Showing posts with label KOLEKSI CERPEN. Show all posts
Showing posts with label KOLEKSI CERPEN. Show all posts

Friday, June 10, 2011

DAHULUKAN KEPENTINGAN ALLAH

Akhirnya setelah dua tahun menghilang diri, Normah kembali ke rumahnya. Seperti dahulu, dia masih cantik bergaya. Lenggoknya masih gemalai, pinggang masih ramping, gincu masih merah dan mekap masih tebal. Jika berselisih, aroma pewanginya masih kuat menusuk hidung.

Namun bezanya, Normah kelihatan tidak begitu ceria. Zahirnya dia begitu anggun tapi wajahnya terlukis warna yang muram dan lesu. Tutur katanya perlahan dan tidak bermaya seperti orang keresahan.

"Kenapa awak balik? Pergilah ikut jantan. Awak tak ada pun saya boleh jaga anak-anak kita ni!!" jerkah suaminya, Halim sebaik melihat Normah pulang dengan menjinjing sebuah beg besar.

Normah tidak menjawab kerana dia tahu, itu memang salahnya. Dia Cuma berdiri di pintu dan menundukkan muka. Halim sebaliknya terus membelasah isterinya itu dengan kata-kata keras. Sudah lama geram itu menggelodak di hati, lalu inilah masa untuk melepaskannya.

Normah masih terpaku di muka pintu. Dikesat air mata yang bergenang. Tiada sepatah perkataan pun di balasnya kata-kata Halim itu kerana hajatnya pulang bukanlah untuk bertengkar. Hasratnya Cuma satu, untuk pulang ke pangkuan suami dan anak-anak.

Jika diikutkan hati memang hendak dihalaunya Normah, tapi disebabkan anak-anak, Halim menahan juga kemarahannya. Dibiarkan Normah masuk ke rumah yang telah lebih dua tahun ditinggalkannya itu.

Bagi Halim, kepulangan Normah tidak membawa apa-apa erti lagi dalam hidupnya. Malah ia cuma memulakan semula kekalutan yang sudah dirungkaikannya, mengeruhkan hidup yang mula jernih dan memarakkan semula api yang telah dipadamkan.

Dua tahun dahulu, Normah meninggalkan Halim dan dua anaknya, Iffa, 5, dan Aina, 2.Yang ditinggalkan hanyalah sekeping nota menyatakan yang dia ingin hidup bersama kekasihnya.

" Saya rasa kita dah tak ada persefahaman lagi. Saya mahu hidup bahagia dengannya" demikian antara lain nota yang ditinggalkannya untuk Halim.

Kesalnya dia dengan tindakan Normah tidak terkata. Halim akui sejak akhir-akhir ini Normah sudah berubah. Kalau dulu layanannya begitu baik, sekarang mula dingin. Pantang silap sedikit, mulalah naik angin. Kata-katanya pula, selalu saja diiringi sindiran. Sudahlah begitu, sering pula Normah meminta barang-barang mewah di luar kemampuan Halim. Itulah yang menghairankan Halim.

Lama-kelamaan, Halim terhidu pula berita Normah menjalin hubungan sulit dengan lelaki berada. Dia ada bertanya tentang hal itu, namun Normah pantas menafikannya. Walaupun Halim menekannya dengan cerita dan bukti-bukti, tapi Normah tetap tidak menidakkannya. Malah dituduh pula suaminya cemburu buta.

Nah, sekarang terbukti sudah kebimbangannya itu. Tapi apa yang boleh dilakukan, nasi sudah menjadi bubur.

Sejak Normah meninggalkannya, hidup Halim tidak terurus. Terpaksalah dia membesarkan anaknya itu sendirian. Dialah ibu dialah bapa. Dengan gajinya sebagai penyelia kilang yang tidak seberapa dan menyewa pula di sebuah rumah di pinggir Kuala Lumpur, tentulah sukar untuk dia menguruskan hidup.

Kalau kanak-kanak lain selalu bertukar pakaian, anak-anaknya dengan baju dua tiga pasang itulah.
Makan yang mewah jauh sekali, kecuali apabila dia mendapat gaji.

Rutin hidupnya, awal pagi menghantar anak-anaknya ke rumah ibunya dan malam menjemput mereka pulang. Dialah yang memasak dan mengemas rumah. Kadangkala adik perempuannya turut membantu menguruskan keluarganya.

Memang hidpnya sukar, tapi Halim belum tergerak untuk berkahwin lagi. Baginya, biar susah macam mana pun, semua halangan itu akan dirempuhinya. Tambahan pula Normah masih tidak diceraikan.

Halim juga mahu membuktikan kepada Normah bahawa tanpa wnita itu, dia boleh menguruskan keluarga. Dan juga, kalau kemewahan yang menyebabkan Normah meninggalkannya, Halim ingin buktikan bahawa tanpa wang yang banyak sekalipun dia boleh hidup bahagia.

Ternyata tanpa Normah, Halim mampu membesarkan anak-anaknya seperti ibu bapa lain. Iffa dan Aina juga kian lama kian melupakan ibu mereka. Malah melihat gambar pun mereka benci.

Bukan Halim yang menghasut tapi kerana Normah sendiri yang bengis terhadap anak-anak.

Kerana itulah, kepulangan Normah membangkitkan semula kemarahan Halim. Tambahan pula Halim mendapati ada sesuatu yang tidak kena dengan perut Normah. Ia membuncit seperti sedang hamil. Bagaimanapun dia tidak mahu bertanya kepada wanita itu.

"Tempat awak di sana!" kata Halim menunjukkan Normah ke arah sebuah bilik kecil. Di dalamnya ada sebuah tilam bujang yang kusam. Bertompok sana, bertompok sini.

"Nak alas, cari sendiri," kata Halim, lalu menyindir "itupun kalau awak ingat kat mana nak cari...." Normah ditinggalkan sendirian.

Malam itu, Normah tidur seorang diri dalam bilik sempit dan penuh barang-barang. Sementara Halim tidur bersama dua anaknya di bilik lain. Bila anak-anaknya pulang, Normah cuba membelai mereka tapi Iffa dan Aina segera menjauhkan diri. Dipujuk dengan bermacam-macam cara pun tidak berkesan. Terpaksalah Normah membawa diri ke dalam bilik dan menangis teresak-esak.

Begitulah keadaan mereka setiap hari. Normah menjadi orang asing di dalam rumahnya sendiri sementara Halim meneruskan hidup seperti biasa. Mereka tidur berasingan dan setiap pagi, anak-anak dihantar ke rumah ibunya tidak jauh dari situ.

Ternyata telahan Halim tepat. Dari sehari ke sehari dilihatnya perut Normah semakin membusung. Lain macam bulatnya. Setelah didesak dan dijerkah berkali-kali, Normah terpaksa mengaku dirinya berbadan dua.

"Aku dah agak. Patutlah awak balik...nak suruh aku jadi bapak pada budak tu, kan? Nak jadikan aku pak sanggup?" Halim melepaskan paku buah keras.

"Bukan macam tu bang, saya..." tapi belum pun sempat Normah menghabiskan cakap, Halim memintas " Saya apa?! Saya tak buat benda tak senonoh tu? Budak tu anak aku? Tolong sikit....bila masa aku sentuh badan kamu tu? Hah?"

Bagi menutup malu, Normah memakan makanan yang tajam, pedas dan berasid untuk menggugurkan kandungannya, tetapi gagal. Perutnya terus-menerus membesar.

Gagal cara itu, dia pergi ke klinik swasta pula. Bagaimanapun doctor tidak mengizinkan kerana risikonya terlalu tinggi. Kata doktor, kandungannya sudah besar dan jika digugurkan, ia boleh mengundang maut.

Semakin hari jiwa Normah semakin tertekan. Perut kian memboyot sedangkan anak dan suami pula tidak menghiraukan kehadirannya. Dia menjadi melukut di tepi gantang dalam rumah sendiri. Suami menjauhkan diri bila hendak mengadu dan anak pula tidak menganggapnya ibu untuk mereka bermanja.

Tidak ada jalan lain, Normah meminta Halim menghantarkan dia ke rumah ibunya. Tentu saja Halim
tidak membangkang. Memang itu yang dia mahukan. Namun sambutan ibu bapanya juga mengecewakan.

"Dua tahun kamu tinggalkan suami dan anak, tiba-tiba baru dua bulan balik perut kamu dah besar macam ni. Huh...memang patut pun Halim buat macam ni. Kamu derhaka pada dia!" kata bapa Normah, Haji Shafie bila mendapati anaknya itu hamil.

Dari sehari ke sehari tekanan perasaannya tambah menebal. Ia kian merundung bila tumbuh pula cacar di badannya. Dari kecil ia membesar, dan dari sebiji-sebiji ia merata memenuhi badan. Di dalam cacar itu, menguning nanah busuk dan jelik baunya. Pada waktu yang sama, Normah mengidap darah tinggi pula.

Tekanan perasaan yang melampau itu menyebabkan Normah dibawa oleh ibu bapanya berjumpa dengan pakar jiwa. Bermacam-macam ubat dan rawatan diberikan tapi ternyata begitu sukar untuk dia dipulihkan.

Disebabkan badannya terlalu lemah, doktor mencadangkan supaya Normah bersalin melalui cara
pembedahan apabila usia kandungannya mencecah tujuh bulan lebih sedikit.

Pada waktu yang ditetapkan, Normah dimasukkan ke wad. Seminggu sebelum dibedah, dia mula meracau-racau dan meraung. Bermacam-macam dijeritkannya tanpa hujung pangkal. Dimaki hamunnya emak dan ayah seta jururawat yang datang. Kemudian Normah menangis pula hendak
balik dan melihat anak-anak.

Dalam keadaan yang kritikal itulah ayahnya, Pak Cik Shafie menelefon saya dan menceritakan keadaan anaknya itu secara ringkas.

" Pak cik tak mahu nak salahkan sesiapa. Dua-dua ada buat silap. Tapi sekarang ni pak cik minta ustaz usahakanlah ubat anak pak cik tu," katanya. Daripada suaranya itu saya tahu dia sedang menahan sebak.

" Saya di Sarawak sekarang ni pak cik. Dua hari lagi saya balik. Tapi buat sementara ni, usahakan baca Yasin dulu. Bila saya balik nanti, saya terus ke sana," jawab saya.

Sekembalinya ke Semenanjung saya terus menziarahi Normah. Keadaannya sama seperti yang diceritakan oleh bapanya.Mengerang kesakitan, meracau, meronta-ronta, dan bercakap tidak keruan. Keadannya ketika itu memang menyedihkan kerana dalam keadaan perut memboyot dia meraung seperti hilang akal.

Namun timbul pertanyaan di fikiran saya selepas dibacakan Yasin, keadaan Normah bertambah buruk. Keadaanya ibarat mencurah minyak ke api, makin disiram makin besar maraknya. Ibu bapa dan adik beradik Normah menangis milihat keadaan dirinya.

"Pak cik mana suami dengan anak-anaknya?" saya bertanya bila melihat suami dan anak-anak Normah tidak menziarahinya.

" Itulah yang saya nak cakap pada ustaz. Saya dah pujuk, rayu dia datanglah tengok anak saya ni. Kata saya, walau besar mana pun dosa anak saya, kalau dia menderhaka sekalipun, tapi dalam keadaan macam ni bukankah elok kalau dia di ampunkan? Tapi dia tak mau. Jengah pun tidak," kata Haji Shafie kesal.

"Dia marah lagi agaknya," saya menyambung. "Saya tau... kalau jadi pada kita pun kita marah. Saya
bukanlah nak salahkan dia, tapi yang sudak tu sudahlah. Anak saya pun bersalah, saya mengaku,"
tambah Haji Shafie.

"Kalau macam tu," tambah saya," bawa saya jumpa menantu pak cik tu. Insya-Allah kita sama-sama pujuk dia."

Seperti yang dipersetujui, beberapa hari kemudian saya dibawa oleh Haji Shafie berjumpa dengan
menantunya itu.

"Yang sudah tu sudahlah Lim, ampunkanlah dia. Normah tengah tenat tu," Haji Shafie merayu.

" Dua tahun dia tinggalkan kami anak beranak. Balik-balik, mengandung...suami mana yang tak marah, ayah ?. Mana saya nak letak muka saya ni ? Dayus, pucuk layu , tak ada punai, tak tau jaga bini, macam-macam lagi orang hina saya...' tambah Halim melepaskan segala yang terbuku di hati. Bermacam-macam lagi di rungutkan hingga tidak sanggup kami mendengarnya.

" Ayah faham perasaan kau. Ayah tau Normah yang salah, derhaka pada kau , tapi dia tengah tenat
sekarang ni," Haji Shafie merayu lagi , Halim tidak menjawab sepatah pun . Nafasnya saja yang turun naik manakala muka merah padam menahan marah.

Bila keberangan nya semakin reda saya menasihatkan Halim supaya melupakan perkara yang telah berlalu itu. "Mengampunkan orang lain lebih baik daripada membalas dendam . Isteri awak menderita sekarang ini pun sebab dia sudah sedar dengan kesalahan dia, jadi eloklah awak maafkan," kata saya.

Lalu saya ...hadis dan firman Allah berkaitan ...Ternyata Halim sudah berpatah arang berkerat rotan " Saya tak akan jenguk dan saya tak akan ampunkan dia. Isteri durhaka ! " katanya.

Sampailah hari Normah di bedah , Halim langsung tidak menjengukkan mukanya. Iffa dan Aina juga di larang daripada menjengah ibu mereka.

Bagaimanapun , di sebabkan keadaan Normah yang tenat, makan minum tidak menentu , bayi yang di lahirkannya meninggal dunia beberapa hari kemudian. Normah pula sejak sedar daripada pembedahan semakin teruk jadinya.

Setiap hari, terutamanya tengah malam dan senja dia akan meracau. Yang mengibkan , racauannya kini mendedahkan segala pelakuan jelik yang di lakukannya selama meninggalkan Halim dan anak-anak.

Antaranya, Normah menceritakan yang dia telah mengikut lelaki hingga ke Siam dan kemudian hidup
seperti suami isteri. Selepas berpisah dengan lelaki itu, dia bersekedudukan pula dengan lelaki lain. Tidak kurang dengan tiga lelaki telah dia berzina.

"Abang..ampunkanlah saya. Saya derhaka, saya jahat, saya malukan abang...maafkanlah saya..."dia terus menangis dan meratap. Setiap hari bermacam-macam rahsia di dedahkannya; tentang tempat-tempat maksiat yang pernah dia pergi bersama teman lelaki, kawan-kawan lain yang sama saja perangai dengannya juga kekecewaannya bila di permainkan lelaki-lelaki terbabit.

"Abang, Iffa, Aina...marilah tengok emak . Emak tak jahat lagi,. Emak nak jadi baik. Emak nak jadi lawa, pandai, suka masak, kita pergi sungai..." ratapnya lagi bercampur dengan kata-kata yang melalut.

Tidak dapat hendak di gambarkan bagaimana malunya Haji Shafie dan isterinya setiap kali Normah
menelanjangkan keburukannya sendiri. Berbagai-bagai cara mereka lakukan supaya Normah berhenti meracau seperti menutup mulut, memujuknya diam dan kadangkala turut sama bercakap supaya orang-orang di sekeliling tidak mendengar , tetapi usaha itu tidak berhasil.

Setelah hampir sebulan Normah mendedahkan kecurangannya, keadaan wanita itu bertambah parah 
Tekanan darahnya menurun dan kerap tidak sedarkan diri. Badannya yang kurus makin melidi kerana Normah tidak mahu menjamah makanan . Yang di lakukan sepanjang hari hanyalah menangis dan meminta ampun kepada Halim. Setelah itu dia kembali terkulai tidak sedarkan diri.

Haji Shafie sekali lagi menemui saya.

"Ustaz pujuklah menantu saya tu. Mintalah dia datang jenguk Normah dan ampunkan lah kesalahan dia. Memang anak saya bersalah , tapi dalam keadaan sekarang , Cuma keampunan suami saja yang boleh selamatkan dia," kata haji Shafie. Isterinya sejak tadi saya tengok tiada berhenti-henti mengesat air mata .

" Kalau begitu, mari kita pergi jumpa Halim," kata saya.

Puas kami memujuknya . Alhamdulillah, setelah berbagai-bagai alas an di beri, akhirnya Halim
bersetuju. Bagaimanapun saya lihat dia seperti terpaksa saja. Langkahnya berat dan nampak kurang
ikhlas.

" Sudahlah Lim, lupakan yang lepas-lepas. Buangkan dendam, gantikan dengan kemaafan. Insya-Allah, semua pihak akan dapat keberkatanNya," kata saya semasa Halim hendak memasuki kereta. Dia cuma tersenyum tawar.

Demi terpandang saja Halim datang menjenguk, Normah dengan suara yang amat lemah memohon maaf kepada suaminya itu.

" Sa..sa..ya der...haa..ka pada abaaaang.." katanya antara dengar dengan tidak. Sambil air mata jatuh berlinangan , dia mengangkat tangannya untuk meminta maaf, tapi terlalu sukar. Ibunya cepat-cepat membantu.

" Yalah..."jawab Halim perlahan lantas menyambut tangan Normah. Reaksinya masih tawar. Dia belum benar-benar ikhlas.

Petang itu kami bersama-sama membacakan surah Yasin dan ayat-ayat suci al-Quran untuk Normah yang kelihatan semakin teruk. Bagaimana pun bila Normah meminta ampun sekali lagi, saya lihat Halim semakin ikhlas menyambutnya. Saya tersenyum. Mungkin hatinya sudah sejuk melihat penderitaan Normah.

Lebih kurang pukul 5.00 petang saya meminta diri kerana ada urusan penting. Sebelum pulang saya
berpesan; " Lim, sekarang ni awak saja yang boleh selamatkan Normah. Dia harapkan sangat keampunan daripada awak. Selepas itu, serahkan kepada Allah. Kalau sembuh, alhamdulillah, kalau tidak biarlah dia pergi dengan aman ".

" Terima kasih ustaz," balas Halim.

Seminggu kemudian Halim datang ke rumah saya dan memaklumkan bahawa Normah telah meninggal dunia . Bagaimanapun , dia membawa juga kisah yang menginsafkan mengenai pemergian Normah.

"Ustaz," Halim memulakan ceritanya, " malam tu Cuma tinggal saya dan anak-anak saja duduk di tepi Normah. Ibu dan bapa dia ke kantin untuk makan. Bila saya bacakan Yasin , saya tengok air mata arwah mengalir setitik demi setitik. Saya tau dia benar-benar insaf dengan kesalahannya dulu, curang pada saya, derhaka pada suami, tinggalkan anak-anak.

' Sampai di ayat salamun qaulam mirrabir rahim, saya ulang tiga kali. Setelah habis, saya usap dahi arwah. Saya lakukannya dengan ikhlas sebab tidak sampai hati tengok hati dia menderita.

" Setelah menciumnya tiga kali tiba-tiba dia nazak. Nafasnya di tarik dalam-dalam tapi nampak susah sangat. Sekejap kemudian nafasnya laju, tapi lepas itu lambat betul. Saya cemas. Dah dekat ke ?

" Tiba-tiba Aina menangis . Entah apa yang di gaduhkan dengan kakaknya saya pun tak tau . Kuat betul dia menangis sampai saya tak sanggup nak dengar.

" Berbelah bagi juga sama ada antara anak dan isteri yang tengah sakit, tapi bila fikirkan tangisan budak itu mengganggu pesakit lain, saya terus ambil Aina dan pujuk dia. Susah pula nak pujuk dia hari tu sampai terpaksa dukung dan bawa ke luar wad."

" Namun bila kembali ke wad, saya dapati Normah dah tidak bernafas lagi.

" Luka memang berdarah lagi, ustaz, tapi bila dia meninggal tanpa ada sesiapapun di sebelahnya, menitis juga air mata saya. Yalah, kalau orang lain pergi dengan baik, ada orang tolong bisikan syahadah, bacakan Yasin, dia pula pergi macam tu. Agaknya itulah balasan untuk isteri yang derhaka '.

Oleh itu, jika berlaku pertembungan antara kepentingan manusia dengan kepentingan Allah......DAHULUKAN KEPENTINGAN ALLAH.... 

Mood: Sad

KELIKIR CINTA HUMAIRAH


KAU lelaki tak punya perasaan.” Sergah suatu suara mematikan lamunanku suatu petang.
“Kau lelaki pasif. Angkuh dan ego dengan kekacakanmu. Tidak pernah memikirkan hati manusia lain yang bernama wanita.” Suatu suara lain lebih merdu persis suara wanita.

“Aku?” Aku bertanya suara-suara yang aku dengar tadi.
“Ya…” Mereka menjawab serentak. Aku terkasima.

“Siapa kamu berdua. Apa tujuan kamu mengganggu aku?”
“Kau tak kenal kami Akhi?” Soal suara si wanita yang merdu itu. Aku cuma menggeleng. Tubuhku mula menggeletar. Aku bukan bermimpi lagi. Suara itu semakin jelas didengari. Ia bukan ilusi.
“Aku tak kenal kamu berdua!” Jelasku bernada getar.

“Kau yang mencipta kami. Kau lupa?”
“Cipta??? Cipta… aku cipta kamu berdua?” Aku semakin bingung. “Bila pula aku cipta kamu berdua?” Aku kembali melontar persoalan.

“Kau memang cepat lupa… Akhi. Aku tahu kau seorang penulis karya seni tapi hari ini kau melupakan watak-watak karyamu yang pernah kau cipta itu.” Suara si lelaki mendatar. Aku dapat membaca kekecewaan yang terzahir.
“Kau kagum bila karyamu dipuji-puja. Tapi kau sepatutnya merasa bersalah menciptakan watak-watak seperti kami! Apa motif kau berkarya Akhi?” Soalan merdu wanita tadi kembali menghantui.
“Kenapa pula kamu berdua kata begitu?” Aku memberanikan diri bertanya suara-suara tadi. Aku bangun dari katil bujangku mengahampiri jendela bilik di sebelah barat. Suara tadi seolah-olah terpacul dari situ. Aku yakin aku perlu mendapatkan penjelasan selanjutnya dari mereka.
“Habis???” Soal suara si lelaki kembali.
“Aku tidak gemar berbicara dengan orang yang tidak aku kenali!”
“Kau memang pandai mencipta provokasi dan falsafah yang menyusahkan orang.”
“Aku tidak bermaksud begitu.”
“Itu bukan urusan aku.”
“Siapa kamu berdua? Aku lebih suka mengenali…” Tuturku lembut.

“Baiklah… Aku jelaskan padamu yang aku ini watak yang pernah kau cipta dalam karyamu. Aku muncul untuk menuntut hak aku.”
“Hak kau??? Siapa kau wahai suara?”
“Aku Syam. Kau tentu kenal bukan?”

Syam! Akalku ligat berfikir. Mencari insan bernama Syam. Tetapi gagal untuk bertemu. Aku jadi serba salah.
“Aku Aisyah.” Sambung suara merdu yang kian lama terdiam.
“Syam… Aisyah?” Aku masih mencari.
“Kami berdua watak yang kau cipta dalam karyamu yang berjudul Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah). Apa kau dah lupa. Ahhh..sesingkat itu kau melupakan kami.”

“Aku masih ingat…” Jawabku sepontan.
“Ha..Ha..ha..ha…Hi..hi..hi..” Suara Syam dan Aisyah ketawa mengilai. Aku berundur sedikit ke belakang. Tubuhku seram sejuk. Aku rasa mahu saja aku terus lari meninggalkan suara-suara tadi. Suara-suara yang aneh dan menakutkan. Bulu romaku kembali terpacak.
Tiba-tiba pintu bilikku terkuak. Aku terkejut lagi untuk kesekian kalinya. Jantungku berdegup semakin kencang. Kak Long masuk ke dalam bilikku sambil menatang sedulang juadah. Aku mengawal diri supaya tidak timbul syak di hati Kak Long. Peristiwa tadi biarlah menjadi igauanku seorang. Kak Long tersenyum ke arahku. Aku membalas dengan senyuman yang hambar. Suara-suara tadi sudah menghilang entah ke mana.
“Hai Syam lain macam saja akak tengok. Kenapa?”
“Syam tak apa-apa.” Ujarku manja.
“Ada masalah ke adik akak ni?”
“Tak adalah Kak Long!”
“Betul ni?” Aku mengangguk terharu. Kak Long meletakkan dulang berisi juadah minum petang di atas meja. Aku cuma memerhatikan.
“Ishk…sayang betul Kak Long kat Syam. Buat susah susah saja.” Aku berbasa-basi. Senyuman Kak Long semakin manis. Kak Long mencapai sebuah Novel dari rak bukuku seraya menunjukkan reaksi meminjam sambil berlalu keluar. Pintu kembali tertutup. Kak Long minat membaca. Malah dia pernah menulis Cerpen dan puisi. Tetapi Kak Long sudah usai semenjak bersuami.

Aku merapati meja bacaanku. Kemudian menekan punat power supaya Komputer peribadiku yang semakin dimamah usia itu kembali bertugas. Akalku ligat mencari-cari watak-watak yang pernah aku ciptakan. Seolah ianya seperti tugasan dari suara-suara tadi yang kian mengahantui benak. Aku mula menceroboh fail-fail yang tercipta dari folder-folder yang berlambak-lambak itu. Kuselak satu demi satu karya-karya yang pernah aku hasilkan. Bermula dengan puisi-puisi, esei dan cerpen. Aku lebih tertarik menyelongkar cerpen, kerana biasanya aku gemar mencipta watak menerusi cerpen atau novel. Jarang aku mencipta watak-watak lain dalam genre penulisanku yang lain.
Akhirnya aku menemui cerpen berjudul Dia Seorang Teman. Seperti yang dinyatakan suara-suara tadi. Aku terus menekan mouse komputerku. Malangnya fail itu sudah kosong. Ini bermakna aku harus menyelongkar disket pula. Usaha tidak berpenghujung di situ walaupun disket yang aku maksudkan itu telah dipinjam oleh adikku Syahrul. Mindaku kembali ligat memikirkan alternatif menemukan kembali kisah Dia Seorang Teman (Maafkan Aku Aisyah).
Akhirnya aku mampu membuat konklusi dari sinopsis yang aku cantumkan dari ingatan yang menerpa membantu. Sebenarnya ‘Dia seorang teman’ adalah sebuah cerpen yang mengisahkan tentang kehidupan dua orang teman. Watak hero bernama Syam; seperti namaku dan heroinnya bernama Aisyah. Berlatarkan kehidupan sebagai anak desa Tambak Budi sebuah kampung nelayan Syam dibesarkan dalam keluarga sederhana dan belajar hidup berdikari sejak kecil lagi. Manakala Aisyah membawa watak gadis pintar yang juga anak jati Seberang Tanjung tetapi membesar dan menghabiskan usia kanak-kanaknya bersama Ibu saudaranya di daerah lain. Bapanya seorang pesara tentera sedang ibunya pula seorang pendidik.
Syam bertemu Aisyah di Pantai desanya sewaktu berhibur mendengar kicauan camar dan memerhati alam. Kebetulan mereka satu sekolah malah sekelas. Semenjak sapaan pertamanya dibalas, Syam dan Aisyah membina keakraban sebagai kawan sekelas. Berpendidikan di Sekolan Agama dan tinggal di asrama. Mereka membawa watak bijak sehingga berjaya cemerlang dalam peperiksaan PMR dan SPM hasil kecekalan usaha bersama.
Setelah SPM diumumkan Syam dan Aisyah memohon ke Matrikulasi UIAM. Permohonan mereka berjaya. Namun Keluarga Syam menginginkan dia melanjutkan pelajarannya ke Jordan. Kemahuan keluarga diturutkan dan Aisyah terasa diabaikan. Aisyah hilang pertimbangan. Dia menghilangkan diri. Sewaktu permusafiran Syam ke Jordan, Aisyah menukar haluan. Dia tidak mendaftar di Matrikulasi UIAM sebaliknya memilih untuk belajar di Kolej Swasta. Tinggal bersama rakan-rakan liar di rumah sewa. Aisyah mula berubah. Dia meninggalkan kelazimannya menutup aurat. Akhirnya Aisyah terjebak alias diseret ke dunia jengkel Lesbianisme. Mencintai kaum sejenis dan hubungan Seks di luar tabie. Syam terpana sewaktu mengetahui berita itu melalui buku kecil milik Aisyah yang sengaja ditinggalkan terlempar di pantai sewaktu bertemu dengan Syam yang baru pulang dari Jordan.
Dari apa yang tertulis dalam buku itu, barulah Syam mengerti Aisyah menaruh harapan yang tinggi dalam hubungan mereka. Diruntun desakan ibunya (syam) supaya perhubungan antaranya dengan Aisyah ada pertalian dan ikatan. Akhirnya Aku (penulis) menemukan jodoh mereka. Syam bertemu Aisyah di pantai setelah memohon petunjuk melalui solat istikharahnya. Syam melamar Aisyah. Cinta yang terbina dari kekuatan kesetiaan. Percintaan perlu ada pertautan iaitu perkahwinan. Namun sayang sekali…. adakah Syam yang terlambat atau Aisyah yang bersalah!!!
AaaaaahhhhHHHHHH…..!!!!! Pening! Mindaku ligat berfikir tentang kisah yang pernah aku nukilkan. Di mana salahku? Sehingga aku diserang suara-suara ganjil yang mengaku sebagai Syam dan Aisyah. Aku pernah mencipta watak-watak lain. Misalnya watak Alif sebagai hero dalam cerpen berjudul ‘Lagenda Gadis Kedai Bunga’, watak Wirda heroinnya, Watak Fatimatul Zahra dalam cerpen ‘Warkah Buat Puteriku’, watak Taufiq, Fuad, Azmi dan Fikri dalam ‘Air Mata Karbala Menitis di Kota Kaherah’, Alif, Siti, Fakrul dan Saiful dalam Nostalgia 797 malah banyak lagi; kesemuanya tidak pernah mengganggu aku. Tapi watak Syam dan Aisyah dalam cerpen Dia seorang Teman tiba-tiba menggangguku pula. Mengapa? aHHH… Aku kepeningan memikirkan hal itu. Apa salah aku sehingga Syam dan Aisyah seolah tidak berpuas hati denganku. Aku Buntu!
Aku menemukan mereka sebagai pasangan kawan yang ideal pada awalnya. Aku tautkan kasih sayang yang lahir dari jiwa seorang teman, sehingga saat perpisahan mereka dirasakan amat berat kala remaja. Aku wujudkan perasaan cinta yang terbina dalam runtunan jiwa remaja mereka berdua sewaktu dipisahkan. Dan aku temukan mereka di desa asal mereka sehingga Syam akhirnya menyatakan kecintaan yang lahir dalam jiwa mereka yang sudah lama terbina. Akhirnya aku tautkan percintaan murni mereka itu dengan perkahwinan sebagai ikatan yang sah. Di mana lagi silapku? Ah! Barangkali benarlah seperti yang pernah dituturkan; ‘Sesuatu kelebihan yang ada pada diri seseorang, kadang-kala dinilai sebagai kelemahan oleh mereka yang berada di pojok yang lain.’
Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman ligat bermain di mindaku. Aku mencicip milo yang masih berasap yang dihidang Kak Long. Kujamah cucur udang cicah kuah kacang pekat. Aku tersenyum sendiri. Jika suara-suara tadi datang lagi, sekurang-kurangnya aku sudah bersedia dengan jawapan untuk memastikan aku tidak bersalah.
Kak Long pernah manjadi penulis karya kreatif suatu masa dahulu. Dia Digilai peminat. Malah dari kalangan peminatnya seorang jejaka yang kini menjadi suaminya. Namun kini Kak Long sudah tidak aktif menulis lagi. Mengapa agaknya? ‘Adakah dia juga diganggu watak-watak yang pernah dia cipta seperti apa yang aku alami? Kalau diganggu; adakah itu yang menyebabkan dia berhenti menulis?’ Watak Syam dan Aisyah menuduhku lelaki tanpa perasaan, pasif, angkuh dan ego dengan kekacakan. Malah tidak pernah memikirkan perasaan orang lain terutama wanita. Aku bermonolog sendiri.
“Apa motif kau berkarya Akhi!” Soalan itu kembali menghantui. Maafkan aku Aisyah. Motifku, ingin meminta maaf daripadamu. Aku tidak pernah menafikan kau seorang teman yang baik. Kau hadir tika lara hati. Kaulah yang memujuk duka hati ini, melepaskan lara, memberikan semangat, mendorong kekuatan dan meresahkan jiwa sesekala warkahmu hadir mengusik.
Aku mengenali Aisyah sewaktu jiwa kekosongan sejurus gagal dalam cinta monyet. Cindrelela pertamaku terpaut hati pada lelaki lain. Belum sempat cinta itu mekar kami dipisahkan. Selepas SPM aku melanjutkan pelajaran ke Jordan dalam bidang Bahasa dan Kesusasteraan Arab. Dia masih di peringkat pengajian menengah waktu itu. Perpisahan mengundang kecekalan, kejujuran dan kesetiaan. Namun itu semua sifar. Bibit-bibit cinta kami berakhir dengan kehadiran jejaka lain dalam hidupnya. Sewaktu menjelajah belantara ilmu di Bumi Laut Mati itu, Aisyah hadir mengisi kekosongan.
Aku minta maaf darimu… Aisyah. Aku tidak tahu seawal perkenalan itu cintamu berputik padaku. Sedangkan aku masih belum bersedia menerima cinta itu lagi setelah gagal dengan cinta pertama. Aku terkasima memikirkan perjalanan hidup di usia remajaku. Aku mula sedar kala perhubungan kita semakin akrab cemburuku mendahului segalanya. Mungkin hatiku mula membina istana cinta terhadapmu. Aku mendapat tahu kau menjalin hubungan dengan lelaki lain. Aku tidak betah menerimamu secara realiti lagi setelah itu, meskipun cintamu terhadapku semakin berkembang. Aku terseret mengungguli cara As-Syahid Syed Qutub yang pernah meninggalkan cintanya terhadap seorang gadis gara-gara gadis itu ada menjalinkan hubungan dengan lelaki lain. As-Syahid kemudiannya menumpukan cintanya pada perjuangan Islam. Beliau akhirnya syahid di tali gantung sebagai hadiah cintanya terhadap janji Ilahi. Aku?
Hubungan kita akhirnya hambar. Lantas sengaja aku gunakan namamu, Aisyah sebagai watak penyeri untuk cerpen Dia Seorang Teman. Aku tidak bermotif menyakitkan hatimu, malah bukan untuk menambah sengsara jiwamu. Niatku sekurang-kurangnya watakmu bersatu dengan cinta Protagonis bernama Syam seperti namaku jua. Itu cara terbaik untukku meminta maaf. Aku kirimkan manuskrip cerpen itu padamu supaya dapat kau membacanya. Itulah motifku yang hakiki.
Selama seminggu selepas aku dihantui suara-suara misteri yang mengakui dirinya sebagai watak-watak cerpen Dia Seorang Teman kuhabiskan untuk mengumpul kekuatan, mencari idea dan menajamkan hujah. Penulisanku tergendala. Beberapa cerpen yang sedang kutulis terbengkalai. Esei ibarat karangan merapu. Malah penghasilan puisi-puisiku hambar dan tidak bernafas lagi. Aku kesesatan dalam belantara dunia penulisan. Dunia yang aku tempah sendiri. Berkenalan dengan penulis-penulis gergasi dan menceduk ilmu daripada mereka sehingga mampu menghasilkan cerpen-cerpen bermutu. Menggulung falsafah dan menaladeni disiplin penulisan yang mapan.
Sentuhan penulisan kreatifku semakin pudar warnanya. Lakaran puisi-puisiku setelah peristiwa itu hanya layak dibakulsampahkan. Kalau dihantar ke meja editor penerbitan hanya untuk menyemakkan cuma. Aku hilang semangat menulis. Rupanya apa yang aku alami disedari beberapa teman karyawan. Sukar aku menjelaskan situasi konflik yang kualami. Mereka pasti tidak memahaminya atau aku bakal ditertawakan nanti.
“Kenapa ni Abang? Termenung jer Su tengok dari tadi.” Suraya isteriku mampir menegur. Igauanku serta-merta sirna. Nostalgia sewaktu menjadi Cerpenis alias pengarang kreatif suatu masa dulu hilang. Plot-plot cerpen Dia Seorang Teman yang berlegar di minda hilang tiba-tiba. Aku kini sudah berumah tangga dan keaktifan menulis semakin kurang. Barangkali akibat kesibukan dengan kerjaya sebagai pensyarah di UITM.
“Petang-petang begini memang seronok termenung.” Jawabku selamba.
“Ye lah… seronok. Lagi seronok kalau terkenangkan sesuatu yang istimewa.” Ujar Suraya sinis memintas sambil perlahan-lahan duduk di kerusi batu sebelahku.
“Istimewa? Tak adalah… Mana ada. Nak kenangkan apa pula?”
“Mana lah Su tahu. Entah-entah….” Aku menoleh ke arah isteriku sambil tersenyum. Kalimah Suraya mati di situ.
“Entah-entah apa?”
“Entah-entah masih teringatkan Si ‘dia’ kot?”
“Siapa?”
“Sapa tu, Ai… Aisyah kot.” Teka isteriku mengingatkan.
“Mana Su tahu ni?”
“Alah… Su dengar abang sebut nama tu tadi seorang-seorang.”
“Betul ke?” Soalku menduga. Suraya menangguk.
“Su… dalam jiwa abang kasih dan sayang abang hanya buat isteri abang. Cinta abang hanya untuk Su! Sebab cinta abang hanya tumpah kepada insan yang menyintai abang. Janganlah salah sangka.”

“Akhi! Aku ibarat bayanganmu. Kau ciptakan aku sesedap rasa. Ibarat menterjemah kehidupanmu. Keluarga yang memartabatkan ilmu, Justeru ayahmu menghantar kau belajar di Jordan. Itulah yang kau lakarkan dalam Cerpen Dia seorang Teman. Unik dan cantik sekali lakaranmu terhadap watakku yang juga watakmu.” Tutur Suara misteri berwatak Syam memotong perbualanku dengan Suraya.
“Jadi? Kenapa mesti kau tak puas hati dengan ciptaanku terhadapmu?”
“Aku tak puas hati kerana kau ciptakan Aisyah seorang yang terjebak lesbianime.” Aku tersenyum mendengar tutur itu.
“Salah?” Soalku sambil mengangkat kening.
“Tentunya.”
“Ia hanya sekadar cerpen. Kau harus faham. Cerpen adalah cereka yang belum tentu sahih. Namun tidak dinafikan ada cerpen yang bertitik tolak kisah benar. Dia Seorang Teman; bermotif untuk menonjolkan nilai pengorbanan yang tinggi dari seorang lelaki terhadap seorang wanita bernama Aisyah selain nilai-nilai lain. Aku menyeret khalayak pembaca menilai lesbianisme dan homoseksual adalah kepincangan yang wajib dibuang jauh dari dunia umat Islam.” Jawabku yakin.

“Aisyah gadis baik. Berpendidikan agama di peringakat menengah. Dibesarkan dalam keluarga yang bertatasusila. Mengapa kau jebakkan dia dalam lesbianisme?”
“Itu bukan hal pelik. Kau lihat sahaja, ada gadis yang terjebak dalam kancah cinta dengan lelaki berlainan agama sanggup menukar agamanya alias murtad. Itukan lebih teruk?”

“Bukankah lebih baik kau temukan cinta antara aku dan Aisyah awal-awal? Barangkali boleh menghalang Aisyah daripada terjebak lesbianisme.”
“Hei… cinta sejati cinta yang perlukan pengorbanan, kesetiaan, kejujuran dan…” Aku mengumpul kekuatan berhujah.
“Cinta sejati jarang tiada halangan. Kau lihat sahaja Kisah Nabi Yusuf dan Zulaikha. Betapa benih cinta di hati Zulaikha tumbuh menyebabkan Yusuf terpenjara. Namun setelah Yusuf dibebaskan dan terpilih menjadi wazir cinta Zulaikha terhadap Yusuf bersatu. Zulaikha ditemui Yusuf di pasar dalam keadaan yang comot menyebut-nyebut nama Yusuf, sedangkan Zulaikha asalnya seorang jelitawan. Itu kisah cinta sejati yang bersatu. Ada juga cinta sejati yang tidak bersatu, terpisah dengan kematian dan sebagainya. Kau masih beruntung. Watakmu kucipta bersatu dengan Aisyah.” Jelasku panjang lebar.

“Bukan itu maksudku!”
“Habis maksud kau… aku tidak boleh memisahkan kau dan Aisyah? Kau tidak boleh ke Jordan? Kalian perlu mendaftar di Matrikulasi UIAM bersama-sama. Begitu?” Soalku mendesak. Tiada jawapan terpacul.
“Kau yakin cinta Aisyah padamu? Atau sedalam mana cintamu pada Aisyah? Atau kau nak kepastian ada bibit-bibit cinta Aisyah terhadapku dalam dunia relitinya. Aku baru nak menanam keyakinan. Tapi istana keyakinanku roboh ketika aku dikhabarkan Aisyah menjalin persahabatan dengan lelaki lain. Cemburuku begitu. Akukah yang bersalah tidak mampu menerima cinta Aisyah?”
Soalan terakhirku melenyapkan suara-suara misteri yang menggangguku. Aku lega setelah itu.
Dalam Cerpen Dia Seorang Teman aku menemukan Aisyah dan Syam. Itu cuma watak-watak yang barangkali tidak terjadi antara Syamsul Bukhari dan Aisyah sebenar dalam dunia realiti. Cukuplah sekadar aku menggunungkan falsafah pengorbanan seorang lelaki terhadap seorang temannya dalam cerpen. Dalam dunia nyata hidup bukan ibarat plot-plot cerpen yang bebas dilakarkan. Pengorbananku barangkali sesuai untuk insan lain. Aku menilai cinta sejatiku untuk insan bergelar isteri.
Kali terakhir aku membaca kalimah-kalimah Aisyah sewaktu masih berada di Jordan. Aisyah melafazkan dia sukar melupakan insan bernama Syamsul Bukhari. Sayang. Semuanya sudah terlewat. Aku diikat pertunangan dengan Suraya, gadis pilihan keluarga yang kukenali semenjak kecil lagi. Cinta Suraya terhadapku cinta sejati. Mungkin cinta itu berputik sewaktu ayahnya pernah bergurau untuk berbesan dengan ayahku semasa kami masih kecil.
Sewaktu aku berhempas pulas menamatkan pengajian di Jordan Suraya menamatkan pengajian dalam bidang Usuluddin di Universiti Al-Azhar, Kaherah. Cinta kami bertaut kembali di tanahair dan diikat dengan perkahwinan. Sepertimana aku pernah ciptakan untuk Syam dan Aisyah dalam Dia Seorang Teman.
Semalam aku terima emel dari Aisyah. Dia menjemputku ke majlis perkahwinannya dengan seorang jejaka yang mengembalikan cintanya bernama Hisyam. Masih bernama Syam. Tahniah buatmu Aisyah.
“Abang khayal lagi?”
“Tak… abang tengah fikirkan sesuatu.”
“Pasal apa?”
“Anak abang macam mana?” Soalku menukar topik sambil tanganku menjamah perut isteri tercinta seraya mengurut-ngurut cermat. Suraya tersenyum mesra. Perut isteriku semakin membesar hamil anak sulung hasil perkahwinanku dengannya sejak hampir setahun yang lalu.
“Anak abang jer?” Pintas Suraya bernada rajuk.
“Anak abang kan anak Su juga!” Wajah keruh Suraya kembali ayu.
“Bang… apa kita nak namakan anak kita ni?” Soal Suraya manja.
“Kalau perempuan kita namakan Humaira. Mesti comel macam ibunya.”
“Emmm… sedap nama tu. Kalau lelaki?
“Kalau lelaki kita namakan Muhammad Al-Amin. Amacam?”

Bukankah Aisyah Ummul Mukminin isteri Nabi Muhammad SAW dipanggil Humaira?

Wednesday, December 8, 2010

Kecantikan Sejati Bukan Di Wajah


ISN, 06 DIS 2010 08:40 | IZWAN NORDIN | EDITOR: IZWAN NORDIN

"Boleh saya melihat anak saya?" pinta seorang ibu yang baru




melahirkan seorang anak dengan penuh kebahagiaan. Ketika




gendongan itu berpindah ke tangannya dan ia membuka




selimut yang menutupi wajah bayi lelaki yang comel itu.




Ibu itu menahan nafasnya. Doktor yang menunggunya


 
segera berbalik memandang ke arah luar jendela rumah sakit




tidak sampai hati menatapi wajah ibu tersebut. Bayi itu 




dilahirkan tanpa kedua belah telinga.





Waktu berlalu dan kini bayi tersebut telah menjadi seorang




anak yang boleh beraktiviti dengan sempurna, cuma




penampilannya saja yang tampak aneh dan buruk.



Suatu hari anak tersebut bergegas pulang ke rumah terus




membenamkan wajahnya di pelukan ibunya yang menangis



Ia tahu hidup anaknya penuh dengan kekecewaan dan




tragedi. Sambil teresak-esak anak lelaki itu mengatakan




yang dia diejek oleh orang dewasa dan dikatakan anak ini




adalah makhluk aneh.


Di sekolah anak tersebut disukai oleh rakan-rakan sekolah


.
Anak tersebut membesar tampan dengan kecacatannya. Dia




berbakat dalam bidang muzik dan penulisan."Ibu,saya ingin




menjadi ketua kelas."Ibu hanya mendiamkan diri, tapi di 




dalam hati ibu merasa




kasihan dengan anaknya.



Suatu hari si Ayah terus berjumpa dengan seorang doktor




yang boleh melekatkan telinga untuk anaknya.


"Saya percaya saya boleh memindahkan sepasang telinga




untuknya, tetapi harus ada orang yang tampil untuk




menderma".


Beberapa bulan kemudian si ayah memanggil anaknya sambil




berkata, "Nak, seorang yang tak ingin dikenali telah bersedia




mendermakan telinganya padamu. Kami harus segera




mengirim kamu ke hospital untuk menjalani pembedahan




tetapi jangan ditanya siapa yang menderma."Pembedahan




dilakukan dengan berjaya dan kini telah lahir seorang lelaki




yang mempunyai cukup sifat. Bakat muziknya yang hebat




menjadikan ia terkenal dan menerima banyak penghargaan 




dari sekolahnya.


Masa berlalu dan dia pun berkahwin dan bekerja sebagai




seorang yang berpangkat besar. Terdetik di hatinya tentang




masa-masa silam lalu menghampiri ayahnya.


"Ayah, saya hendak mengetahui siapa yang telah




mengorbankan ini semua pada saya, ayah. Ia telah membuat




sesuatu yang amat besar dan ingin sekali saya membalas




budinya." Ayahnya menjawab, "Ayah yakin kau tidak boleh




membalas kebaikan hati orang yang telah memberikan




telinga itu."Setelah terdiam sesaat ayahnya melanjutkan




kata-kata,"Ayah tidak dapat membuka rahsia ini sebelum




tiba saatnya."


Tahun berganti tahun ayahnya tetap menyimpan rahsia.




Hinggalah pada suatu hari tibalah saat yang menyedihkan




bagi keluarga itu. Di hari itu ayah dan lelaki itu berdiri




ditepi jenazah ibunya yang baru saja meninggal dunia


.
Dengan perlahan dan penuh syahdu si ayah membelai rambut




isterinya yang terbujur kaku sambil menyelak rambut




sehinggalah tampak bahawa si ibu tidak mempunyai telinga.



Sambil menangis si ayah berkata, "Ibumu sangat suka




menyimpan rambut yang panjang dan tak seorang menyedari




bahawa ia telah hilang sedikit kecantikkannya."




Kecantikkan yang sejati tidak terletak pada penampilan




tubuh tapi di dalam hati. Harta karun yang hakiki tidak




terletak pada zahirnya, namun pada apa yang tidak dapat




dilihat. Kasih sejati tidak terletak pada apa yang telah




dikerjakan dan diketahui, namun pada apa yang dikerjakan




dan tidak diketahui.



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket