Showing posts with label TAZKIRAH HATI. Show all posts
Showing posts with label TAZKIRAH HATI. Show all posts

Monday, June 6, 2011

Adat Hindu Yang Kita Tiru

Telah menjadi adat orang Melayu bahawa setelah ibu melahirkan anak,  urinya akan ditanam. Sekadar menanam uri sahaja setelah dibersihkannya daripada darah kemudian ditanam dengan tujuan tidak mahu ianya dibuang begitu sahaja, tanpa niat-niat yang lain, tidaklah menjadi kesalahan, tetapi apabila uri itu diletakkan di dalam suatu tempat dan kemudian diletakkan asam atau garam kemudian ditanam dan kemudian diletakkan lampu di sebelah tempat yang ditanam itu, maka itu menyerupai adat agama Hindu.

Orang Melayu meletakkan asam dan garam kalau anak perempuan supaya  pandai memasak dan meletakkan paku kalau anak lelaki supaya pandai menukang. Tetapi itu zaman dahulu. Zaman sekarang di mana kemahiran anak perempuan bukan lagi pada masak memasak,  tetapi dalam bidang pelajaran, maka apakah kena ditanam uri itu dengan buku-buku sekolah? Dan kalau anak lelaki pula, apakah perlu ditanam komputer bersama uri tersebut? Inilah adat Melayu yang tidak ada logik dan tidak ada gunanya.

Apabila anak itu mencapai usia 7 hari, terutama pada waktu dahulu, anak itu akan diletakkan di satu dulang yang berisi beras atau kunyit. Ini juga menyerupai Hindu.

Bila anak itu dewasa pula, orang Melayu sekarang suka menonton rancangan Hindustan yang kebanyakannya juga beragama Hindu.Apabila anak itu berkahwin, diadakan persandingan dengan bertepung tawar dan melontar beras dan sebagainya. Mengapa beras padahal minyak wangi banyak dijual di kedai?  Kerana orang Hindu mempercayai semangat yang ada pada padi. Dikir barat itu menyerupai gerak laku orang Hindu dalam memuja semangat padi. Mereka yang belum berumahtangga dan akan berumahtangga hendaklah fikirkan hal ini baik-baik dan ibu bapa hendaklah menasihatkan anak-anak mereka supaya jangan melakukan upacara yang bertentangan dengan Islam di hari perkahwinan. Kalau kita sudah bersanding dengan upacara ala Hindu, esok lusa kita jadi ustaz atau ustazah atau pendakwah dan hendak bersyarah atau menasihatkan orang lain mengenai hal ini, orang lain sudah tidak mahu dengar cakap kita sebab kita sudah menunjukkan contoh yang salah.

Begitu juga tepak sirih yang biasa digunakan oleh orang Melayu di majlis akad nikah, adalah juga daripada adat orang-orang Hindu. Berbincanglah dengan bakal pasangan anda dan juga keluarga bakal pasangan anda dan nyatakan kepada mereka bahawa anda tidak mahu majlis perkahwinan yang bercorak Hindu itu. Sebab kalau kita tidak berdakwah, anak-anak kita nanti semuanya akan ikut dan kita akan menanggung dosanya kerana kita telah mewariskan adat agama syirik!

Apabila orang Melayu meninggal, bila sudah ditanam, akan ditabur bunga di atas kubur tersebut. Ini juga adat agama Hindu. Kalau kita perhatikan, orang Hindu yang mati sebelum dibakar, akan diletakkan bunga ke atas mayatnya. Hari ini orang Melayu bukan sahaja menabur bunga di atas kubur, bahkan mayat itu sudah ditabur bunga di rumah lagi sebelum dibawa ke tanah perkuburan.

Sebab itulah ada pepatah Melayu yang berbunyi: "Biar mati anak, jangan mati adat".
Saya rasa pepatah ini berasal daripada orang Hindu juga kerana mereka sangat kuat berpegang kepada adat. Yang betulnya: "Biar yang lain terkorban, Islam jangan digadai."
Oleh kerana itulah sebahagian besar ibu bapa hari ini, terutamanya yang tua-tua,
bermati-matian menegakkan adat, walaupun bercanggah dengan Islam, seperti bersanding di atas pelamin dengan upacara yang bukan-bukan.

Kalau sepanjang hidup kita ini kita ikut orang Hindu, bagaimanakah kita boleh mati dalam keadaan Islam? Sedangkan Allah telah berfirman yang bermaksud:"Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati kecuali sebagai orang-orang Islam."

Untuk mati dalam keadaan Islam, hidup kita mestilah dengan cara Islam, daripada hari lahir kita sehinggalah hari kita dikuburkan di  bumi.

Orang Cina dan India dahulu tinggal sekampung dengan orang-orang Melayu. Jadi sudah tentu banyak adat-adat yang mempengaruhi orang Melayu. Namun sebagai orang Islam, kita kena bersihkan amalan kita daripada sebarang penyerupaan dengan amalan agama lain.

Sabda Nabi Muhammad s.a.w.:"Siapa yang menyerupai sesuatu kaum, maka dia daripada kaum itu."

Dalam riwayat yang lain: "..........dan akan dibangkitkan bersama-sama mereka (kaum yang diserupainya)."

Agama Islam telah disempurnakan oleh Allah tanpa perlu ditokok tambah atau dibuang atau diubah.


Sunday, June 5, 2011

10 JENIS SOLAT YANG TIDAK DITERIMA OLEH ALLAH S.W.T


Rasulullah S.A.W. telah bersabda yang bermaksud : "Sesiapa yang memelihara solat, maka solat itu sebagai cahaya baginya, petunjuk dan jalan selamat dan barangsiapa yang tidak memelihara solat, maka sesungguhnya solat itu tidak menjadi cahaya, dan tidak juga menjadi petunjuk dan jalan selamat baginya." (Tabyinul Mahaarim)
Rasulullah S.A.W telah bersabda bahawa : "10 orang solatnya tidak diterima oleh Allah S.W.T, antaranya :
1. Orang lelaki yang solat sendirian tanpa membaca sesuatu.
2. Orang lelaki yang mengerjakan solat tetapi tidak mengeluarkan zakat.
3. Orang lelaki yang menjadi imam, padahal orang yang menjadi makmum membencinya.
4. Orang lelaki yang melarikan diri.
5. Orang lelaki yang minum arak tanpa mahu meninggalkannya (Taubat).
6. Orang perempuan yang suaminya marah kepadanya.
7. Orang perempuan yang mengerjakan solat tanpa memakai tudung.
8. Imam atau pemimpin yang sombong dan zalim menganiaya.
9. Orang-orang yang suka makan riba'.
10. Orang yang solatnya tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan yang keji dan mungkar."

Sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud : "Barang siapa yang solatnya itu tidak dapat menahannya dari melakukan perbuatan keji dan mungkar, maka sesungguhnya solatnya itu hanya menambahkan kemurkaan Allah S.W.T dan jauh dari Allah." 
Hassan r.a berkata : "Kalau solat kamu itu tidak dapat menahan kamu dari melakukan perbuatan mungkar dan keji, maka sesungguhnya kamu dianggap orang yang tidak mengerjakan solat. Dan pada hari kiamat nanti solatmu itu akan dilemparkan semula ke arah mukamu seperti satu bungkusan kain tebal yang buruk."

Saturday, April 2, 2011

Semalu Pun Tahu Malu...

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w berjalan-jalan bersama puteri baginda, Saidatina Fatimah r.a. Apabila mereka berdua di bawah sebatang pohon tamar, Fatimah terpijak pohon semalu, dan kakinya berdarah lalu mengadu kesakitan.

Fatimah mengatakan kepada bapanya apalah gunanya pohon semalu itu berada di situ dengan nada yang sedikit marah. Rasulullah s.a.w dengan tenang berkata kepada puteri kesayangannya itu bahawasanya pohon semalu itu amat berkait rapat dengan wanita. Fatimah terkejut.

Rasulullah s.a.w menyambung kata-katanya lagi. Para wanita hendaklah mengambil pengajaran daripada pohon semalu ini dari 4 aspek...

Pertama, pohon semalu akan kuncup apabila disentuh. Ini boleh diibaratkan bahawa wanita perlu mempunyai perasaan malu (pada tempatnya).

Kedua, semalu mempunyai duri yang tajam untuk mempertahankan dirinya. Oleh itu, wanita perlu tahu mempertahankan diri dan maruah sebagai seorang wanita muslim.

Ketiga, semalu juga mempunyai akar tunjang yang sangat kuat dan mencengkam bumi. Ini bermakna wanita solehah hendaklah mempunyai keterikatan yang sangat kuat dengan Allah Rabbul Alamin.

Dan akhir sekali, semalu akan kuncup dengan sendirinya apabila senja menjelang. Oleh itu, para wanita sekalian, kembalilah ke rumahmu apabila waktu semakin senja.


* Ambillah pengajaran dari semalu walau pun ia hanya sepohon tumbuhan yang kecil

Sunday, March 13, 2011

20 PERKARA JANGAN DILAKUKAN

Assalamualaikum. Alhamdulillah dipanjatkan seinfiniti kesyukuran, pada pagi ini ana masih lagi diberi kesempatan oleh Allah Azzawajalla untuk menikmati nikmat Iman dan Islam.Salam sejahtera kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW, para sahabat, tabi'en dan tabi'-tabi'en.Alhamdulillah, diberi sedikit ruang oleh Yang Maha Esa untuk moncoretkan nukilan yang tidak ada nilainya ini,namun ana harapkan ianya dapat memberi manfaat kepada pembaca semua.Sesungguhnya dalam hidup kita dikelilingi oleh perkara-perkara yang menyeronokkan. Tetapi itulah sesungguhnya yang mendatangkan keburukan kepada kita. Dibawah ini terdapat 20 perkara JANGAN yang seharusnya kita ambil ikhtibar. Tidak dapat dinafikan ada terdapat perkara-perkara yang terkena pada ana sendiri.
Tetapi sebagai umat ISLAM, kita harus saling ingat memperingati diantara satu sama lain. Semoga kita umat Islam akan terus mengungguli dunia InsyaALLAH.
1.  Jangan sengaja lewatkan solat. Perbuatan ini Allah tidak suka. Kalau tertidur lain cerita..
2.  Jangan masuk ke bilik air tanpa memakai alas kaki (selipar). Takut kalau-kalau terbawa keluar najis,mengotori seluruh rumah kita.
3.  Jangan makan dan minum dalam bekas yang pecah atau sumbing. Makruh kerana ia membahayakan.
4.  Jangan biarkan pinggan mangkuk yang telah digunakan tidak berbasuh. Makruh dan mewarisi kepapaan.
5.  Jangan tidur selepas solat Subuh, nanti rezeki tertutup  (kerana berpagi-pagi itu membuka pintu berkat).
6.  Jangan makan tanpa membaca BISMILLAH dan doa makan. Nanti rezeki kita di kongsi syaitan.
7.  Jangan keluar rumah tanpa niat untuk membuat kebaikan. Takut-takut kita mati dalam perjalanan buat keburukan atau maksiat.
8.  Jangan pakai kasut atau selipar yang berlainan pasangan. Makruh dan mewarisi kepapaan.
9.  Jangan biarkan mata liar di perjalanan. Nanti hati kita gelap diselaputi dosa.
10.    Jangan bergaul bebas ditempat kerja. Banyak buruk dari baiknya.
11.    Jangan menangguh taubat bila berbuat dosa kerana mati boleh datang bila-bila masa.
12.    Jangan ego untuk meminta maaf pada ibu bapa dan sesama manusia kalau memang kita bersalah.
13.    Jangan mengumpat sesama rakan taulan. Nanti rosak persahabatan kita.
Hilang bahagia.
14.    Jangan lupa bergantung kepada ALLAH dalam setiap kerja kita. Nanti kita sombong apabila berjaya.Kalau gagal kecewa pula.
15.    Jangan bakhil untuk bersedekah. Sedekah itu memanjangkan umur dan memurahkan rezeki kita.
 16. Jangan banyak ketawa. Nanti mati jiwa.
17.    Jangan biasakan berbohong, kerana ia adalah ciri-ciri munafik dan menghilangkan kasih orang kepada kita.
18.    Jangan suka menganiaya manusia atau haiwan. Doa makhluk yang teraniaya cepat dimakbulkan ALLAH.
19.    Jangan terlalu susah hati dengan urusan dunia. Akhirat itu lebih utama dan hidup di sana lebih lama dan kekal selamanya.
20.    Jangan mempertikaikan kenapa ISLAM itu berkata JANGAN. Sebab semuanya untuk keselamatan kita. ALLAH lebih tahu apa yang terbaik untuk hamba ciptaannya.

Wallahua'lam..
~Al-FaQir ilallah~
Perindu Ilahi~

Friday, March 11, 2011

:: 10 AMALAN YANG TERBALIK ::

 
Assalamualaikum..Syukur dipanjatkan kepada Yang Maha Esa. Salam sejahtera keatas junjungan besar Nabi Muhammad SAW,para sahabat.para tabi'in dan tabi'-tabi'in. Syukur alhamdulillah,kerana masih lagi diberi nikmat Iman dan Islam.  Pada hari jumaah yang penuh baraqah ini, marilah kita bermuhasabah @ menilai dan menghitung kembali tentang amalan harian kita. Kadang2 kita akan dapati amalan kita adalah terbalik atau bertentangan dari apa yang patut dilakukan dan dituntut oleh Islam. Mungkin kita tidak sedar atau telah dilalaikan atau terikut2 dgn budaya hidup orang lain. Perhatikan apa yang dipaparkan di bawah sebagai contoh amalan yang terbalik: -


1. Amalan kenduri arwah beberapa malam yang dilakukan oleh keluarga si mati selepas sesuatu kematian (malam pertama, kedua, ketiga, ketujuh dan seterusnya) adalah terbalik dari apa yang dianjurkan oleh Rasulullah di mana Rasulullah telah menganjurkan jiran tetangga memasak makanan untuk keluarga si mati untuk meringankan kesusahan dan kesedihan mereka. Keluarga tersebut telah ditimpa kesedihan, terpaksa pula menyedia makanan dan belanja untuk mereka yang datang membaca tahlil. Tidakkah mereka yang hadir makan kenduri tersebut khuatir kalau2 mereka termakan harta anak yatim yang ditinggalkan oleh si mati atau harta peninggalan si mati yang belum dibahagikan kepada yang berhak menurut Islam?


2. Kalau hadir ke kenduri walimatul urus (kenduri kahwin) orang kerap salam berisi (hadiah wang yang diberi semasa bersalam). Kalau tak ada duit nak dikepit dalam tangan, maka segan ia nak pergi makan kenduri. Tetapi kalau ia menziarahi orang mati, tidak segan pula salam tak berisi. Sepatutnya kalau menziarahi keluarga si matilah kita patut memberi sedekah. Kalau ke kenduri kahwin, tak bagi pun tak apa kerana tuan rumah panggil untuk diberi makan bukan untuk ia menambah pendapatan.


3. Ketika menghadiri majlis pemimpin negara kita berpakaian cantik, kemas dan segak tetapi bila menghadap Allah baik di rumah mahupun di masjid, pakaian lebih kurang saja bahkan ada yang tak berbaju. Tidakkah ini suatu perbuatan yang terbalik.


4. Kalau menjadi tetamu di rumah orang dan di beri jamuan, kita rasa segan nak makan sampai habis apa yang dihidangkan kerana rasa segan dan malu, sedangkan yang dituntut dibanyakkan makan dan dihabiskan apa yang di hidang supaya tuan rumah rasa gembira dan tidak membazir.


5. Kalau bersolat sunat di masjid amat rajin, tapi kalau di rumah, sangat malas. Sedangkan sebaik2nya solat sunat banyak dilakukan di rumah seperti yang dianjurkan oleh Rasulullah untuk mengelakkan rasa riak.


6. Bulan puasa adalah bulan mendidik nafsu termasuk nafsu makan yang berlebihan tetapi kebanyakan orang mengaku bahawa dalam carta perbelanjaan setiap rumah orang Islam akan kita dapati perbelanjaan di bulan puasa adalah yang tertinggi dalam setahun. Sedangkan sepatutnya perbelanjaan di bulan puasa yang terendah. Bukankah terbalik amalan kita?


7. Kalau nak mengerjakan haji, kebanyakan orang akan membuat kenduri sebelum bertolak ke Mekah dan apabila balik dari Mekah tak buat kenduri pun. Anjuran berkenduri dalam Islam antaranya ialah kerana selamat dari bermusafir, maka dibuat kenduri, bukan kerana nak bermusafir, maka dibuat kenduri. Bukankah amalan ini terbalik? Atau kita mempunyai tujuan lain.


8. Semua ibu bapa amat bimbang kalau2 anak mereka gagal dalam peperiksaan. Maka dihantarlah ke kelas tuisyen walau pun banyak belanjanya kalau anak tak boleh baca Quran atau solat, tak bimbang pula bahkan tak mahu hantar tuisyen baca Quran atau kelas khas mempelajari Islam. Kalau guru tuisyen sanggup dibayar sebulan RM20.00 satu pelajaran 8 kali hadir tapi kepada Tok Guru Quran nak bayar RM15.00 sebulan 20 kali hadir belajar pun menggeletar tangan. Bukankah terbalik amalan kita? Kita sepatutnya lebih bimbang jika anak tidak dapat baca al-Quran atau bersolat.


9. Kalau bekerja mengejar rezeki Allah tak kira siang malam, pagi petang, mesti pergi kerja. Hujan atau ribut tetap diharungi kerana hendak mematuhi peraturan kerja. Tapi ke rumah Allah (masjid) tak hujan, tak panas, tak ribut pun tetap tak datang ke masjid. Sungguh tak malu manusia begini, rezeki Allah diminta tapi nak ke rumahNya segan dan malas.


10.Seorang isteri kalau nak keluar rumah sama ada dengan suami atau tidak, bukan main lagi berhias. Tetapi kalau duduk di rumah, masya-Allah. Sedangkan yang dituntut seorang isteri itu berhias untuk suaminya,bukan berhias untuk orang lain. Perbuatan amalan yang terbalik ini membuatkan rumah tangga kurang bahagia.


Cukup dengan contoh2 di atas. Marilah kita berlapang dada menerima hakikat sebenarnya. Marilah kita beralih kepada kebenaran agar hidup kita berada pada landasan dan ajaran Islam yg sebenar bukan yang digubah mengikut selera kita. Allah yg mencipta kita maka biarlah Allah yang menentukan peraturan hidup kita.
Wallahhu-Alam.

Al-FaQir ilallah
~Perindu Ilahi~

Tuesday, March 8, 2011

Andainya Cinta Itu Hendak Diberi


Kasih manusia sering bermusim, sayang manusia tiada abadi. Kasih Tuhan tiada bertepi, sayang Tuhan janji-Nya pasti" Itulah sedikit dari bait2 lagu Raihan. Lantaran kasih manusia yg sering bermusim dan sayangnya yg tak kekal lama, kita perlu sentiasa berwaspada terutamanya dlm memilih pasangan. Andainya sikit drpd cinta itu hendak diberi pada seseorang yg boleh digelar suami, pilihlah seorang lelaki yang...

1-Kuat agamanya.
Biar sibuk macamana, solat fardu tetap terpelihara. Utamakanlah pemuda yg kuat pengamalan agamanya. Lihat saja Rasulullah menerima pinangan Saidina Ali buat puterinya Fatimah. Lantaran ketaqwaannya yg tinggi biarpun dia pemuda paling miskin.

2-Baik akhlaknya.
Ketegasannya nyata tapi dia lembut dan bertolak-ansur hakikatnya. Sopan tutur kata gambaran peribadi dan hati yang mulia. Rasa hormatnya pada warga tua ketara.

3-Tegas mempertahankan maruah.
Pernahkah dia menjengah ke tempat2 yang menjatuhkan kredibiliti dan maruahnya sebagai seorang Islam.

4-Amanah
Jika dia pernah mengabaikan tugas yang diberi dengan sengaja ditambah pula salah guna kuasa, lupakan saja si dia.

5-Tidak boros
Dia bukanlah kedekut tapi tahu membelanjakan wang dengan bijaksana. Setiap nikmat yang ada dikongsi bersama mereka yang berhak.

6-Tidak liar matanya
Perhatikan apakah matanya kerap meliar ke arah perempuan lain yang lalu-lalang ketika berbicara. Jika ya jawabnya, dia bukanlah calon yang sesuai buat kamu.

7-Terbatas pergaulan
Sebagai lelaki dia tahu dia tak mudah jadi fitnah orang, tapi dia tak amalkan cara hidup bebas.

8-Rakan pergaulannya.
Rakan2 pergaulannya adalah mereka yang sepertinya.

9-Bertanggungjawab
Rasa tanggungjawabnya dapat diukur kepada sejauh mana dia memperuntukkan dirinya utk parents dan ahli familynya. Jika parentsnya hidup melarat sedang dia hidup hebat, nyata dia tak bertanggungjawab

10-Tenang wajah
Apa yg tersimpan dalam sanubari kadang2 terpancar pd air muka. Wajahnya tenang, setenang sewaktu dia bercakap dan bertindak.

Berbahagialah kamu jika diintai calon yang demikian sifatnya...

~PERINDU ILAHI~

Sunday, March 6, 2011

Manusia Ciptaan Mulia

Setiap makhluk yang diciptakan Allah Azzawajalla mempunyai fungsi penciptaannya. Manusia dijadikan Allah sebagai Khalifatullah di muka bumi ini. Haiwan dan tumbuhan dijadikan Allah untuk dijadikan makanan dan pelengkap kepada kehidupan yang lain. Tetapi semua makhluk adalah untuk berzikir dan bertasbih kepada allah Yang Maha Pencipta. Sungguh mulia penciptaaan diri manusia itu sendiri. Subhanallah!!Tabarakallah, tidak adalah makhluk dimuka bumi ini yang diciptakan oleh Al-Khaliq semulia manusia. 

Firman Allah Azzawajalla:  Sesungguhnya kami telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya.

Allah SWT mengurniakan keistimewaan akal kepada manusia, kebolehan membezakan serta kesanggupan menerima ilmu yang pelbagai jenis. Begitu juga mereka mampu membuat gagasan yang menjadikannya mampu menguasai alam ini, di samping itu mereka yang mempunyai kemampuan dan jangkauan memperoleh apa yang diingini.

Namun, mengapa kita sebagai makhluk Allah SWT mudah alpa dan lupa kepada siapa Pencipta kita. Kita hanya mengingati Allah bila kita menghadapi musibah sahaja tetapi bila didalam kesenangan kita mudah lupa kepada-Nya.


Wednesday, November 10, 2010

ADAB MENUNTUT ILMU

         Sesungguhnya Islam telah mengangkat kedudukan ilmu dan pengetahuan kerana kedua-duanya memberi kesan dalam pembangunan ummat dan kemajuan semua manusia dan penghubung antara dunia dan akhirat . Dan sesungguhnya Islam mewajibkan mempelajari ilmu syariah yang mana dengannya kita dapat mengenali pencipta ( Allah s.w.t. ) dan kita dapat mengetahui apa apa yang dapat membawa kepada kebahagiaan di dunia dan akhirat .
Islam juga tidak menghalang dalam mempelajari setiap ilmu yang bermanfaat yang berhajat kepada manusia seperti ilmu perubatan , kejuruteraan, pertanian, perindustrian, dan sebagainya . Bahkan digalakkan berlumba lumba mengambil hikmah dan ilmu yang bemanfaat ini .
Diletakkan asas kelebihan antara orang yang ‘alim dengan orang yang jahil seperti disebutkan dalam alquran ; ( Adakah sama orang yang mengetahui dan yang tidak mengetahui  ? ) Dan sebagaimana Islam mengangkat martabat ilmu itu , maka Islam juga mengangkat martabat ahli ilmu iaitu para ulama . Maka para ulama ini merupakan pewaris para nabi dalam membawa obor hidayah dan iman dan menzahirkan kebenaran serta menerangi jalan. Ilmu mempunyai hak dalam mempelajarinya dan hak ini adalah adab-adab dalam mempelajarinya .
                Daripada adab mengambil ilmu ialah beriltizam dengan bertaqwa kepada Allah dan mentaatinya serta membersihkan diri daripada akhlak yang tidak baik dan jangan memandang mudah terhadap menuntut ilmu pengetahuan daripada gurunya . Sesungguhnya telah dihabiskan waktunya dalam penyelidikan dan penghasilan, dan pernah dikatakkan dahulu bahawa ; ( Ilmu itu tidak diberikan kepada kamu semuanya melainkan sebahagian sahaja) .
Orang yang berakal ialah orang yang mengambil perhatian dan memberi masanya dalam membaca perkara yang bermanfaat daripada kitab , ketahuilah apa-apa yang perlu disungguhkan dan apa-apa yang akan diusahakan dengan bersungguh-sungguh terhadap ilmu pengetahuan kepada manusia , dan atas penuntut ilmu itu perlu ditinggalkan tipu daya dirinya . sesungguhnya telah beri’tikad bahawa ilmu ini  seperti laut , tidak mudah untuk mendapatkannya , dan sesungguhnya ia bersama apa apa yang diberi daripada ilmu pengetahuan dengan firman Allah : (………. Wahai tuhanku , tambahkanlah ilmuku .)kan menuntut ilmusetiap muslim diwajibkan menuntut ilmu                

Tuesday, October 26, 2010

Malu Ciri Utama Takwa...

RASULULLAH saw bersabda yang bermaksud: "Malu itu adalah sebahagian daripada iman" (riwayat Muslim dan At-Tirmizi). Berdasarkan hadis ini, orang yang mengaku beriman perlulah punya sifat malu. Apabila berkurang atau tiada rasa malu, maka itu tanda kelemahan atau ketiadaan iman.



Ini kerana iman dan rasa malu mempunyai kaitan atau hubungan yang sangat erat. Perhatikan sabda Rasulullah yang bermaksud: "Malu dan iman itu adalah satu rumpun. Apabila terangkat (hilang atau tiada) salah satu (daripada kedua- duanya), maka hilang pula yang lain" (riwayat Al-Hakim).

Rasulullah, menerusi hadis itu jelas mahu mengajar atau mendidik umatnya agar bertabiat atau bersifat pemalu. Ini kerana baginda adalah seorang yang sangat atau paling tinggi sifat pemalunya, malah dikatakan sifat malu baginda lebih tinggi daripada pemalunya gadis pingitan.

Mengapa Rasulullah mengaitkan iman dengan rasa malu? Ini kerana orang yang memiliki iman atau kuat rasa keimanannya, tentu akan mempunyai perasaan malu. Apabila perasaan malu tidak ada, bermakna iman sudah tidak ada. Demikianlah sebaliknya.

Sesungguhnya kita manusia memang tidak terlepas daripada melakukan dosa atau kesalahan. Apabila ada di kalangan manusia yang berbuat sesuatu dosa dan kesalahan, baik kepada Allah mahupun manusia, lalu rasa penyesalan yang mendalam terbit dari hatinya lantaran didorong oleh perasaan malu kepada diri sendiri, orang lain, apatah lagi kepada Allah.

Dalam ayat 135, surah Ali Imran, Allah memperjelaskan kepada hamba-Nya bahawa orang yang bertakwa itu bukanlah mereka yang tidak pernah mengerjakan kesalahan atau berbuat silap tetapi orang yang punya sifat takwa ialah yang cepat-cepat bertaubat dengan bersungguh hati di hadapan Allah sesudah menyedari atau terlanjur melakukan kesilapan.

Pernyataan taubat ini tentunya diiringi tekad yang sungguh-sungguh untuk tidak mengulangi lagi apa juga kesalahan yang boleh membawa kepada dosa dan kemurkaan Allah.

Rasa malu dan iman itu adalah dua perkara yang tidak boleh terpisah. Ini kerana seseorang yang benar-benar mempunyai rasa malu dalam melakukan apa saja perbuatan keji atau tercela, bermakna orang itu mempunyai iman yang teguh dan kuat pula.

Perlulah kita yakin bahawa keimanan akan memberi dorongan kepada seseorang untuk menjauhi sebarang kerja maksiat.

Insaflah bahawa Allah sentiasa mengawal atau mengawasi setiap perlakuan hamba-Nya. Sebarang dosa yang walau sekecil mana pun pasti dicatat oleh malaikat yang ditugaskan khusus oleh Allah.

Thursday, October 7, 2010

5 PERKARA ELOK DISEBUT..

Nabi Muhammad saw pernah mengingatkan umat-umatnya tentang kelima-lima perkara ini iaitu: 


·         Perbanyakkan menyebut Allah daripada menyebut makhluk. 
Sudah menjadi kebiasaan bagi kita menyebut atau memuji-muji orang yang berbuat baik kepada kita sehingga kadang-kadang kita terlupa hakikat bahawa terlampau banyak nikmat yang telah Allah berikan kepada kita. Lantaran itu, kita terlupa memuji dan menyebut-nyebut nama Allah. Makhluk yang berbuat baik sedikit kita puji habisan tapi nikmat yang terlalu banyak Allah berikan kita langsung tak ingat. Sebaik-baiknya elok dibasahi lidah kita dengan memuji Allah setiap ketika, bukan ucapan Al-hamdulillah hanya apabila sudah kekenyangan hingga sedawa. Pujian begini hanya di lidah saja tak menyelera hingga ke hati.

·         Perbanyakkan menyebut akhirat daripada menyebut urusan dunia.
Dunia terlalu sedikit dibandingkan dengan akhirat. 1000 tahun di dunia setimpal dengan ukuran masa sehari di akhirat. Betapa kecilnya nisbah umur di dunia ini berbanding akhirat. Nikmat dunia juga 1/100 daripada nikmat akhirat. Begitu juga seksa dan kepayahan hidup di dunia hanya 1/100 daripada akhirat. Hanya orang yang senteng fikiran sibuk memikirkan Wawasan Dunia (WD) hingga terlupa Wawasan Akhirat (WA). Manusia yang paling cerdik ialah mereka yang sibuk merancang Wawasan Akhiratnya. Saham Amanah Dunia (SAD) tak penting, tapi yang paling penting ialah Saham Amanah Akhirat (SAA) yang tak pernah rugi dan merudum malahan sentiasa naik berlipat kali ganda. Oleh itu perbanyakkanlah menyebut-nyebut perihal akhirat supaya timbul keghairahan menanam dan melabur saham akhirat.
·         Perbanyakkan menyebut dan mengingat hal-hal kematian daripada hal-hal kehidupan.
Kita sering memikirkan bekalan hidup ketika tua dan bersara tapi jarang memikirkan bekalan hidup semasa mati. Memikirkan mati adalah sunat kerana dengan berbuat demikian kita akan menginsafi diri dan kekurangan amalan yang perlu dibawa ke sana. Perjalanan yang jauh ke akhirat sudah tentu memerlukan bekalan yang amat banyak. Bekalan itu hendaklah dikumpulkan semasa hidup di dunia ini. Dunia ibarat kebun akhirat. Kalau tak usahakan kebun dunia ini masakan dapat mengutip hasilnya di akhirat?  Dalam hubungan ini eloklah sikap Saidina Alli dicontohi. Meskipun sudah terjamin akan syurga, Saidina Ali masih mengeluh dengan hebat sekali tentang kurangnya amalan untuk dibawa ke akhirat yang jauh perjalanannya. Betapa pula dengan diri kita yang kerdil dan bergelumang dengan dosa?

·         Jangan menyebut-nyebut kebaikan diri dan keluarga. 
Syaitan memang sentiasa hendak memerangkap diri kita dengan menyuruh atau membisikkan kepada diri kita supaya sentiasa mengingat atau menyebut-nyebut tentang kebaikan yang kita lakukan sama ada kepada diri sendiri, keluarga atau masyarakat amnya. Satu kebaikan yang kita buat, kita sebut-sebut selalu macam rasmi ayam 'bertelur sebiji riuh sekampung'. Kita terlupa bahawa dengan menyebut dan mengingat kebaikan kita itu sudah menimbulkan satu penyakit hati iaitu ujub. Penyakit ujub ini ibarat api dalam sekam boleh merosakkan pahala kebajikan yang kita buat. Lebih dahsyat lagi jika menimbulkan ria' atau bangga diri yang mana Allah telah memberi amaran sesiapa yang memakai sifatNya (ria') tidak akan mencium bau syurga. Ria' adalah satu unsur dari syirik (khafi). Oleh itu eloklah kita berhati-hati supaya menghindarkan diri daripada mengingat kebaikan diri kita kepada orang lain. Kita perlu sedar bahawa perbuatan buat baik yang ada pada diri kita itu sebenarnya datang dari Allah. Allah yang menyuruh kita buat baik. Jadi kita patut bersyukur kepada Allah kerana menjadikan kita orang baik, bukannya mendabik dada mengatakan kita orang baik. Kita terlupa kepda Allah yang mengurniakan kebaikan itu.

·         Jangan sebut-sebut dan nampak-nampakkan keaiban atau keburukan diri orang lain.
Kegelapan hati ditokok dengan rangsangan syaitan selalu menyebabkan diri kita menyebut-nyebut kesalahan dan kekurangan orang lain. Kita terdorong melihat keaiban orang sehingga terlupa melihat keaiban dan kekurangan diri kita sendiri. Bak kata orang tua-tua 'kuman seberang lautan nampak, tapi gajah di depan mata tak kelihatan'. Islam menuntut kita melihat kekurangan diri supaya dengan cara itu kita dapat memperbaiki kekurangan diri kita. Menuding jari mengatakan orang lain tak betul sebenarnya memberikan isyarat bahawa diri kita sendiri tidak betul. Ibarat menunjuk jari telunjuk kepada orang; satu jari arah ke orang itu tapi 4 lagi jari menuding ke arah diri kita. Bermakna bukan orang itu yang buruk, malahan diri kita lebih buruk daripadanya. Oleh sebab itu, biasakan diri kita melihat keburukan diri kita bukannya keburukan orang lain. Jangan menjaga tepi kain orang sedangkan tepi kain kita koyak rabak. Dalam Islam ada digariskan sikap positif yang perlu dihayati dalam hubungan sesama manusia iaitu lihatlah satu kebaikan yang ada pada diri seseorang, meskipun ada banyak kejahatan yang ada pada dirinya. Apabila melihat diri kita pula, lihatkan kejahatan yang ada pada diri kita walaupun kita pernah berbuat baik.  Hanya dengan cara ini kita terselamat dari bisikan syaitan yang memang sentiasa mengatur perangkap untuk menjerumuskan kita ke dalam api neraka. 

Wednesday, October 6, 2010

5 Ubat Hati




Mutiara: "Abdullah Antaqi berkata:" Lima perkara termasuk ubat bagi hati iaitu:
(1) Duduk bersama-sama orang soleh.
(2) Membaca Al-Quran
(3) Mengosongkan perut
(4) Solat malam
(5) Merendahkan diri ketika menjelang subuh.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket