PENDAHULUAN
Sesungguhnya pemakaian purdah oleh para wanita Islam merupakan masalah khilafiyah iaitu sesuatu perkara yang menjadi perselisihan pendapat dan pertikaian di kalangan para ulama. Ulama berselisih pendapat tentang masalah ini sejak dahulu lagi dan perselisihan ini berterusan sehingga sekarang. Punca berlakunya perselisihan adalah kerana dalil-dalil yang berkaitan dengan masalah purdah ini tidak terdapat dalil-dalil yang putus dan jelas. Jadi para ulama menyatakan pendirian mereka berdasarkan pemahaman dan ijtihad masing-masing di dalam memahami nas-nas yang dikemukakan itu. Maka berlakulah di sana khilaf di kalangan para ulama di dalam menetapkan hukum memakai purdah terhadap wanita Islam. Perselisihan pendapat ini berpunca dari penafsiran ayat al-Quran al-Karim berikut:
Firman Allah Taala bermaksud:
Dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya.
(Surah al-Nur: Ayat 31).
Isu purdah menjadi topik hangat pada waktu ini memandangkan beberapa surat khabar di Malaysia melaporkan bahawa Syeikh al-Azhar sekarang iaitu Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi akan mengharamkan pemakaian purdah di institusi-institusi al-Azhar. Selepas berita ini disiarkan di dada-dada akhbar, beberapa orang ahli iLuvislam serta beberapa kenalan saya dari Malaysia telah meminta pandangan dan pengesahan dari saya mengenai isu ini. Ada di antara mereka yang meminta saya menulis satu artikel bagi menjelaskan secara terperinci mengenai isu purdah yang sedang panas diperkatakan ini. Memandangkan saya mempunyai sedikit masalah teknikal pada ketika itu, jadi saya tidak dapat memberikan jawapan kepada setiap persoalan yang dikemukan dengan panjang lebar. Di samping itu juga, berita sebenar dari beberapa dada-dada akhbar di Mesir belum saya terokai sepenuhnya memandangkan hanya akhbar al-Masr al-Yaum (terjemahan dari akhbar inilah yang dimasukkan di dada-dada akhbar di Malaysia) sahaja yang memaparkan berita itu.
Bagi memberikan sedikit sumbangan saya kepada kefahaman umat Islam di Malaysia berkenaan isu purdah ini, di sini saya cuba menjelaskan isu ini secara ringkas agar semua pihak dapat mengambil manfaat. Saya berharap agar masalah khilafiyah ini dapat di tangani dengan baik tanpa menjejaskan kesatuan dan keharmonian umat Islam pada waktu ini. InsyaAllah. Semoga penerangan dan penjelasan ini juga akan membuka minda dan memberi peringatan kepada semua pihak terhadap kepentingan institusi ulama di dalam Islam.
PENGERTIAN PURDAH
Di dalam Bahasa Arab, purdah disebut sebagai niqab. Menurut Kamus Besar Arab-Melayu Dewan, purdah bermaksud kain penutup muka perempuan. Secara lazimnya, kain tersebut digunakan menutup sebahagian besar kawasan muka sesesorang perempuan itu melainkan matanya sahaja.
ADAKAH PURDAH ITU WAJIB ATAU TIDAK?
Berdasarkan dalil al-Quran al-Karim dari surah al-Nur ayat 31 yang saya kemukakan di atas, sebilangan ulama berpendapat muka dan kedua-dua tangan adalah aurat iaitu dengan maksud mudahnya setiap perempuan Islam mesti memakai purdah. Sebilangan ulama lagi berpendapat muka dan kedua-dua tangan bukan dikategorikan sebagai aurat dan memakai purdah bukanlah suatu yang wajib. Di sini saya bentangkan pandangan mazhab-mazhab secara ringkas sahaja berkenaan aurat perempuan di hadapan bukan mahram bagi memudahkan kita memahami isu ini dengan sempurna. Saya tidak bercadang untuk meletakkan dalil-dalil yang digunapakai oleh mazhab-mazhab melainkan jika difikirkan perlu sahaja serta tidak saya nyatakan juga munaqasyah dalil-dalil bagi tidak memanjangkan perbahasan ini.
Jumhur Ulama:
Tidak wajib purdah dan mengharuskan pendedahan muka dan kedua-dua tangan di hadapan lelaki asing yang bukan mahram sekiranya aman dari fitnah.
Mazhab Hanafi:
Tidak harus lelaki melihat perempuan asing dan merdeka melainkan muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak dibimbangi mendatangkan syahwat. Adapun kedua-dua kaki juga bukan aurat.
Mazhab Maliki:
Aurat perempuan merdeka ketika bersama lelaki asing ialah seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan syahwat.
Mazhab Shafie:
Aurat perempuan yang merdeka adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua-dua tapak tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah. Pendapat lain mengatakan seluruh tubuh perempuan adalah aurat termasuk muka dan kedua-dua tangan.
Mazhab Hanbali:
Seluruh tubuh perempuan Islam adalah aurat. Pendapat lain mengatakan aurat perempuan di hadapan lelaki asing adalah suluruh tubuh kecuali muka dan kedua-dua tangan sekiranya tidak menimbulkan fitnah.
Kesimpulan: Pendapat jumhur ulama yang mengatakan aurat perempuan Islam adalah seluruh tubuh badannya kecuali muka dan kedua-dua tangan selagimana tidak membawa kepada syahwat dan fitnah adalah lebih bertepatan berdasarkan dalil-dalil yang dikemukakan. Pendapat ini ditarjih oleh Syeikh Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi sepertimana yang telah dinyatakan di dalam kitabnya bertajuk al-Niqab Limaraah dengan mengatakan juga memakai purdah tidak diwajibkan.
Untuk mengetahui penjelasan lebih lanjut mengenai aurat perempuan Islam samada aurat ketika solat ataupun di luar solat silalah meneliti dan merujuk kitab al-Majmuk Syarah al-Muhazzab karangan Imam Nawawi. Pada saya, kitab ini adalah kitab paling baik di dalam membincangkan masalah fiqh kerana di sana dibentangkan pelbagai pandangan dan dalil-dalil secara teperinci dan jelas. Sebagai penuntut ilmu agama, kita hendaklah sentiasa melazimi pembacaan kitab-kitab karangan para ulama muktabar untuk mendapatkan gambaran sebenar tentang sesuatu perkara itu.
AL-AZHAR MENGHARAMKAN PURDAH?
Saya berkesempatan membaca beberapa keratan akhbar di Malaysia melalui internet yang melaporkan perihal ini. Adakah benar kenyataan Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi seperti yang disiarkan itu? Setelah membaca beberapa akhbar di Mesir untuk mendapatkan gambaran lebih tepat, pada saya, berita yang disiarkan oleh akhbar al-Misr al-Yaum di Mesir adalah begitu melampau dan bersikap ingin menimbulkan kegelisahan umat Islam berkenaan isu purdah ini. Kenyataan sebenar Syeikh al-Azhar tersebut di putar belit oleh mereka dan menyebabkan orang ramai di sini mentohmah al-Azhar dengan pelbagai kata-kata yang tidak sedap didengar. Saya tidak pasti apakah tujuan sebenar mereka melaporkan berita-berita yang tidak benar itu kepada umum sedangkan ia satu fitnah terhadap seorang ulama.
Kenyataan yang sebenarnya ialah, Syeikh al-Azhar hanya melarang perempuan memakai purdah ketika bersama-sama perempuan sahaja dan bukan mengharamkannya secara mutlak. Larangan hanya di institusi-institusi al-Azhar sahaja kerana pemakaian purdah sesama perempuan itu bukanlah bertepatan pada tempatnya. Adapun tempat-tempat selain yang disebutkan itu, beliau tidak melarang atau mengharamkan perempuan Islam memakai purdah kerana itu adalah hak peribadi setiap perempuan Islam. Surat khabar al-Masai bertarikh 12 Oktober 2009 dan beberapa akhbar lain turut melaporkan yang Syeikh al-Azhar tidak menghalang atau mengharamkan pemakaian purdah ketika di jalanan dan semasa bekerja. Menurut beliau lagi, 80 peratus daripada para ulama fiqh berpendapat muka perempuan Islam bukanlah aurat.
Akhbar-akhbar di Malaysia juga tidak ketinggalan di dalam melaporkan berita ini. Namun laporannya sama sahaja seperti akhbar al-Misr al-Yaum itu bahkan agak keterlaluan dengan tajuk berita ini juga sudah cukup menggerunkan untuk dibaca. Perkara seperti ini amatlah di kesali kerana ia dilakukan oleh orang Islam sendiri dan saya yakin musuh-musuh Islam berketawa melihat situasi ini. Apa yang lebih mendukacitakan, mereka sanggup mentohmah seorang ulama yang hebat dan tidak mustahil mereka akan terus mentohmah para ulama lain lagi dengan membawakan berita-berita yang tidak bertepatan.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Bukan termasuk umatku orang yang tidak memuliakan orang dewasa kami, menyayangi anak kecil kami dan menghormati ulama kami.
(Riwayat Ahmad).
Namun mungkin ada yang berkata Syeikh Prof. Dr. Muhammad Sayyid Tantawi adalah ulama yang dipilih oleh kerajaan, jadi pendapat beliau harus ditolak terus. Saya katakan di sini, sememangnya beliau dipilih oleh kerajaan Mesir sebagai Syeikh al-Azhar, namun bukanlah semua pendapatnya harus ditolak kerana beliau juga terdiri daripada salah seorang para ulama besar al-Azhar yang diiktiraf keilmuannya sebelum beliau dilantik menjadi Syeikh al-Azhar lagi. Sememangnya keilmuan, kealiman dan kewarakannya adalah sebahagian dari sifat-sifat yang ada pada diri beliau. Namun saya tidak menafikan juga ada beberapa pandangan beliau yang dikritik oleh para ulama lain. Walaupun beliau pernah dikritik, ini tidak bermakna beliau bukan seorang ulama yang hebat kerana kritikkan di dalam menuntut ilmu Islam adalah sesuatu yang sihat.
Sabda Rasulullah S.A.W. bermaksud:
Sesungguhnya ulama itu adalah pewaris para nabi. Para nabi tidak mewariskan dinar dan dirham. Mereka hanya mewariskan ilmu. Maka barangsiapa yang mengambil (warisan ilmu) tersebut ia telah mengambil habuan yang paling sempurna.
(Riwayat Ahmad, Tarmizi, Abu Daud dan Ibnu Majah).
BAGAIMANAKAH MENGHADAPI KHILAF?
Perkara ini selalu saya ulangi pada setiap tulisan saya yang terdapat khilaf di antara para ulama. Namun masih ada segelintir golongan masih tidak berlapang dada atau menerima nasihat ini dengan hati yang terbuka. Jadi di sini saya akan mengingatkan semula perkara ini agar kesatuan dan keharmonian umat Islam terus terjaga.
Kaedah Fiqhiyah menyatakan bermaksud:
Tidak boleh dibantah sesuatu hukum yang berlaku khilaf di kalangan fuqaha. Hanya yang boleh dibantah ialah perkara mungkar yang disepakati oleh para ulama di atas pengharamannya.
(Lihat kitab: al-Asybah Wa al-Nazair Fi Qawaid Wa Furu Fiqh al-Syafiiyah karangan Imam Jalaluddin Al-Sayuti).
Maksud kaedah ini (di atas) secara lebih jelasnya ialah kita tidak boleh menafikan, membantah atau menuduh orang lain adalah tidak betul atau salah kepada orang lain yang memilih salah satu pendapat dalam perkara yang berlaku perselisihan pendapat ulama padanya. Malangnya jika dilihat fenomena hari ini terdapat segelintir golongan yang menyanggah dan menyalahi kaedah ini lantas menyalahkan orang lain yang tidak sependapat dengannya. Malah mereka hanya menyeru orang lain supaya memahami dan menerima pendapat mereka sahaja sedangkan mereka tidak melihat terlebih dahulu keadaan tempat dan suasana pada ketika itu. Inilah di antara masalah terbesar yang menimbulkan banyak kesan negatif kepada umat Islam di Malaysia khususnya semenjak sekian lama.
KESIMPULAN
Isu purdah ini hanyalah perkara khilafiyyah dan agak mustahil ia boleh mencapai kata sepakat daripada para ulama Islam sepanjang zaman. Perselisihan ini boleh dileraikan jika kita masing-masing boleh bertolak-ansur dengan mengutamakan sifat saling hormat-menghormati di antara satu sama lain. Inilah yang di jelaskan oleh Islam kepada pengganutnya. Di dalam mengangani isu pemakaian purdah ini secara baik, di sini saya simpulkan bahawa mana-mana perempuan Islam yang hendak memakai purdah maka kita tidak boleh menghalangnya atau mengejinya. Bagi sesiapa yang memilih untuk tidak memakai purdah pula maka kita juga tidak boleh menghalangnya atau mengejinya. Kedua-dua pihak adalah betul. Apa yang terlebih penting adalah: Bagaimana dengan perempuan Islam yang tidak menutup aurat?
‘Memberi dan Berbakti’
Wallahualam.
sumber: http://buluh.iluvislam.com/?p=62
~Al-FaQir ilallah~
Perindu Ilahi
No comments:
Post a Comment