuk usrah muslim antara aku, kau dan anak-anak kita untuk dibaiahkan dengan ketaatan kepada Allah Yang Maha Esa. Aku bercita-cita bergelar pendamping solehah, seperti mana yang dijanjikan Rasul. 
" Semoga Allah memberi rahmat kurnia kepada lelaki yang bangun di tengah malam lalu dia sembahyang dan membangunkan isterinya, maka sekiranya enggan juga bangun untuk bersembahyang, dia merenjiskan air ke mukanya. Semuga Allah memberi rahmat kurnia kepada wanita yang bangun di tengah malam lalu bersembahyang dan membangunkan suaminya. Maka jika dia enggan, dia merenjiskan air kemukanya." 
(Riwayat Abu Daud dengan Isnad yang sahih) 
Renungilah FirmanNya ini, lalu kau akan tahu hakikat diriku dan dirimu dipertemukan oleh Allah atas namanya pertemuan dan jodoh.
“Hai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhanmu yang telah menciptakan kamu dari diri yang satu, dan daripadanya Allah menciptakan isterinya; dan daripada keduanya Allah memperkembangbiakkan lelaki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) namaNya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.” (An Nisaa’ : 1)

Calon Suamiku yang dirahmati,
" Kaum lelaki itu adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka (lelaki) atas sebahagian yang lain (wanita), dan kerana mereka (lelaki) telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka".(An-Nissa':34)
Membenarkan seperti apa yang telah Dia katakan dalam QalamNya yang mulia, aku meyakini bahawa engkau adalah pemimpin untukku dan anak-anak pewaris kejihadan Islam yang bakal lahir. Jadikanlah pernikahan ini sebagai asas pembangunan iman dan bukannya untuk memuaskan bisikan syaitan yang menjadikan ikatan pernikahan sebagai tunjang nafsu semata-mata. Moga diriku dan dirimu sentiasa didampingi kerahmatan dan keredhaanNya. 
Lakukanlah tanggungjawabmu itu dengan syura kesabaran, qanaah ketabahan moga kita akan menjadi salah satu daripada jemaah saf menuju ke syurga insyaAllah. Ingin aku berbicara mengenai pemberianmu kepadaku. Kau terlalu membimbangkan akan kehendak bersifat duniawi semata-mata. Benar?! 
Ketahuilah, aku tidak menginginkan hantaran bersusun, mas kahwin yang hanya akan menyebabkan hatiku buta dalam menilai erti kita dipertemukan oleh Allah atas dasar agama. Cukuplah seandainya, maharku sebuah Qalam Mulia, Al-Quran, kerana aku meyakini Qalam itu mampu memimpin rumahtangga kita dalam meraih keredhaanNya bukan kekayaan dunia yang bersifat sementara. 
Bantulah aku dalam menjayakan agama Allah ini melalui pernikahan, kerana ia adalah laluan untuk aku menyempurnakan separuh daripada agamaku, insyaAllah. Akhlakmu yang terdidik indah oleh ibu bapa dan orang sekelilingmu, itulah yang aku harapkan daripada kekayaan duniawi yang kau sediakan. 
Kutitipkan sebahagian daripada pembacaanku dalam Jalan Dakwah Mustaffa Masyhur, tidak lagi wujud keborosan dan kebakhilan kerana semuanya berada di dalam udara Qana'ah (berpuas hati dengan apa yang ada), redha dan yakin bahawa dunia ini bukanlah negara Janatunna'im. Lihatlah rumahtangga Rasulullah s.a.w kadang-kadang berlalu sebulan demi sebulan, pernah dapurnya tidak berasap kerana tidak ada bahan makanan yang dapat dimasak. Walaupun demikian susahnya, rumahtangga Rasulullah s.a.w tetap menjadi rumahtangga yang paling bahagia yang tidak ada tolok bandingnya hingga ke hari ini. 
Terlalu panjang rasanya aku mencoretkan warkah ini. Cukup dahulu buat tika ini, andai diizinkan aku akan kembali menitipkankan lagi kiriman bertintakan hati ini. Akhir bicara, maaf andai tiada pertemuan yang kususuli kerana padaku biarlah merindu daripada jemu tatkala kita disatukan. 
- Wassalam -
.::. Ya Allah, gembirakan kami dengan redhaMu .::. ~tulang rusuk kirimu~ pertemuan... menghadiahkan kita kasih sayang... jika cinta satu pasti bertemu... ia tidak ternilai... kerana antara hati kita telah tiada antaranya lagi yg ada hanyalah cinta kasih Ilahi... kita berpisah hanya sementara kerna pertemuan bukan milik kita... jasad dan suara berjauhan sentiasa namun cinta abadi... biar berpisah selalu menderita kerana syurga menagih ujian sedang neraka dipagari oleh nikmat bertemu tidak jemu...berpisah tak gelisah...



Wahai Hawa..dalamilah...

Wahai Hawa,
Sedarkah engkau sebelum datangnya sinar islam, kita dizalimi, hak kita dicerobohi, kita ditanam hidup-hidup, tiada penghormatan walau secebis oleh kaum adam, tiada nilaian dimata adam, kita hanya sebagai alat untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Tapi kini bila rahmat Islam menyelubungi alam bila sinar Islam berkembang, darjat kita diangkat, maruah kita terpelihara, kita dihargai dan dipandang mulia, dan mendapat tempat di sisi Allah sehingga tiada sebaik-baik hiasan di dunia ini melainkan wanita solehah.

Wahai Hawa,
Kenapa engkau tak menghargai nikmat iman dan Islam itu? Kenapa mesti engkau kaku dalam mentaati ajaranNya, kenapa masih segan mengamalkan isi kandungannya dan kenapa masih was-was dalam mematuhi perintahNya?

Wahai Hawa,
Tangan yang mengoncang buaian bisa mengoncang dunia, sedarlah hawa kau bisa mengoncang dunia dengan melahirkan manusia yang hebat yakni yang soleh solehah, kau bisa mengegar dunia dengan menjadi isteri yang taat serta memberi dorongan dan sokongan pada suami yang sejati dalam menegakkan Islam di mata dunia. Tapi hawa jangan sesekali kau cuba mengoncang keimanan lelaki dengan lembut tuturmu, dengan ayu wajahmu, dengan lengguk tubuhmu. Jangan kau menghentak-hentak kakimu untuk menyatakan kehadiranmu. Jangan Hawa, jangan sesekali cuba menarik perhatian kaum adam yang bukan suamimu. Jangan sesekali mengoda lelaki yang bukan suamimu, kerana aku khuatir ia mengundang kemurkaan dan kebencian Allah. Tetapi memberi kegembiraan pada syaitan kerana wanita adalah jala syaitan, alat yang dieksploitasikan oleh syaitan dalam menyesatkan Adam.


Wahai Hawa,
Andai engkau masih remaja, jadilah anak yang solehah buat kedua ibubapamu, andai engkau sudah bersuami jadilah isteri yang meringankan beban suamimu, andai engkau seorang ibu didiklah anakmu sehingga ia tak gentar memperjuangkan ad-din Allah.

Wahai Hawa, 
Andai engkau belum berkahwin, jangan kau risau akan jodohmu, ingatlah hawa janji tuhan kita, wanita yang baik adalah untuk lelaki yang baik. Jangan mengadaikan maruahmu hanya semata-mata kerana seorang lelaki, jangan memakai pakaian yang menampakkan susuk tubuhmu hanya untuk menarik perhatian dan memikat kaum lelaki, kerana kau bukan memancing hatinya tapi merangsang nafsunya. Jangan memulakan pertemuan dengan lelaki yang bukan muhrim kerana aku khuatir dari mata turun ke hati, dari senyuman membawa ke salam, dari salam cenderung kepada pertemuan dan dari pertemuaan... takut lahirnya nafsu kejahatan yang menguasai diri.

Wahai Hawa,
Lelaki yang baik tidak melihat paras rupa, lelaki yang soleh tidak memilih wanita melalui keseksiannya, lelaki yang warak tidak menilai wanita melalui keayuaannya, kemanjaannya, serta kemampuannya mengoncang iman mereka. Tetapi hawa, lelaki yang baik akan menilai wanita melalui akhlaknya, peribadinya, dan ad-dinnya. Lelaki yang baik tidak menginginkan sebuah pertemuan dengan wanita yang bukan muhrimnya kerana dia takut menberi kesempatan pada syaitan untuk mengodanya. Lelaki yang warak juga tak mahu bermain cinta sebabnya dia tahu apa matlamat dalam sebuah hubungan antara lelaki dan wanita yakni perkahwinan. Oleh itu Hawa, Jagalah pandanganmu, jagalah pakaianmu, jagalah akhlakmu, kuatkan pendirianmu. Andai kata ditakdirkan tiada cinta dari Adam untukmu, cukuplah hanya cinta Allah menyinari dan memenuhi jiwamu, biarlah hanya cinta kedua ibubapamu yang memberi hangatan kebahagiaan buat dirimu, cukuplah sekadar cinta adik beradik serta keluarga yang akan membahagiakan dirimu.

Wahai Hawa,
Cintailah Allah di kala susah dan senang kerana kau akan memperolehi cinta dari insan yang juga menyintai Allah.Cintailah kedua ibubapamu kerana kau akan perolehi keredhaan Allah. Cintailah keluargamu kerana tiada cinta selain cinta keluarga.

Wahai Hawa, 
Ingatanku yang terakhir, biarlah tangan yang mengoncang buaian ini bisa mengoncang dunia dalam mencapai keredhaan Illahi. Jangan sesekali tangan ini juga yang mengoncang keimanan kaum Adam, kerana aku sukar menerimanya … dan aku benci mendengarnya.

~Nukilan Dari hawa untuk Hawa~

MENGUKUR SEBUAH CINTA

Di dlm Kitab Hayatus Shahabah halaman 524-525, diriwayatkan kisah berikut:
Menjelang Perang Uhud, Abdullah bin Jahsy mengajak sahabatnya, Sa'ad bin Abi Waqqash utk berdoa. Ajakan itu dipersetujui oleh Sa'ad. Keduanya mulai berdoa. Sa'ad berdoa terlebih dahulu:
"Tuhanku, jika nanti aku berjumpa dgn musuhku, berilah aku musuh yg sgt perkasa. Aku berusaha membunuh dia dan dia pun berusaha membunuhku. Engkau berikan kemenangan kpdku sehingga aku berhasil membunuhnya dan kemudian mengambil miliknya (sebagai rampasan perang)."
Abdullah mengaminkannya. Tiba giliran Abdullah berdoa:
"Tuhanku, berilah aku musuh yg gagah perkasa. Aku berusaha membunuhnya, dan ia berusaha membunuhku. Kemudian ia memotong hidung dan telingaku. Kalau nanti aku bertemu denganMu, Engkau akan bertanya: 'Man jada'a anfaka wa udzunaka?' (Siapa yang telah memotong hidung dan telingamu?). Aku akan menjawab bhw keduanya terpotong ketika aku berjuang di jlnMu dan jln Rasulullah (fika wa fi rasulika). Dan Engkau, ya Allah akan berkata: 'Kamu benar!' (shadaqta)."
Sa'ad mengaminkan doa Abdullah tersebut. Keduanya berangkat ke medan Uhud dan doa keduanya dimaqbulkan Allah.
Sa'ad bercerita kpd anaknya, "Duhai anakku, doa Abdullah lbh baik drp doaku. Di senja hari aku lihat hidung dan telinganya tergantung pd seutas tali."
Kisah ini tlh melukiskan sebuah cara utk mengukur cinta kita pd Allah. Sementara ramai yg berdoa agar mendapat ini dan itu, seorang pencinta sejati akan berdoa agar dpt bertemu dgn Kekasihnya sambil membawa sesuatu yg bisa dibanggakan.

Ketika di Padang Mahsyar nanti Allah bertanya kpd anda: "Dr mana kau peroleh hartamu di dunia?" Anda akan menjawab, "Harta itu ku peroleh dgn kolusi dan korupsi, dgn memalsu kuitansi, dgn mendapat cipratan komisi."
Allah bertanya lagi, "Apa saja yg tlh engkau lakukan di dunia?"
"Ku hiasi hidupku dgn dosa dan nista, tak henti-hentinya ku cintai indah dan gemerlapnya dunia hingga aku dipanggil menghadapMu." Allah dgn murka akan menjawab, "Kamu benar!"
Bandingkan dgn seorang hamba lain yg ketika di Padang Mahsyar berkata kpd Allah:
"Tlh ku tahan lapar dan dahaga di dunia, tlh ku basahi bibirku dgn zikir, dan tlh ku curahkan waktu dan tenagaku utk keagungan namaMu, tlh ku hiasi mlm ku dgn ayat suciMu dan tlh ku letakkan dahiku di sejadah utk bersujud pd kebesaranMu."
Dan Allah akan menjawab, "Kamu benar!"
Duhai diriku.. adakah kebahagian yg lbh dr itu; ketika seorang hamba menceritakan amalnya dan Allah akan membenarkannya.
Mahukah kita pulang nanti ke kampung akhirat dgn membawa amal yg bisa kita banggakan? Mahukah kita temui Kekasih kita sambil membawa amalan yg akan menyenangkanNya?
Allahu a'lam..

Wednesday, November 10, 2010

Latihan Dalam Kelompok 1 (LDK I)

Objektif :

  1. Mengeratkan hubungan antara peserta dan fasilitator.
  2. Mewujudkan sifat setiakawan dan semangat kerjasama dalam kumpulan.
  3. Mewujudkan sifat keterbukaan dalam diri peserta.
  4. Menggalakkan individu memberi maklumbalas terhadap ahli kumpulan yang lain.

Aktiviti 1 : Salam Muhibbah
Masa : 10 minit

Kaedah :

  1. Fasi memperkenalkan diri dahulu.
  2. Diikuti oleh peserta.
  3. Fasi menutup mata salah seorang peserta.
  4. Peserta yang ditutup matanya dikehendaki meneka rakannya dengan sentuhan dan suara.

Aktiviti 2 : Impressi Kali Pertama
Masa : 20 minit

Kaedah :

  1. Peserta masih berada di dalam satu bulatan.
  2. Seorang daripada ahli diminta berdiri di tengah-tengah bulatan.
  3. Setiap ahli diminta membuat tanggapan tentang individu yang berada di tengah bulatan.
  4. Apabila semua ahli kumpulan telah memberikan impressi mereka, proses itu diulang sehingga semua ahli mendapat maklumbalas daripada ahli lain.


Ice-breaking : Mencari Rakan

Masa : 30 minit
Bahan : Kertas keras, pen

Objektif :

1.      Memberi peluang kepada  peserta untuk mengenali ahli kumpulannya dalam suasana yang menyeronokkan.
  1. Mengurangkan rasa rendah diri dan takut apabila berada dalam satu kumpulan yang berbeza umur.

Kaedah :

  1. Peserta-peserta diberi kad/keratan yang bergambar.
  2. Setiap kumpulan akan memiliki satu atau isyarat (mencantumkan kepingan-kepingan kad atau keratan) . Contoh bunyi ayam, bunyi katak dan sebagainya.
  3. Peserta dikehendaki mencari ahli kumpulan masing-masing seperti yang dinyanyikan/diisyaratkan.
  4. Apabila bertemu dengan rakan yang mempunyai bunyi atau isyarat yang sama, peserta perlulah memberi salam dan mengekori peserta tersebut dan terus mencari ahli kumpulan yang lain.
  5. Fasi perlu memastikan para peserta tidak bercakap atau sebagainya.
  6. Jika ada ahli kumpulan yang masih tidak menemui kumpulan masing-masing setelah masa tamat, mereka dikehendaki menyanyi dan kumpulan yang berkenaan akan menyambutnya.  


Wudhuk ketika Haid..

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Mana-mana wanita yang didatangi Haid atau Nifas terhalang daripada melakukan tujuh perkara ibadat; 

1)     Mandi Haid/Nifas atau berwuduk
2)     Solat
3)     Puasa
4)     Tawaf
5)     Membaca Al-Quran, menyentuh dan membawanya
6)     Masuk Masjid
7)     Brsetubuh dengan suami walaupun dengan lapik
 

 Ini merupakan tujuh larangan yang diharamkan kepada wanita yang didatangi Haid atau Nifas untuk melakukannya. Wanita yang didatangi Haid dan Nifas hanya diberi kelonggaran untuk mandi sunat Ihram sahaja, bahkan sunat.

Mandi junub, mandi sunat ihram, mandi haid @ nifas dan selainnya sama sahaja. Hanya berbeza pada sudut niat. 

BERWUDUK KETIKA HAID/NIFAS 

Berhubungan dengan persoalan penanya menjurus kepada bahagian pertama. Kemungkinan kemusykilan yang ingin ditanya, apakah larangan  berwuduk (bersuci) itu secara mutlak tanpa pengecualian? 

Berkata Syafieyah dan Hanabilah: Mandi Haid@Nifas dan berwuduk hanya dikhususkan kepada mereka yang tidak berhalangan. Perempuan yang sedang didatangi Haid/Nifas tidak akan terangkat hadas mereka dengan mandi atau berwuduk tersebut. Jika dilakukannya dengan tujuan bermain-main, perbuatan ini boleh membawa kepada Riddah.

Hanafiah berpendapat: Haid hanya menghalang dari sah bersuci tetapi tidak mengharamkannya. Bahkan disunatkan bagi wanita di dalam keadaan Haid berwuduk setiap kali solat dan duduk di tempat solatnya untuk bertasbih dan tahlil sekadar waktu solat dilaksanakan. Perbuatan ini dilakukan supaya dia tidak melupakan adat kebiasaannya. 

DAKWAH KEPADA NON-MUSLIM 

       Kurang pasti apa yang cuba dimaksudkan oleh penanya berkenaan “perkara ini”. Adakah perkara ini yang dimaksudkan berwuduk ketika haid atau berwuduk dengan tujuan meniru sunah nabi. Sekadar beberapa prinsip dengan Non Muslim apabila kita ingin membicarakan soal ibadat; 

1)     Perkenalkan kedudukan hamba dibandingkan tuan pada hak dan tuntutan. Semua hamba wajib mentaati perintah tuannya.
2)     Zahirkan hikmah dan logik yang ada pada sesuatu perintah yang dituntut oleh syarak.
3)     Pamerkan Islam merupakan agama yang suci dan bersih. Setiap menitik beratkan kebersihan pada semua keadaan. Walaupun wuduk wanita haid tidak sah akan tetapi sikap meninggalkan perbuatan tersebut juga merupakan pahala kerana mentaati perintah Allah. 

KESIMPULAN
1)     Khilaf di antara Ulama sama ada membenarkan berwuduk atau tidak, bergantung pada niat individu yang melakukannya.
2)     Diharamkan wanita yang didatangi Haid/Nifas berwuduk jika bertujuan untuk mengangkat hadas dalam keadaan dia mengetahui tidak sah wuduknya, ini kerana dia bermain-main dengan hukum.
3)     Jika tujuan berwuduk atau mandi junub dengan tujuan membersihkan diri atau menyejukkan badan atau apa-apa saja niat yang tidak melanggar syarie, maka tidak menjadi masalah. Ini pendapat yang dipegang oleh Auzaie, Malik, Thauri dan Abu Thaur.
4)     Wajar mempertahankan pendapat salaf soleh agar berterusan dengan mengambil waktu solat tersebut dengan berwuduk dan berzikir agar kebiasaan itu tidak dilupakan.
5)     Para wanita banyak yang dirasuk jin dan menjadi lemah kerana mengabaikan ibadat di waktu uzur. Keuzuran bukan alasan untuk meninggalkan semua ibadat kerana meninggalkan solat pada waktu uzur juga merupakan satu ibadat. Perbanyakan zikir dan wirid pada waktu uzur sebagai menampung kekurangan ibadat di waktu ini.
6)     Tidak menjadi kesalahan untuk berwuduk sebelum tidur atau pada ketika marah walaupun dalam keadaan uzur. 

    Hadis diriwayatkan oleh Muslim daripada Aisyah; 

عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ كَانَ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَنَامَ وَهُوَ جُنُبٌ تَوَضَّأَ وُضُوءَهُ لِلصَّلَاةِ قَبْلَ أَنْ يَنَامَ
Maksudnya: Baginda Nabi apabila ingin tidur di dalam keadaan beliau berjunub, baginda akan berwuduk seperti hendak melaksanakan solat sebelum masuk tidur.
7)     Berbicara dengan Non Muslim dengan logik dan menzahirkan hikmah perintah Allah disyariakan.

Allahu A’lam

Disediakan:
Muhammad Aidil Azwal Bin Zainudin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket