Sunday, October 17, 2010

Ma'thurat adalah pendinding diri untuk wanita. .

Baru je lepas baca ma’thurat dan ayat-ayat ruqyah. Nak kongsi ngan sahabat perindu ilahi. Ma'thurat adalah pendinding diri untuk wanita. Dengan membaca ma'thurat  setiap pagi dan petang boleh menghalang diri daripada gangguan syaitan dan dapat menguatkan iktiqad hati kita dengan Allah Taala. Selain itu, setiap zikir yang terdapat didalamnya mempunyai kelebihan-kelebihan yang tersendiri. Doa-doa Ma’thurat ialah doa-doa yang menjadi amalan Nabi. Ia dikompilasikan oleh Imam Hassan Al-Banna untuk dipraktikkan umat Islam sebagai zikir harian. Amalan membaca doa-doa Ma’thurat ini akan membuatkan hati menjadi tenang dan mengingati Allah, seterusnya memotivasikan diri anda untuk melakukan tugas-tugas harian dengan ikhlas.
   Oleh itu, walaupun seseorang muslimat itu dalam keadaan tidak suci seperti haid @ nifas. Dia tetap boleh mengamalkan ma'thurat dan jadikannya sebagai zikir setiap hari dengan syarat niatkan semua ayat-ayat yang dibaca adalah  sebagai zikir. Antara ayat-ayat yang terkandung dalam Ma’thurat adalah:
أَصْبَحْنا (أَمْسَينا) وأَصْبَح (أَمْسَى) المُلْكُ لله وَالحَمْدُلله لَا شَرِيكِ لَهُ لآ إِله إلَّا هُو وَإِلَيْه النُّشُور (المَصِيْر).
أَصْبَحْنا(أَمْسَيْنا) عَلَى فِطْرَةِ الإِسْلَام وَكَلِمَةِ الإِخْلَاص، وَعَلَى دِيْنِ نَبِيِّنَا محمد صلى الله عليه وسلم، وَعَلَى مِلَّةِ أَبِيْنا إِبْرَاهِيمِ حَنِيفَا وَمَا كَانَ مِنَ المُشرِكِين.
اللَّهُمَّ إِنِّي أَصبَحتُ (أَمسَيتُ) مِنكَ فِي نِعمَةِ وَعَافِيَة وَسِترِ فَأَتِمَّمْ نِعْمَتِك عَلَيَّ وَعَافِيَتِك وَسِتْرِك في الدنيا والآخرة.
اللَّهُمَّ مَا أَصْبَحَ (أَمْسَى) بِيْ مِن نِعمَةِ أَو بِأَحَدٍ مِن خَلقِك وَحدَكَ فَمِنكِ وَحدَك لَا شَرِيكَ لَكَ فَلَكَ الحَمد وَلَك الشُّكر.
يَا رَبِّي لَكَ الحَمدُ كَمَا يَنبَغِي لِجَلَال وَجهِك وَعَظِيم سُلطَانِك.
رَضِيتُ بِالله رَبَّا وَبِالإِسلَام دِينا وبِسَيِّدنا محمد صلى الله عليه وسلم نَبِيِّنا وَرَسُولَا.
سُبحَان الله وَبِحَمدِه عَدَدَ خَلقِهِ وَرِضَا نَفسِهِ وَزِنَةَ عَرشِه وَمِدَادَ كَلِمَاتِه.
بِسمِ اللهِ الَّذِي لَا يَضُرُّ مَعَ اسْمِهِ شَئ في الأرض وَلَا في السَّمَاء وهو السَّمِيعُ العَلِيم.
اللَّهُمَّ إنا نعوذ بِكَ من أَنْ نُشرِك بِكَ شَيئًا نَعلَمه ونستغفرك لِمَا لَا نَعلَمُه.
أَعوذ بِكَلِمَاتِ اللهِ التَّامَاتِ مِن شَرِّ مَا خَلَق.
اللَّهُمَّ إنِي أَعُوذُ بِكَ مِنَ الهَمِّ وَالحَزَن وَأَعُوذ بِكَ مِن العَجزِ والكَسل وأعوذ بك مِن الجُبنِ والبُخلِ وأعوذ بك مِن غَلَبَةِ الدَّينِ وقَهرِ الرِّجَال.
اللَّهمَّ إني أعوذ بِكَ من الكُفْرِ وِالفِقْر وأعوذ بِك مِن عَذَاب القُبْر لآ إِلَه إِلَّا أَنتَ.
اللهُمَّ عافِنِي فِي بِدَنِي اللهُمَّ عافِنِي فِي سَمعِي اللهُمَّ عَافِنِي في بَصَرِي لآ إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ.
اللهُمَّ أَنتَ رَبِّي لآ إِلَه إِلَّا أَنتَ، خَلَقْتَنِي وَأَنَا عَبدِكَ وَأَنَا عَلَى عَهدِكَ وَوَعدِكَ مَااسْتَطَعْتُ، أَعوذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَاصَنَعْتُ، أَبُوْءُ لَكَ بِنِعْمَتِكَ عَلَيَّ وَأَبُوْءُ بِذَنْبِي فَاغْفِرْلِي فَإِنَّهُ لِا يَغْفِرُ الذُّنُوبَ إِلَّا أَنتَ.
أَسْتَغْفِرُ اللهَ العَظِيم الَّذِي لآ إِلَهَ إِلَّا هُوَ الحَيُّ القَيُّوم وِأَتُوبُ إِلَيْه.
سُبْحَانَكَ اللَّهُمَّ وَبِحَمْدِكَ أَشْهَدُ أَنْ لآ إلهَ إِلَّا أَنتَ أَسْتَغْفِرُكَ وَأَتُوبُ إِلَيك.
اللَّهُمَّ صل على سيدنا محمد عَبدِكَ وَنَبِيِّكَ وَرَسُولِكَ النبي الأُمِّيَّ وعلى آله وصحبه وسلم.






Saturday, October 16, 2010

Betulkah perempuan mudah untuk dapat pahala???

      Kebanyakkan orang lelaki mengatakan perempuan senang sahaja nak dapat pahala daripada lelaki.Betulkah begitu??Namun kenapa di dalam neraka lebih ramai perempuan daripada lelaki?Jawapannya:Memang mudah untuk perempuan mendapat pahala namun begitu susah untuk perempuan mendapatkannya..Bukankah begitu jawapannya?
    Setiap apa sahaja yang muslimat lakukan yang mana berlandaskan syarak,semuannya akan mendapat ganjaran pahala daripada Allah SWT. Umpamanya muslimat itu memakai pakaian yang menutup aurat.Namun pada hari ini, betapa ramai wanita-wanita yang mengaku muslim tapi tidak mengikut suruhan Allah Azzawajalla..Muslimat itu juga mudah mendapat pahala dengan hanya mentaati suami dan melakukan perkara yang diperintahkan oleh syarak sahaja.Berbeza dengan lelaki yang mempunyai tanggung jawab yang besar sama ada keatas ibubapanya, isterinya, anak-anaknya, dan masyarakatnya.
       Rasulullah Sallallahu `alaihiwasallam bersabda yang bermaksud: "Apabila seorang wanita solat lima waktu, puasa satu bulan (Ramadan), menjaga kemaluannya (tidak berzina), serta tact kepada suaminya, maka dikatakan kepadanya; Masuklah ke dalam syurga melalui pintu mana yang kamu suka!" (Hadis riwayat Ahmad dan Tabram). Subhanallah!!!Alangkah mudahnya bagi seorang wanita untuk masuk syurga, hanya dengan mengamalkan empat perkara tersebut. Tetapi malangnya di dalam syurga itu kebanyakan penghuninya bukan wanita. Ini terbukti dengan hadis Rasulullah s.a.w. ketika malam Isra' Mi'raj, di mana Rasulsullah s.a.w. diberi penghormatan untuk melihat syurga dan neraka. Dan kebanyakan wanita berada di dalam neraka. Mengapakah begini jadinya? Apakah wanita tidak mampu mengamalkan empat perkara yang mudahkannya untuk ke syurga sebagaimana tersebut di dalam hadis di atas?Apakah kebanyakan wanita sangat gemar melakukan dosa-dosa yang akan menyebabkan dirinya dihumban ke neraka? Apakah kebanyakan wanita tidak nampak jalan-jalan yang mudah untuk ke syurga itu?
     Muslimat,ayuh!! segeralah kita perbaiki diri kita untuk merebut apa yang Allah Taala berikan kepada kita sebelum terlambat..Sama-samalah kita berusaha untuk menjadi seorang wanita solehah yang dijanjikan syurga untuknya...

 "Seindah-indah Perhiasan Adalah Wanita Solehah"

Thursday, October 14, 2010

"KESATLAH AIR MATAMU"

"Apabila hati terikat dengan Allah, kembalilah wanita dengan asal fitrah kejadiannya, menyejukkan hati dan menjadi perhiasan kepada dunia - si gadis dengan sifat sopan dan malu, anak yang taat kepada ibu bapa, isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya pada suami.


Bait-bait kata itu saya tatapi dalam-dalam. Penuh penghayatan. Kata-kata yang dinukilkan dalam sebuah majalah yang ku baca. Alangkah indahnya jika saya bisa menjadi perhiasan dunia seperti yang dikatakan itu. Kubulatkan tekad di hatiku. saya ingin menjadi seorang gadis yang sopan, anak yang taat kepada ibu bapaku dan saya jua ingin menjadi seorang isteri yang menyerahkan kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami, kerana Allah 

Menjadi seorang isteri....kepada insan yang disayangi..... idaman setiap wanita. Alhamdulillah, kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi atas nikmat yang dikurniakan kepadaku. Baru petang tadi. saya sah menjadi seorang isteri setelah mengikat tali pertunangan 6 bulan yang lalu. Suamiku, Muhammad Harris, alhamdulillah menepati ciri-ciri seorang muslim yang baik. saya berazam untuk menjadi isteri yang sebaik mungkin kepadanya. 

"Assalamualaikum," satu suara menyapa pendengaranku membuatkan saya gugup seketika. "Waalaikumusalam," jawabku sepatah. Serentak dengan itu, ku lontarkan satu senyuman paling ikhlas dan paling manis untuk suamiku. Dengan perlahan dia melangkah menghampiriku. 

"Ain buat apa dalam bilik ni ? Puas abang cari Ain dekat luar tadi. Rupanya kat sini buah hati abang ni bersembunyi." saya tersenyum mendengar bicaranya.Terasa panas pipiku ini. Inilah kali pertama saya mendengar ucapan `abang' dari bibirnya. Dan itulah juga pertama kali dia membahasakan diriku ini sebagai `buah hati' nya. saya sungguh senang mendengar ucapan itu. Perlahan-lahan ku dongakkan wajahku dan saya memberanikan diri menatap pandangan matanya. Betapa murninya sinaran cinta yang terpancar dari matanya, betapa indahnya senyumannya, dan betapa bermaknanya renungannya itu. saya tenggelam dalam renungannya,seolah-olah hanya kami berdua di dunia ini. Seketika saya tersedar kembali ke alam nyata. 

"Ain baru saja masuk. Nak mandi. Lagipun dah masuk Maghrib kan ? `' ujarku. `' Ha'ah dah maghrib. Ain mandi dulu. Nanti abang mandi dan kita solat Maghrib sama-sama ye ? `'Dia tersenyum lagi. Senyum yang menggugah hati kewanitaanku. Alangkah beruntungnya saya memilikimu, suamiku. 

Selesai solat Maghrib dan berdoa, dia berpusing mengadapku. Dengan penuh kasih, kusalami dan kucium tangannya. Lama. saya ingin dia tahu betapa dalam kasih ini hanya untuknya. Dan saya dapat merasai tangannya yang gagah itu mengusap kepalaku dengan lembut. Dengan perlahan saya menatap wajahnya. 

"Abang....." saya terdiam seketika. Terasa segan menyebut kalimah itu dihadapannya. Tangan kami masih lagi saling berpautan. Seakan tidak mahu dilepaskan.Erat terasa genggamannya. 

"Ya sayang..." Ahhh....bicaranya biarpun satu kalimah, amat menyentuh perasaanku. "Abang... terima kasih atas kesudian abang memilih Ain sebagai isteri biarpun banyak kelemahan Ain. Ain insan yang lemah, masih perlu banyak tunjuk ajar dari abang. Ain harap abang sudi pandu Ain. Sama-sama kita melangkah hidup baru, menuju keredhaan Allah." Tutur bicaraku ku susun satu persatu. 

`'Ain, sepatutnya abang yang harus berterima kasih kerana Ain sudi terima abang dalam hidup Ain. Abang sayangkan Ain. Abang juga makhluk yang lemah, banyak kekurangan. Abang harap Ain boleh terima abang seadanya. Kita sama-sama lalui hidup baru demi redhaNya." 

`'Insya Allah abang....Ain sayangkan abang. `' `'Abang juga sayangkan Ain. Sayang sepenuh hati abang.'' Dengan telekung yang masih tersarung. saya tenggelam dalam pelukan suamiku. 

Hari-hari yang mendatang saya lalui dengan penuh kesyukuran. Suamiku, ternyata seorang yang cukup penyayang dan penyabar. Sebagai wanita saya tidak dapat lari daripada rajuk dan tangis. Setiap kali saya merajuk apabila dia pulang lewat, dia dengan penuh mesra memujukku, membelaiku. Membuatku rasa bersalah. Tak wajar kusambut kepulangannya dengan wajah yang mencuka dan dengan tangisan. Bukankah saya ingin menjadi perhiasan yang menyejukkan hati suami? Sedangkan Khadijah dulu juga selalu ditinggalkan Rasulullah untuk berkhalwat di Gua Hira'. Lalu, kucium tangannya, kupohon ampun dan maaf. Kuhadiahkan senyuman untuknya. Katanya senyumku bila saya lepas menangis, cantik! Ahhh....dia pandai mengambil hatiku. 

saya semakin sayang padanya. Nampaknya hatiku masih belum sepenuhnya terikat dengan Allah. Lantaran itulah saya masih belum mampu menyerahkan seluruh kasih sayang, kesetiaan dan ketaatan hanya untuk suami. 

"Isteri yang paling baik ialah apabila kamu memandangnya, kamu merasa senang, apabila kamu menyuruh, dia taat dan apabila kamu berpergian, dia menjaga maruahnya dan hartamu."

saya teringat akan potongan hadis itu. saya ingin merebut gelaran isteri solehah. saya ingin segala yang menyenangkan buat suamiku. Tuturku ku lapis dengan sebaik mungkin agar tidak tercalar hatinya dengan perkataanku. Kuhiaskan wajahku hanya untuk tatapannya semata. Makan minumnya kujaga dengan sempurna. Biarpun saya jua sibuk lantaran saya juga berkerjaya. Pernah sekali. saya mengalirkan air mata lantaran saya terlalu penat menguruskan rumah tangga apabila kembali dari kerja. Segalanya perlu saya uruskan. saya terasa seperti dia tidak memahami kepenatanku sedangkan kami sama-sama memerah keringat mencari rezeki. Namun. saya teringat akan kisah Siti Fatimah, puteri Rasulullah yang menangis kerana terlalu penat menguruskan rumah tangga. saya teringat akan besarnya pahala seorang isteri yang menyiapkan segala keperluan suaminya. 

Hatiku menjadi sejuk sendiri. ' Ya Allah. saya lakukan segala ini ikhlas keranaMu. saya ingin mengejar redha suamiku demi untuk mengejar redhaMu. Berilah saya kekuatan, Ya Allah.'

"Ain baik, cantik. Abang sayang Ain." Ungkapan itu tidak lekang dari bibirnya. Membuatkan saya terasa benar-benar dihargai. Tidak sia-sia pengorbananku selama ini. Betapa bahagianya menjadi isteri yang solehah. 

Kehidupan yang ku lalui benar-benar bermakna, apatah lagi dengan kehadiran 2 orang putera dan seorang puteri. Kehadiran mereka melengkapkan kebahagiaanku. Kami gembira dan bersyukur kepada Allah atas nikmat yang dikurniakan kepada kami. 

Namun, pada suatu hari. saya telah dikejutkan dengan permintaannya yang tidak terduga. 

"Ain.....abang ada sesuatu nak cakap dengan Ain." 

"Apa dia abang?" tanyaku kembali. saya menatap wajahnya dengan penuh kasih. 

`' Ain isteri yang baik. Abang cukup bahagia dengan Ain. Abang bertuah punya Ain sebagai isteri," bicaranya terhenti setakat itu. 

saya tersenyum. Namun benakku dihinggap persoalan. 

Takkan hanya itu? 

"Abang ada masalah ke?" saya cuba meneka. 

"Tidak Ain. Sebenarnya......," bicaranya terhenti lagi. Menambah kehairanan dan mencambahkan kerisauan di hatiku. Entah apa yang ingin diucapkannya. 

"Ain......abang.....abang nak minta izin Ain...... untuk berkahwin lagi," ujarnya perlahan namun sudah cukup untuk membuat saya tersentak. Seketika saya kehilangan kata. 

"A.....Abang.....nak kahwin lagi?" saya seakan tidak percaya mendengar permintaannya itu. Ku sangka dia telah cukup bahagia dengannku. saya sangka saya telah memberikan seluruh kegembiraan padanya. saya sangka hatinya telah dipenuhi dengan limpahan kasih sayangku seorang Rupanya saya silap. Kasihku masih kurang. Hatinya masih punya ruang untuk insan selain saya. 

Tanpa bicara, dia mengangguk. 

"Dengan siapa abang ?" saya bertanya. saya tidak tahu dari mana datang kekuatan untuk tidak mengalirkan air mata. Tapi....hatiku... hanya Allah yang tahu betapa azab dan pedih hati ini. 

"Faizah. Ain kenal dia, kan ?" 

Ya. saya kenal dengan insan yang bernama Faizah itu. Juniorku di universiti. Rakan satu jemaah. Suamiku aktif dalam jemaah dan saya tahu Faizah juga aktif berjemaah. Orangnya saya kenali baik budi pekerti,sopan tingkah laku, indah tutur kata dan ayu paras rupa. Tidakku sangka, dalam diam suamiku menaruh hati pada Faizah. 

" A....Abang......Apa salah Ain abang?" nada suaraku mula bergetar. saya cuba menahan air mataku daripada gugur. saya menatap wajah Abang Harris sedalam-dalamnya. saya cuba mencari masih adakah cintanya untukku. 

"Ain tak salah apa-apa sayang. Ain baik. Cukup baik. Abang sayang pada Ain." 

"Tapi....Faizah. Abang juga sayang pada Faizah.... bermakna..... sayang abang tidak sepenuh hati untuk Ain lagi." 

"Ain.....sayang abang pada Ain tidak berubah. Ain cinta pertama abang. Abang rasa ini jalan terbaik. Tugasan dalam jemaah memerlukan abang banyak berurusan dengan Faizah....Abang tak mahu wujud fitnah antara kami. Lagipun....abang lelaki Ain. Abang berhak untuk berkahwin lebih dari satu. `' 

Bicara itu kurasakan amat tajam, mencalar hatiku. Merobek jiwa ragaku. saya mengasihinya sepenuh hatiku. Ketaatanku padanya tidak pernah luntur. Kasih sayangku padanya tidak pernah pudar. saya telah cuba memberikan layanan yang terbaik untuknya. Tapi inikah hadiahnya untukku? Sesungguhnya saya tidak menolak hukum Tuhan. saya tahu dia berhak. Namun, alangkah pedihnya hatiku ini mendengar ucapan itu terbit dari bibirnya. Bibir insan yang amat ku kasihi. 

Malam itu, tidurku berendam air mata. Dalam kesayuan. saya memandang wajah Abang Harris penuh kasih. Nyenyak sekali tidurnya. Sesekali terdetik dalam hatiku, bagaimana dia mampu melelapkan mata semudah itu setelah hatiku ini digurisnya dengan sembilu. Tidak fahamkah dia derita hati ini? Tak cukupkah selama ini pengorbananku untuknya? Alangkah peritnya menahan kepedihan ini. Alangkah pedihnya! 

Selama seminggu. saya menjadi pendiam apabila bersama dengannya. Bukan saya sengaja tetapi saya tidak mampu membohongi hatiku sendiri. Tugasku sebagai seorang isteri saya laksanakan sebaik mungkin, tapi saya merasakan segalanya tawar. saya melaksanakannya tidak sepenuh hati. Oh Tuhan.....ampuni daku. saya sayang suamiku, tapi saya terluka dengan permintaannya itu. 

Apabila bertembung dua kehendak, kehendak mana yang harus dituruti. Kehendak diri sendiri atau kehendak Dia ? Pastinya kehendak Dia. Apa lagi yang saya ragukan? Pasti ada hikmah Allah yang tersembunyi di sebalik ujian yang Dia turunkan buatku ini. saya berasa amat serba-salah berada dalam keadaan demikian. saya rindukan suasana yang dulu. Riang bergurau senda dengan suamiku. Kini. saya hanya terhibur dengan keletah anak-anak. Senyumku untuk Abang Harris telah tawar, tidak berperisa. Yang nyata. saya tidak mampu bertentang mata dengannya lagi. saya benar-benar terluka. 

Namun, Abang Harris masih seperti dulu. Tidak jemu dia memelukku setelah pulang dari kerja walau sambutan hambar. Tidak jemu dia mencuri pandang merenung wajahku walau saya selalu melarikan pandangan dari anak matanya. Tidak jemu ucapan kasihnya untukku. saya keliru. Benar-benar keliru. Adakah Abang Harris benar-benar tidak berubah sayangnya padaku atau dia hanya sekadar ingin mengambil hatiku untuk membolehkan dia berkahwin lagi? 

`Oh Tuhan...berilah saya petunjukMu.' Dalam kegelapan malam. saya bangkit sujud menyembahNya, mohon petunjuk dariNya. saya mengkoreksi kembali matlamat hidupku. 

Untuk apa segala pengorbananku selama ini untuk suamiku ? Untuk mengejar cintanya atau untuk mengejar redha Allah ? Ya Allah, seandainya ujian ini Engkau timpakan ke atasku untuk menguji keimananku. saya rela Ya Allah. saya rela. 

Biarlah. Bukan cinta manusia yang kukejar. saya hanya mengejar cinta Allah. Cinta manusia hanya pemangkin. Bukankah saya telah berazam. saya inginkan segala yang menyenangkan buat suamiku? 

Dengan hati yang tercalar seguris luka. saya mengizinkan Abang Harris berkahwin lagi. Dan, demi untuk mendidik hati ini. saya sendiri yang menyampaikan hasrat Abang Harris itu kepada Faizah. Suamiku pada mulanya agak terkejut apabila saya menawarkan diri untuk merisik Faizah. 

"Ain?......Ain serius?" 

"Ya abang. Ain sendiri akan cakap pada Faizah. Ain lakukan ini semua atas kerelaan hati Ain sendiri. Abang jangan risau...Ain jujur terhadap abang. Ain tak akan khianati abang. Ain hanya mahu lihat abang bahagia," ujarku dengan senyuman tawar. saya masih perlu masa untuk mengubat luka ini. Dan inilah satu caranya. Ibarat menyapu ubat luka. Pedih, tetapi cepat sembuhnya. 

saya mengumpul kekuatan untuk menjemput Faizah datang ke rumahku. Waktu itu, suamiku tiada di rumah dan dia telah memberi keizinan untuk menerima kedatangan Faizah. Faizah dengan segala senang hati menerima undanganku. Sememangnya saya bukanlah asing baginya.Malah dia juga mesra dengan anak-anakku. 

`'Izah......akak jemput Izah ke mari sebab ada hal yang akak nak cakapkan, `' setelah saya merasakan cukup kuat. saya memulakan bicara. 

`'Apa dia, Kak Ain. Cakaplah, `' lembut nada suaranya. 

"Abang Harris ada pernah cakap apa-apa pada Faizah?" 

"Maksud Kak Ain, Ustaz Harris?" Ada nada kehairanan pada suaranya. Sememangnya kami memanggil rakan satu jemaah dengan panggilan Ustaz dan Uztazah. saya hanya mengangguk. 

"Pernah dia cakap dia sukakan Izah?" 

"Sukakan Izah? Isyyy....tak mungkinlah Kak Ain. Izah kenal Ustaz Harris. Dia kan amat sayangkan akak. Takkanlah dia nak sukakan saya pula. Kenapa Kak Ain tanya macam tu? Kak Ain ada dengar cerita dari orang ke ni? `' 

'Tidak Izah. Tiada siapa yang membawa cerita......." saya terdiam seketika. "Izah, kalau Kak Ain cakap dia sukakan Izah dan nak ambil Izah jadi isterinya, Izah suka?" Dengan amat berat hati. saya tuturkan kalimah itu. 

"Kak Ain!" jelas riak kejutan terpapar di wajahnya. `'Apa yang Kak Ain cakap ni ? Jangan bergurau hal sebegini Kak Ain, `' kata Faizah seakan tidak percaya. Mungkin kerana saya sendiri yang menutur ayat itu.Isteri kepada Muhammad Harris sendiri merisik calon isteri kedua suaminya. 

"Tidak Izah. Akak tak bergurau......Izah sudi jadi saudara Kak Ain?" ujarku lagi. Air mataku seolah ingin mengalir tapi tetap saya tahan. Faizah memandang tepat ke wajahku. 

"Kak Ain. Soal ini bukan kecil Kak Ain. Kak Ain pastikah yang......Ustaz Harris.....mahu... melamar saya?" 

Dari nada suaranya. saya tahu Faizah jelas tidak tahu apa-apa. Faizah gadis yang baik. saya yakin dia tidak pernah menduga suamiku akan membuat permintaan seperti ini. Lantas. saya menceritakan kepada Faizah akan hasrat suamiku. Demi untuk memudahkan urusan jemaah,untuk mengelakkan fitnah. Faizah termenung mendengar penjelasanku. 

"Kak Ain.....saya tidak tahu bagaimana Kak Ain boleh hadapi semuanya ini dengan tabah. Saya kagum dengan semangat Kak Ain. Saya minta maaf kak. Saya tak tahu ini akan berlaku. Saya tak pernah menyangka saya menjadi punca hati Kak Ain terluka," ujarnya sebak. 

Matanya kulihat berkaca-kaca. 

"Izah...Kak Ain tahu kamu tak salah. Kak Ain juga tak salahkan Abang Harris. Mungkin dia fikir ini jalan terbaik. Dan akak tahu, dia berhak dan mampu untuk melaksanakannya. Mungkin ini ujian untuk menguji 
keimanan Kak Ain." 

"Kak...maafkan Izah." Dengan deraian air mata, Faizah meraihku ke dalam pelukannya. saya juga tidak mampu menahan sebak lagi. Air mataku terhambur jua. Hati wanita. Biarpun bukan dia yang menerima kepedihan ini, tetapi tersentuh jua hatinya dengan kelukaan yang ku alami. Memang hanya wanita yang memahami hati wanita yang lain. 

"Jadi...Izah setuju?" Soalku apabila tangisan kami telah reda. 

`'Kak Ain....ini semua kejutan buat Izah. Izah tak tahu nak cakap. Izah tak mahu lukakan hati Kak Ain." 

"Soal Kak Ain....Izah jangan risau, hati Kak Ain... Insya Allah tahulah akak mendidiknya. Yang penting akak mahu Abang Harris bahagia. Dan akak sebenarnya gembira kerana Faizah pilihannya. Bukannya gadis lain yang akak tak tahu hati budinya. Insya Allah Izah. Sepanjang Kak Ain mengenali Abang Harris dan sepanjang akak hidup sebumbung dengannya, dia seorang yang baik, seorang suami yang soleh, penyayang dan penyabar. Selama ini akak gembira dengan dia. Dia seorang calon yang baik buat Izah. `' 

"Akak.....Izah terharu dengan kebaikan hati akak. Tapi bagi Izah masa dan Izah perlu tanya ibu bapa Izah dulu." 

"Seeloknya begitulah. Kalau Izah setuju, Kak Ain akan cuba cakap pada ibu bapa Izah." 

Pertemuan kami petang itu berakhir. saya berasa puas kerana telah menyampaikan hasrat suamiku. `Ya Allah.....inilah pengorbananku untuk membahagiakan suamiku. saya lakukan ini hanya semata-mata demi redhaMu.' 

Pada mulanya, keluarga Faizah agak keberatan untuk membenarkan Faizah menjadi isteri kedua Abang Harris. Mereka khuatir Faizah akan terabai dan bimbang jika dikata anak gadis mereka merampas suami orang. Namun. saya yakinkan mereka akan kemampuan suamiku.Alhamdulillah, keluarga Faizah juga adalah keluarga yang menitikberatkan ajaran agama. Akhirnya, majlis pertunangan antara suamiku dan Faizah diadakan jua. 

"Ain.....abang minta maaf sayang," ujar suamiku pada suatu hari, beberapa minggu sebelum tarikh pernikahannya dengan Faizah. 

"Kenapa?" 

"Abang rasa serba salah. Abang tahu abang telah lukakan hati Ain. Tapi....Ain sedikit pun tidak marahkan abang. Ain terima segalanya demi untuk abang.Abang terharu. Abang....malu dengan Ain." 

"Abang....syurga seorang isteri itu terletak di bawah tapak kaki suaminya. Redha abang pada Ain Insya Allah, menjanjikan redha Allah pada Ain. Itu yang Ain cari abang. Ain sayangkan abang. Ain mahu abang gembira. 
Ain anggap ini semua ujian Allah abang. `' 

`'Ain....Insya Allah abang tak akan sia-siakan pengorbanan Ain ini. Abang bangga sayang. Abang bangga punya isteri seperti Ain. Ain adalah cinta abang selamanya. Abang cintakan Ain." 

"Tapi...abang harus ingat. Tanggungjawab abang akan jadi semakin berat. Abang ada dua amanah yang perlu dijaga. Ain harap abang dapat laksanakan tanggungjawab abang sebaik mungkin." 

"Insya Allah abang akan cuba berlaku seadilnya." Dengan lembut dia mengucup dahiku. Masih hangat seperti dulu. saya tahu kasihnya padaku tidak pernah luntur. saya terasa air jernih yang hangat mula membasahi pipiku. Cukuplah saya tahu, dia masih sayangkan saya seperti dulu walaupun masanya bersamaku nanti akan terbatas. 

Pada hari pertama pernikahan mereka. saya menjadi lemah. Tidak bermaya. saya tiada daya untuk bergembira. Hari itu sememangnya amat perit bagiku walau saya telah bersedia untuk menghadapinya. Malam pertama mereka disahkan sebagai suami isteri adalah malam pertama saya ditinggalkan sendirian menganyam sepi. saya sungguh sedih. Maha hebat gelora perasaan yang ku alami. saya tidak mampu lena walau sepicing pun. Hatiku melayang terkenangkan Abang Harris dan Faizah. Pasti mereka berdua bahagia menjadi pengantin baru. Bahagia melayari kehidupan bersama, sedangkan saya ? Berendam air mata mengubat rasa kesepian ini. Alhamdulillah. saya punya anak-anak. Merekalah teman bermainku. 

Seminggu selepas itu, barulah Abang Harris pulang ke rumah. saya memelukknya seakan tidak mahu ku lepaskan. Seminggu berjauhan, terasa seperti setahun. Alangkah rindunya hati ini. Sekali lagi air mata ku rembeskan tanpa dapat ditahan. 

`' Kenapa sayang abang menangis ni? Tak suka abang balik ke?" ujarnya lembut. 

"Ain rindu abang. Rindu sangat. `' Tangisku makin menjadi-jadi. saya mengeratkan pelukanku. Dan dia juga membalas dengan penuh kehangatan. 

`'Abang pun rindu Ain. Abang rindu senyuman Ain. Boleh Ain senyum pada abang ? `' Lembut tangannya memegang daguku dan mengangkat wajahku. 

`'Abang ada teman baru. Mungkinkah abang masih rindu pada Ain ? `' saya menduga keikhlasan bicaranya. 

'Teman baru tidak mungkin sama dengan yang lama. Kan abang dah kata, sayang abang pada Ain masih seperti dulu. Tidak pernah berubah, malah semakin sayang. Seminggu abang berjauhan dari Ain, tentulah abangrindu. Rindu pada senyuman Ain, suara Ain, masakan Ain, sentuhan Ain. Semuanya itu tiada di tempat lain, hanya pada Ain saja. Senyumlah sayang, untuk abang. `' 

saya mengukir senyum penuh ikhlas. saya yakin dengan kata-katanya. saya tahu sayangnya masih utuh buatku. 

Kini, genap sebulan Faizah menjadi maduku. saya melayannya seperti adik sendiri. Hubungan kami yang dulunya baik bertambah mesra. Apa tidaknya, kami berkongsi sesuatu yang amat dekat di hati. Dan, Faizah, menyedari dirinya adalah orang baru dalam keluarga, sentiasa berlapang dada menerima teguranku. Katanya. saya lebih mengenali Abang Harris dan dia tidak perlu bersusah payah untuk cuba mengorek sendiri apa yang disukai dan apa yang tidak disukai oleh Abang Harris. saya, sebagai kakak, juga sentiasa berpesan kepada Faizah supaya sentiasa menghormati dan menjaga hati Abang Harris. saya bersyukur, Faizah tidak pernah mengongkong suamiku. Giliran kami dihormatinya. 

Walaupun kini masa untuk saya bersama dengan suamiku terbatas, tetapi saya dapat merasakan kebahagiaan yang semakin bertambah apabila kami bersama. Benarlah, perpisahan sementara menjadikan kami semakin rindu. Waktu bersama, kami manfaatkan sebaiknya. Alhamdulillah, suamiku tidak pernah mengabaikan saya dan Faizah. saya tidak merasa kurang daripada kasih sayangnya malah saya merasakan sayangnya padaku bertambah. Kepulangannya kini sentiasa bersama sekurang-kurangnya sekuntum mawar merah. Dia menjadi semakin penyayang, semakin romantik. saya rasa saya harus berterima kasih pada Faizah kerana kata suamiku, Faizahlah yang selalu mengingatkannya supaya jangan mensia-siakan kasih sayangku padanya. 

Memang saya tidak dapat menafikan, adakalanya saya digigit rindu apabila dia pulang untuk bersama-sama dengan Faizah. Rindu itu. saya ubati dengan zikrullah. saya gunakan kesempatan ketiadaannya di rumah dengan menghabiskan masa bersama Kekasih Yang Agung. saya habiskan masaku dengan mengalunkan ayat-ayatNya sebanyak mungkin. Sedikit demi sedikit kesedihan yang ku alami mula pudar. Ia diganti dengan rasa ketenangan. saya tenang beribadat kepadaNya. Terasa diriku ini lebih hampir dengan Maha Pencipta. 

Soal anak-anak. saya tidak mempunyai masalah kerana sememangnya saya mempunyai pembantu rumah setelah saya melahirkan anak kedua. Cuma, sewaktu mula-mula dulu, mereka kerap juga bertanya kemana abah mereka pergi, tak pulang ke rumah. saya terangkan secara baik dengan mereka. Mereka punyai ibu baru. Makcik Faizah. Abah perlu temankan Makcik Faizah seperti abah temankan mama. Anak-anakku suka bila mengetahui Faizah juga menjadi `ibu' mereka. Kata mereka, Makcik Izah baik. Mereka suka ada dua ibu. Lebih dari orang lain.Ahhh...anak-anak kecil. Apa yang kita terapkan itulah yang mereka terima. saya tidak pernah menunjukkan riak kesedihan bila mereka bertanya tentang Faizah. Bagiku Faizah seperti adikku sendiri. 

Kadang-kadang, bila memikirkan suamiku menyayangi seorang perempuan lain selain saya, memang saya rasa cemburu, rasa terluka. saya cemburu mengingatkan belaian kasihnya itu dilimpahkan kepada orang lain.saya terluka kerana di hatinya ada orang lain yang menjadi penghuni. Aisyah, isteri Rasulullah jua cemburukan Khadijah, insan yang telah tiada. Inikan pula saya, manusia biasa. Tapi..... kukikis segala perasaan itu. Cemburu itukan fitrah wanita, tanda sayangkan suami. Tetapi cemburu itu tidak harus dilayan. Kelak hati sendiri yang merana. Bagiku, kasih dan redha suami padaku itu yang penting, bukan kasihnya pada orang lain. Selagi saya tahu, kasihnya masih utuh buatku. saya sudah cukup bahagia. Dan saya yakin, ketaatan, kesetiaan dan kasih sayang yang tidak berbelah bahagi kepadanya itulah kunci kasihnya kepadaku. saya ingin nafasku terhenti dalam keadaan redhanya padaku, supaya nanti Allah jua meredhai saya. Kerana sabda Rasulullah s.a.w 

"Mana-mana wanita (isteri) yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya meredhainya, maka ia akan masuk ke dalam syurga." (Riwayat at-Tirmizi, al-Hakim dan Ibnu Majah). 

Sungguh bukan mudah saya melalui semuanya itu. Saban hari saya berperang dengan perasaan. Perasaan sayang, luka, marah, geram, cemburu semuanya bercampur aduk. Jiwaku sentiasa berperang antara kewarasan akal dan emosi. Pedih hatiku hanya Tuhan yang tahu.KepadaNyalah saya pohon kekuatan untuk menempuhi segala kepedihan itu. KepadaNyalah saya pinta kerahmatan dan kasih sayang, semoga keresahan hati ini kan berkurangan. 

Namun, jika saya punya pilihan, pastinya saya tidak mahu bermadu. Kerana ia sesungguhnya memeritkan. Perlukan ketabahan dan kesabaran. Walau bagaimanapun. saya amat bersyukur kerana suamiku tidak pernah mengabaikan tanggungjawabnya. Dan saya juga bersyukur kerana menjadi intan terpilih untuk menerima ujian ini. 



Wednesday, October 13, 2010

KISAH BERKAT DI SEBALIK MEMBACA BISMILLAH

          Ada seorang perempuan tua yang taat beragama, tetapi suaminya seorang yang fasik dan tidak mahu mengerjakan kewajipan agama dan tidak mahu berbuat kebaikan.
Perempuan itu sentiasa membaca Bismillah setiap kali hendak bercakap dan setiap kali dia hendak memulakan sesuatu sentiasa didahului dengan Bismillah. Suaminya tidak suka dengan sikap isterinya dan sentiasa memperolok-olokkan isterinya.
    Suaminya berkata sambil mengejak, "Asyik Bismillah, Bismillah. Sekejap-sekejap Bismillah.
      Isterinya tidak berkata apa-apa sebaliknya dia berdoa kepada Allah S.W.T. supaya memberikan hidayah kepada suaminya. Suatu hari suaminya berkata : "Suatu hari nanti akan aku buat kamu kecewa dengan bacaan-bacaanmu itu."
     Untuk membuat sesuatu yang memeranjatkan isterinya, dia memberikan wang yang banyak kepada isterinya dengan berkata, "Simpan duit ini." Isterinya mengambil duit itu dan menyimpan di tempat yang selamat, di samping itu suaminya telah melihat tempat yang disimpan oleh isterinya. Kemudian dengan senyap-senyap suaminya itu mengambil duit tersebut dan mencampakkan beg duit ke dalam perigi di belakang rumahnya.
   Setelah beberapa hari kemudian suaminya itu memanggil isterinya dan berkata, "Berikan padaku wang yang aku berikan kepada engkau dahulu untuk disimpan."
Kemudian isterinya pergi ke tempat dia menyimpan duit itu dan diikuti oleh suaminya dengan berhati-hati dia menghampiri tempat dia menyimpan duit itu dia membuka dengan membaca, "Bismillahirrahmanirrahiim." Ketika itu Allah S.W.T. menghantar malaikat Jibrail A.S. untuk mengembalikan beg duit dan menyerahkan duit itu kepada suaminya kembali.
     Alangkah terperanjat suaminya, dia berasa bersalah dan mengaku segala perbuatannya kepada isterinya, ketika itu juga dia bertaubat dan mula mengerjakan perintah Allah, dan dia juga membaca Bismillah apabila dia hendak memulakan sesuatu kerja.

KEPUTIHAN PADA WANITA

بسم الله الرحمن الرحيم
الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف الأنبياء والمرسلين وعلى آله وصحبه أجمعين , أما بعد

Islam memberikan perhatian khusus berhubung kebersihan bagi seorang Muslim. Tidak ada agama yang menjadikan urusan kebersihan di antara sepenting-penting perkara di dalam agama kecuali Islam. Kebersihan yang dituntut tidak hanya semata bersihnya pakaian, anggota dan tempat ibadat serta selamat tubuh daripada hadas kecil dan besar tetapi Islam juga menitik beratkan kebersihan batin seperti ikhlas, jauh dari hasad, dengki, bongkak dan sebagainya sebagai pelengkap ajaran Islam yang maha sempurna. Perintah ke atas setiap Muslim agar bersih dalam setiap ibadat sebagai isyarat sentiasa bersih di dalam semua perkara. Bersih adalah mengagungkan Allah, bersih adalah khusyuknya jiwa, bersih adalah kerukunan hati, bersih adalah kemurnian jiwa pemiliknya bersih adalah... bersih adalah...

            Allah menjadikan kebersihan sebagai salah satu prasyarat untuk mendapat kasih sayang Allah. Firman Allah Taala di dalam surah al-Baqarah ayat 222;

إِنَّ اللَّهَ يُحِبُّ التَّوَّابِينَ وَيُحِبُّ الْمُتَطَهِّرِينَ
Maksudnya: Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang Yang banyak bertaubat, dan mengasihi orang-orang yang sentiasa menyucikan diri.

Pujian Allah kepada Ahli Quba’ di dalam surah at-Taubah ayat 108;

رِجَالٌ يُحِبُّونَ أَنْ يَتَطَهَّرُوا وَاللَّهُ يُحِبُّ الْمُطَّهِّرِينَ
Maksudnya: Orang-orang lelaki yang suka (mengambil berat) membersihkan (mensucikan) dirinya; dan Allah mengasihi orang-orang yang membersihkan diri mereka (zahir dan batin).

            Seorang Muslim mesti menjadi contoh kepada segala kecantikan, kesempurnaan dan kebersihan dalam kehidupan seharian. Lambang kepada kebersihan zahir dan batin sebagaimana pesanan baginda kepada sekelompok daripada sahabat di dalam hadis sahih yang diriwayatkan oleh Abu Daud, Ahmad, Hakim dan Baihaqi;

إِنَّكُمْ قَادِمُونَ عَلَى إِخْوَانِكُمْ فَأَصْلِحُوا رِحَالَكُمْ وَأَصْلِحُوا لِبَاسَكُمْ حَتَّى تَكُونُوا كَأَنَّكُمْ شَامَةٌ فِي النَّاسِ فَإِنَّ اللَّهَ لَا يُحِبُّ الْفُحْشَ وَلَا التَّفَحُّشَ

Maksudnya: Sesungguhnya akan kamu masuk bertemu saudara kamu, maka indahkan kenderaan kamu, elokkan pakaian kamu sehingga kamu seperti tahi lalat (jelas terlihat) di hadapan orang ramai. Sesungguhnya Allah tidak menyukai dosa-dosa pada perbuatan dan perkataan dan sengaja melakukan dosa.

Bahkan tuntutan kecantikan menjadi terlebih utama apabila ada keterikatannya dengan sah atau tidaknya sesuatu ibadat yang dilakukan. Sabda Nabi saw sebagaimana diriwayatkan oleh Abu Daud, Nasaie dan Ibn Majah;

لَا يَقْبَلُ اللَّهُ عَزَّ وَجَلَّ صَدَقَةً مِنْ غُلُولٍ وَلَا صَلَاةً بِغَيْرِ طُهُورٍ
Maksudnya: Allah tidak menerima sedekah daripada jalan haram dan tidak menerima solat tanpa bersuci.

APA ITU KEPUTIHAN?

Keputihan: Sebatian yang di rembes oleh sistem peranakan wanita

Maka daripada definisi tersebut dapat difahami keputihan yang keluar dari sistem peranakan wanita terdiri daripada;

1)    Lembapan faraj: Sedikit lembapan yang didapati oleh seorang wanita apabila meletakkan kain di farajnya.

2)    Al-Qassah al-Baido’: Berkata Imam al-Zailaie Sesuatu yang seperti benang putih(bertali) yang keluar dari kemaluan wanita pada hari terakhir haidnya. Sebagai tanda wanita itu telah suci.

Sebahagian ulama mengatakan: Air putih yang keluar pada akhir tempoh haid.

3)    Mazi: Lendir lembut yang likat yang keluar dari qubul tanpa memancut ketika bersyahwat.

4)    Wadi: Lendir lembut putih yang keluar setelah kencing atau keletihan.

5)    Mani: Lendir likat yang keluar dari kemaluan ketika kemuncak syahwat. Mani wanita kuning dan lembut.
           
Semua ini merupakan istilah khusus di kalangan fuqaha berhubung lendir selain darah yang keluar dari sistem peranakan wanita. Di dalam bahasa awam ia dipanggil keputihan. Berkenaan mazi, wadi dan mani tidak dibahaskan di sini kerana sifat dan kriteria air tersebut dapat dikenali dan dibezakan di antara satu sama lain dan hukum mengenai keduanya jelas di sisi kita.

            Perbahasan hanya menjurus yang pertama dan kedua (lembapan faraj & Al-Qassah Al-Baido’) kerana ini yang dimaksudkan dengan keputihan di dalam bahasa orang ramai.

KEADAAN KEPUTIHAN YANG KELUAR DARI SEORANG WANITA

Terdapat tiga keadaan keputihan yang keluar dari sistem peranakan seorang wanita;

1)     Normal: Faraj mengeluarkan lendir tidak  berwarna dan tidak berbau. Ia berfungsi sebagai pelindung semula jadi dengan cara mengurangkan geseran dinding faraj ketika berjalan dan ketika saat melakukan hubungan seks. Dalam keadaan normal lendir ini dominan dan tidak berlebihan, hanya sekadar untuk menjaga ekosistem faraj. Lendir jenis ini tidak keluar dari sistem peranakan wanita dan tidak dipermasalahkan oleh para wanita. Ia seumpama air liur yang sentiasa berada di dalam mulut.

2)     Normal: Keadaannya sepertimana yang pertama. Akan tetapi kadarnya agak berlebihan sehingga ianya meleleh keluar dari sistem peranakan seorang wanita. Ini yang dinamakan keputihan mengikut bahasa awam dan dipermasalahkan oleh para wanita mengenai hukum berkenaannya. Keputihan ini keluar pada ketika;

- Tanda suci dari haid.
- Keluar sebelum kedatangan haid.
- Keluar ketika hamil.
- Keluar ketika waktu subur.
- Ketika persetubuhan dan naik syahwat. (Keputihan ini dikeluarkan dari bibir faraj)
- Mencantumkan di antara benih lelaki dan wanita dan sebagai pembekal makanan kepada benih lelaki yang berada di dalam rahim. (Keputihan ini dikeluarkan oleh pangkal rahim)
- Keluar ketika dalam kemurungan atau kegembiraan teramat sangat.
- Selepas menopaus.

3)     Tidak normal: Keadaan ini berlaku apabila keputihan yang keluar terlalu banyak dan berlaku perubahan pada warna, bau dan rasa gatal. Lendir menjadi kekuningan sehingga kehijauan, rasa gatal, luka bibir faraj, terlalu kental dan berbau. Keadaan ini memerlukan rawatan doktor.

Dari sini dapat difahami bahawa keputihan adalah lembapan faraj yang dimaksudkan oleh fuqaha di dalam kitab-kitab mereka. Lembapan faraj yang normal seumpama peluh pada kulit kita masing-masing. Apabila lembapan ini di rembes secara berlebihan oleh badan, maka awam menamakannya sebagai keputihan.

Adapun keputihan yang keluar sebagai petanda sucinya wanita daripada haid disebut di dalam istilah khusus fuqaha sebagai Al-Qassoh Al-Baido’. Setiap wanita dapat mengetahui dirinya telah tamat tempoh haid dengan dua keadaan; Sama ada dengan keluarnya keputihan atau kering dari darah haid dengan cara dimasukkan kapas ke dalam kemaluan dan kapas itu tidak dicemari dengan darah haid. Ini berdasarkan hadis Saidatina Aisyah ra yang diriwayatkan oleh Bukhari:

كُنَّ نِسَاءٌ يَبْعَثْنَ إِلَى عَائِشَةَ بِالدُّرَجَةِ فِيهَا الْكُرْسُفُ فِيهِ الصُّفْرَةُ فَتَقُولُ لَا تَعْجَلْنَ حَتَّى تَرَيْنَ الْقَصَّةَ الْبَيْضَاءَ
Maksudnya: Sekumpulan wanita pergi bertemu dengan Saidatina Aisyah dengan kapas yang terdapat kekuningan padanya. Maka berkata Saidatina Aisyah: Jangan kalian gopoh, sehinggalah kalian melihat lendir putih.

Ibn Hajar menyebut di dalam Fath Bari: Al-Qassah ialah air putih yang dikeluarkan oleh rahim apabila berakhir tempoh haid.

Berkata Imam Malik: Aku pernah bertanya wanita mengenai lendir putih tersebut. Ia merupakan perkara yang makruf yang para wanita mengetahuinya ketika bersih daripada haid.

KAWASAN YANG MENGELUARKAN KEPUTIHAN

Terdapat empat tempat yang mengeluarkan keputihan bagi wanita;

1)     Vulva (Bibir faraj)
2)     Vagina (Faraj)
3)     Cervix (Pangkal Rahim)
4)     Uterus (Rahim).


Kawasan yang paling banyak mengeluarkan keputihan yang berlebihan jika berlaku perubahan hormon ialahpangkal rahim dan faraj.

PERANAN KEPUTIHAN NORMAL KEPADA WANITA

Keputihan yang normal berperanan sebagai;

1)     Melembap
2)     Membersihkan
3)     Penyediaan medium pH yg sesuai utk badan dan peranakan
4)     Cairan semula jadi yang membantu ketika berlaku persetubuhan.
5)     Membersihkan sistem peranakan dan membuang sel-sel lama dan mengganti dengan yang baru.

Di dalam Subul as-Salam menukilkan ucapan para doktor: Sesungguhnya air putih ini (Al-Qassah) yang datang setelah haid sebagai melembutkan dinding rahim. Dinding rahim dibalut dan melembut dengan air ini sebagai persediaan menyambut benih baru setelah membuang benih lama yang tidak disenyawakan. Mereka berkata: Ia sebagai katil dan hamparan kepada tetamu yang ditunggu.

Berbaki persoalan untuk dijawab:

1)     Adakah keputihan itu membatalkan wuduk
2)     Adakah keputihan itu najis

PERKARA MEMBATALKAN WUDUK

Terdapat 4 perkara yang membatalkan wuduk di dalam Mazhab kita Imam Syafie;

1)     Keluar sesuatu dari qubul atau dubur kecuali mani
2)     Hilang akal kecuali tidur tetap papan punggung
3)     Sentuh kulit lelaki dan wanita tanpa lapik
4)     Menyentuh kemaluan anak Adam dengan telapak tangan.

-          Apakah qubul bagi seorang wanita?

Jelas kepada kita semua tanpa diperjelaskan qubul wanita berbeza dengan qubul bagi seorang lelaki. Penjelasan berkenaan ini penting agar tidak meletakkan hukum yang berlainan pada tempat yang sama.

Berkata al-Khatib Syarbini: Para Fuqaha menggunakan bahasa “keluar dari dua jalan” sekadar mengikut kebiasaan kerana hakikatnya bagi wanita terdapat tiga jalan. Dua di qubul dan satu di dubur.

Dua saluran qubul yang dimaksudkan bagi wanita ialah saluran peranakan dan saluran kencing.

-          Apakah semua yang keluar dari qubul membatalkan wuduk?

Para Fuqaha membahagikan benda yang keluar dari qubul dan dubur dengan;

1)     Kebiasaan keluar melalui jalan tersebut seumpama tahi, air kencing, angin, mazi dan wadi. Adapun keluar mani tidak membatalkan wuduk.

2)     Jarang-jarang keluar dari qubul dan dubur seumpama batu, cacing, kencing tidak lawas dan istihadah.


Pada pandangan Syafieyah batal wuduk jika keluar sesuatu dari qubul atau dubur sama ada benda yang menjadi kebiasaan keluar dari situ atau tidak. Hanya sanya terdapat perbincangan Ulama selain Syafieyyah pada benda yang tidak menjadi kebiasaan yang keluar dari qubul atau dubur seumpama batu, cacing dan seumpamanya. Maka dapat disimpulkan di sini, keputihan yang keluar merupakan salah satu di antara perkara yang membatalkan wuduk.

ADAKAH KEPUTIHAN ITU NAJIS?

Berselisih ulama pada hukum keputihan berdasarkan definisi yang diberikan oleh mereka berhubung keputihan: Air yang berada di antara mazi dan peluh.

1)    Kelompok yang mengatakan unsur peluh lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia bersih. Ini kerana peluh bersih dan tidak najis. Ini berdasarkan hadis Anas bin Malik yang diriwayatkan oleh Muslim:

عَنْ أَنَسِ بْنِ مَالِكٍ قَالَ دَخَلَ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ عِنْدَنَا فَعَرِقَ وَجَاءَتْ أُمِّي بِقَارُورَةٍ فَجَعَلَتْ تَسْلِتُ الْعَرَقَ فِيهَا فَاسْتَيْقَظَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ يَا أُمَّ سُلَيْمٍ مَا هَذَا الَّذِي تَصْنَعِينَ قَالَتْ هَذَا عَرَقُكَ نَجْعَلُهُ فِي طِيبِنَا وَهُوَ مِنْ أَطْيَبِ الطِّيبِ
Maksudnya: Baginda Nabi masuk kepada kami dan tidur qailulah. Baginda berpeluh ketika tidur. Maka ibu ku datang dengan membawa bekas lalu menadah peluh baginda ke dalam bekas tersebut. Baginda Nabi terjaga dan berkata: Wahai Umma Sulaim, apa yang sedang engkau lakukan. Dia menjawab: Ini peluh mu. Kami ingin menjadikannya ia minyak wangi kami dan ia merupakan sebaik-baik wangian.

2)    Kelompok yang mengatakan unsur mazi lebih banyak di dalam keputihan mengatakan ia najis. Ini berdasarkan hadis Sayidina Ali yang diriwayatkan oleh Muslim:

عَنْ عَلِيٍّ قَالَ كُنْتُ رَجُلًا مَذَّاءً وَكُنْتُ أَسْتَحْيِي أَنْ أَسْأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِمَكَانِ ابْنَتِهِ فَأَمَرْتُ الْمِقْدَادَ بْنَ الْأَسْوَدِ فَسَأَلَهُ فَقَالَ يَغْسِلُ ذَكَرَهُ وَيَتَوَضَّأُ

Maksudnya: Aku lelaki yang sentiasa keluar air mazi. Aku malu untuk bertanya baginda Nabi saw kerana aku menantu baginda. Aku meminta al-Miqdad bin Aswab untuk bertanya baginda. Baginda menjawab: Hendaklah dia membasuh kemaluannya dan berwuduk.

Dari hadis ini jelas menunjukkan mazi najis dan membatalkan wuduk.

Kelompok yang mengatakan lembapan/keputihan menyamai peluh lebih kuat. Maka daripada apa yang telah disebutkan dapat disimpulkan sebagaimana yang disebut di dalam Nihayah al-Muhtaj & Tuhfah al-Muhtaj (dua kitab muktabar di dalam Mazhab Syafie):

Keputihan itu terdapat tiga jenis:

1)     Bersih. Iaitu yang berada di tempat yang terzahir ketika duduk bagi seorang wanita. Kawasan yang wajib dibasuh ketika mandi junub dan istinjak.
(Keputihan yang datang dari bibir faraj /vulva).
2)     Najis. Keluar dari dalam faraj. Iaitu kawasan yang melebihi kadar yang boleh dicapai oleh zakar.
(Keputihan yang datang dari pangkal rahim/cervic dan rahim/uterus)
3)     Bersih mengikut pendapat terkuat. Dari kawasan yang mampu dicapai oleh zakar.
(Keputihan yang datang dari faraj/vagina. Panjang vagina dalam 7-9 cm).

Di sini dapat kita memahami kaedah ulama yang mengatakan setiap benda yang mengalir di dalam tubuh benda hidup hukumnya najis. Seumpama darah, muntah, kencing dan lain-lain.

- Kemungkinan ada yang mempersoalkan, kenapa dihukum bersih keputihan/lembapan yang datang dari kawasan yang boleh dicapai oleh zakar sedangkan ia termasuk kawasan di dalam tubuh manusia?. Penulis tambah di sini fatwa Ibn Hajar al-Haitami di dalam kitabnya al-Fatawa al-Kubra al-Fiqhiyyah berhubung masalah tersebut:

“Soalan: Keputihan/lembapan yang secara nas mengatakan ianya bersih, apakah termasuk keputihan yang didapati ketika berjimak yang kadang-kadang ianya keluar, ataupun ia tidak termasuk kategori bersih?

Jawapan: Secara jelas sesungguhnya lembapan faraj haiwan (termasuk manusia)  yang bersih, juga bersih jika ia berada di zahir. Iaitu yang didapati di antara dua bibir faraj. Sama hukum bersih sama ada masih di bibir faraj atau yang telah berpindah.
Berlainan hukumnya lembapan yang datang dari dalam iaitu yang datang dari belakang bibir faraj. Ianya najis akan tetapi tidak dikatakan najis kecuali setelah berpindah dari tempat asalnya (dalam faraj). Ini kerana setiap yang masih berada di dalam rongga tidak dihukumkan dengan najis kecuali setelah berpisah dari tempat tersebut.

Bertitik tolak daripada situ tidak dikatakan najis zakar individu yang bersetubuh kerana asal normal keadaan tidak akan meleleh keluar lembapan dari dalam faraj. Jika diyakini keluar lembapan itu ketika jimak maka najislah bibir faraj dan zakar yang menyetubuhinya. Maka lembapan yang keluar ketika jimak;

1)     Diyakini datang dari zahir
2)     Syak sama ada datang dari zahir atau dari dalam. Kedua-dua keadaan ini dihukumkan ia bersih

Jika diyakini ia datang dari dalam maka lembapan itu najis.”

KESIMPULAN

1)     Keputihan yang keluar tidak semestinya penyakit. Keputihan yang normal atau tidak dapat diketahui oleh wanita itu sendiri
2)     Keputihan/lembapan yang berada di bibir faraj bersih sama ada terpisah dari bibir faraj atau tidak. Ia menyamai peluh di anggota badan. Ini pendapat terkuat di kalangan Syafieyah.
3)     Keputihan yang datang dari kawasan dalam faraj tidak dihukumkan najis kecuali terpisah dari kawasan asalnya.
4)     Jika meragui sama ada lembapan/keputihan dari bibir faraj atau dalam faraj, maka hukumnya bersih.
5)     Jika pasti lembapan/keputihan dari dalam faraj sepakat ulama syafieyah mengatakan ia najis.
6)     Keputihan yang keluar dari dalam rongga peranakan sehingga membasahkan pakaian dalam membatalkan wuduk kecuali pakaian dalam dilembapkan oleh lendir dari bibir faraj. Ini tidak membatalkan wuduk.

Nota hujung: Dikatakan di antara punca masalah keputihan (tidak normal) yang berlebihan sehingga keputihan yang keluar menjadi kekuningan sehingga kehijauan dan berbau busuk yang menimpa para wanita adalah disebabkan memakan kubis bulat atau kuahnya. Kesannya boleh membawa kegatalan, rasa sakit, tidak selesa dan jangkitan kuman kepada kemaluan wanita tersebut. Jika masalah ini serius ia boleh membawa kepada penyakit kanser pangkal rahim, kemandulan dan Migrain.

Allahu A’lam

Disediakan oleh:

Muhammad Aidil Azwal bin Zainudin

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket