Saturday, June 11, 2011

Rebutlah Pangkat Isteri Solehah

    
     Allah swt Maha Pemurah dan Penyayang ke atas hamba-hambanya. Bagi kaum wanita ada 4 tiket untuk mereka masuk ke syurga, iaitu apabila mereka berjaya menjaga sembahyang fardhu, puasanya di bulan Ramadhan, ketaaatan kepada suami dan kehormatannya. Melalui empat perkara ini juga menyebabkan seseorang wanita itu boleh mencapai taraf solehah dan bertaqwa.


      Begitu Penyayangnya Allah kepada insan yang bergelar wanita. Tetapi cuba kita renungkan kembali sejauh manakah kita telah berjaya meraih keempat-empat perkara ini dengan sebaik-baiknya. Sembahyang fardhu kebanyakannya tidak khusyuk. Semasa bersembahyang sahaja aurat ditutup tetapi selepas itu kita kembali dengan pakaian yang mendedahkan aurat. Puasa kita sekadar menahan lapar dan dahaga tetapi mulut masih mengumpat. Ketaatan kepada suami dibuat sambil lewa malah suami kadangkala dijadikan seperti lembu yang diikat hidungnya dengan tali (disuruh membuat itu dan ini). Ada yang menjadi pelacur dan menjual maruahnya untuk mendapatkan wang.


     Sepatutnya kita kena banyak menangisi diri yang gagal menunaikan amanah Allah itu. Rasulullah selepas di Isyrak Mikrajkan, baginda tidak henti-henti menangis kerana terlalu amat sedih dan sentiasa berdoa kepada Allah swt supaya kaum wanita dan umat-umat yang disayanginya diselamatkan dari azab api neraka. Bayangkanlah, baginda saksikan bahawa di dalam neraka itu 75% adalah terdiri dari kaum Hawa. Badan-badan kita akan disambar oleh api neraka dan terbakar rentung dan akan diperbaharui lagi daging-daging tubuh lalu dibakar lagi hingga mengikut sebanyak mana dosa yang telah kita lakukan itu. Beruntunglah bagi mereka-mereka yang beramal soleh. Wanita-wanita yang solehah akan disambut oleh 'wildan-wildan'nya (suami) diiringi dan serta diperelokkan kedudukannya di dalam syurga.


     Bila diceritakan mengenai peribadi wanita bertaqwa dan solehah pastilah mereka-mereka ini mendapat pendidikan agama yang secukupnya. Bila ilmu telah dipelajari lantas terus diamalkannya. Maka jadilah mereka insan-insan yang terdidik untuk mentaati segala perintah Allah dan menjauhkan segala larangannya. Orang-orang yang banyak menangis kerana takutkan neraka Allah. Orang-orang yang sanggup berkorban apa saja demi kepentingan hari akhirat. Orang-orang yang sanggup hidup susah dengan berbagai ujian dan rintangan; tidak putus asa serta selalu ingat mati demi rindunya mereka untuk melihat wajah Allah swt dan Rasulullah.



      Rebutlah pangkat wanita solehah yang bertaqwa kerana ianya tidak dapat dijual beli dengan dunia ini. Malahan tarafnya jauh lebih tinggi jika dibandingkan dengan apa jua pangkat nilaian di dunia ini. Semua kemegahan-kemegahan dunia ini tidak kekal lama dan biasanya kalau seseorang itu telah pencen ia akan kesepian dan dilupakan.


     Seorang isteri yang solehah, dia akan melayani suaminya begitu baik sekali sebab itu merupakan tuntutan yang telah diwajibkan ke atasnya untuk dilaksanakan setelah diikat dengan ikatan ijab dan kabul. Inilah perbezaannya taraf seorang isteri dengan seorang pelacur di mana dia juga memberikan layanan yang baik kepada pelanggannya. Tetapi layanannya itu atas dasar untuk mendapatkan wang. Manakala seorang isteri yang solehah setiap perkara yang dilakukan semata-mata untuk mentaati Allah, demi untuk mendapat keredhaan-Nya.


      Bila suami berhajat, hendaklah segera mendapatkannya dan tinggalkan kerja-kerja yang sedang dilakukan. Hiasilah diri dengan pakaian yang menarik, bersolek dan memakai bau-bauan. Jangan bimbangkan anak-anak yang menangis ketika itu kerana para malaikat sentiasa menjaga mereka sehingga kita selesai menunaikan amanah Allah terhadap suami kita dan mereka mendoakan semoga kita dikurniakan zuriat yang soleh dan solehah. Generasi yang bakal mengamankan dunia!


       Ramai juga kaum wanita hari ini berjaya melayani suaminya dengan baik tapi bila saja suami sebut hendak kahwin seorang lagi dia mula tarik muka empat belas, hempas itu, hempas ini malah boleh jadi perang besar. inilah yang dinamakan cinta nafsu. Dia mahu dia seorang sahaja menguasai kasih sayang suami. Padanya bermadu itu suatu yang hina dan tidak mengapa kalau si suami memiliki perempuan simpanan walau sebanyak manapun.


       Seorang isteri yang bertaqwa, dia tidak peduli samada hidupnya terpaksa bermadu dua, tiga atau empat sekalipun sebab itu bukan urusannya malah sebuah ketentuan dari Tuhan untuk menguji sejauh mana keikhlasannya melayani suami. Dia tidak akan ambil kisah sekiranya suaminya mengecilkan hatinya malah di hati kecilnya akan sering berkata, "Ini tugas aku dengan Allah, aku mesti laksanakan". Akhirnya tidak timbul perkelahian bila bermadu bila setiap isteri telah faham dengan kedudukannya.


      Hanya isteri solehah saja yang gembira bila dimadukan sebab suaminya telah menyelamatkan seorang lagi hamba Allah bila dikahwinkan. Bila seseorang itu telah berkahwin, InsyaAllah sembahyangnya akan lebih khusyuk kerana sebagagian dari agamanya telah diselamatkan. Di samping itu berkahwin juga boleh melembutkan hati dan menenangkan fikiran.

      Untuk mencapai makam isteri yang solehah dan bertaqwa bukanlah semudah yang diucapkan. Kita mesti berusaha untuk mengikis sebanyak mungkin mazmumah yang terdapat dalam diri dan selalu berharap kepada Allah supaya dimasukkan sifat-sifat mahmudah dan dibantu ketika sedang bermujahadah di dalam menghadapi berbagai ujian.


       Pecahkan hati dengan banyak menangis, bukan menangis kerana sayangkan harta dunia, takut dimadu dan sebagainya tetapi menangislah kerana takutkan azab Allah yang sangat pedih dan selalulah berindu-rindu untuk melihat wajah Allah. Sesiapa yang merindui Allah, Allah juga akan merinduinya dan Rasullah akan memberi syafaat kepada sesiapa yang merinduinya dan mereka akan bersama-samanya di dalam syurga kelak.

        Banyakkan berselawat kepada baginda. Hanya baginda saja yang diberi keistimewaan untuk mengenali umat-umatnya sedangkan nabi-nabi lain gagal berbuat demikian. Berkat umat-umatnya yang bersungguh-sungguh menjaga tujuh anggota lahirnya (mata, telinga, perut, kemaluan, mulut, kaki dan tangan) dari berbuat maksiat dan mengamalkan sungguh-sungguh lima hukum (wajib, sunat, makruh, halal dan haram) yang telah Allah tetapkan. Hanya mereka-mereka ini sajalah yang akan bercahaya-cahaya di Padang Mahsyar kelak dan dipimpin oleh Rasulullah untuk menuju ke syurga….:)
  
CINTA DAN KASIH SAYANG MANUSIA HANYALAH SETITIS…

JIKA DIBANDINGKAN DENGAN SELAUTAN CINTA DAN KASIH SAYANG ALLAH….

SEKIRANYA ENGKAU KEHILANGAN YANG SETITIS ITU…

IA TIDAK AKAN MENJEJASKAN KEHIDUPANMU…

SELAGI YANG SELAUTAN ITU MASIH ENGKAU MILIKI…

Benarkah Perbankan Islam Lebih Mahal & Zalim ?

Melalui tulisan ini, saya akan cuba menjawab beberapa persaoalan yang seringkali kedengaran di kalangan masyarakat Islam khususnya, bagaimanapun, sedikit malang kerana kerap kali isu yang dijaja ini tidak disandari oleh fakta yang jelas, spesifik dan mantap.

Silap Faham Masyarakat 

Masih segar di ingatan saya, salah seorang pemuda yang kelihatan kuat pegangan Islamnya mendekati saya lalu bertanya dengan soalan yang amat kerap saya mendengarnya
" Mengapa bank Islam lebih mahal dari yang Riba ? ". Tatkala saya bertanya apakah yang menyebabkan ia membuat kesimpulan demikian.
Lalu dengan tegas si pemuda ini menjawab : "Sebagai contoh" katanya dengan yakin, "Ibu saya mengatakan pembiayaan perumahan bank Islam jauh lebih tinggi dari Perbankan Konvensional, bagaimana tu ustaz ?" katanya sambil membulatkan matanya ke arah saya.
Saya bertanya kembali, " bagaimana cara ibu saudara mengira sehingga dapat jumlah itu? " kata saya, "adakah saudara tahu berapa kadar keuntungan yang dikenakan oleh Bank Islam dan berapa pula, yang dikenakan oleh Konvensional?" Tanya saya lagi.
Pemuda itu menjawab : "bank Islam ini mengenakan kadar 7.60 % setahun untuk tahun ke tiga ke tiga puluh", manakala bank konvensional hanya mengenakan  6.75 % , tambahan pula, bank islam kena bayar RM 1050 sebulan, bank konvensional hanya RM 850 sahaja " katanya membawa contoh dengan amat yakin.

Teknik Yang Tidak Disedari

Inilah antara bentuk kekeliruan yang menjalar di kalangan orang ramai yang ingin menggunakan perkhidmatan perbankan Islam di ketika ini. Mereka tidak dapat memahami cara kiraan yang betul menyebabkan mereka membuat keputusan dan kesimpulan yang salah. Bayangkan, Perbankan Islam hanya mengenakan 7.60 % (tahun 3-30 sebagai contoh), ini bermakna kadar ini tidak akan bergerak hinggalah 30 tahun itu, bukankah bank Islam menanggung risiko yang besar ?. Bank Konvensional tidak menawarkan bayaran bulana sedemikian kekal sehingga 30 tahun, ia akan disemak dari masa ke semasa.

Manakala jika dilihat kepada  pinjaman perumahan oleh produk konvensional, hampir kesemuanya memukau pelanggan dengan kadar rendah di tahun pertama, tetapi bagi tahun berikutnya kadarnya tidak dapat diketahui oleh pelanggan kerana ia bergantung kepada kadar peratusan BLR ( Base Lending Rate) atau Kadar Pinjaman Asas yang tidak tetap serta dicampur dengan 0.25 % (sebagai contoh). Bagaimana jika % BLR melambung tinggi seperti 10 % sebagaimana yang berlaku ketika krisis ekonomi?, bukankah tatkala itu, kadar interest yang perlu di bayar oleh pelanggan juga amat tinggi. Ini tidak akan berlaku dalam pengamalan bank Islam kerana di awal kontrak lagi telah menetapkan harga jualannya, tanpa terikat dengan BLR dan tidak akan naik malah mungkin boleh turun sekiranya bank Islam bermurah hati untuk memberikan rebate  (ibra') atau diskaun jika pihak pelanggan ingin membuat penyelesaian hutang awal ‘early settlement'. Perlu dingat bahawa BLR telah naik beberapa kali sepanjang tahun lepas dan tahun ini dari 6 % sehingga 6.75 %. Ia juga boleh melonjak lagi bergantung kepada keadaan ekonomi.
Ini bermakna, kenyataan yang menyebut perbankan Islam mengenakan kadar yang lebih tinggi untuk dibayar oleh pelanggan adalah kenyataan yang kurang tepat dan amat boleh dipertikai. Malah jika dilihat kepada kadar pembiayaan yang dikenakan oleh Perbankan Islam untuk produk-produk pembiayaan perniagaan juga membuktikan kadar adalah setara dengan yang di tawarkan oleh Bank Konvensional malah lebih murah dalam banyak keadaan. Hal ini sukar untuk didedahkan kerana sesuatu kadar pembiayaan itu bergantung kepada dua hal terpenting :-
·         a) Kadar Pengurusan Minima ( Cost of Fund ) sesebuah Bank islam itu.
·         b) Prestasi dan kekuatan sesebuah organisasi yang memohon pembiayaan.
·         c) Potensi and risiko perniagaan yang ingin diceburi.
Semua yang disebut di atas akan mempengaruhi kadar yang dikenakan kepada pemohon.

Zalim ? 

Saya sedar, bahawa walaupun saya telah menerangkan hujjah di atas, akan terdapat orang ramai yang mula menyebut :
" jadi mengapa hanya setanding dengan konvensional?, kami ingin kamu menjadi lebih murah".
"Bukankah bank Islam ni patutnya 'maqasid' (tujuannya) adalah untuk membantu umat Islam, lalu kenapa mahal ?" Tanya seorang pelajar Sarjana (MA) kepada saya di sebuah IPTA.
Ketika itu, saya memberikan ceramah khas berkenaan produk perbankan Islam di sana, turut hadir adalah Ketua Jabatan Fakulti Shariahnya. Lalu saya terus melihat kepada Prof ini lalu saya bertanya pula :
"Prof. jika saya nak buat PhD di sini dalam bidang Fiqh Islam & Perbankan Islam, berapa yurannya?"
" Lebih kurang RM 13,000" katanya
"Mengapa begitu tinggi Prof, kenapa tidak yurannya hanya RM 2000 sahaja?" tanya saya menguji.
"Mana boleh, macam mana nak bayar gaji pensyarah kalau begitu" tegas Prof tersebut.
Demikianlah dapat saya simpulkan hal di Perbankan Islam juga, harga yang ditawarkan adalah menurut kemampuan dan keperluan pasaran. Perlu difahami bahawa Islam menjaga hak penjual dan pembeli secara adil. Bukan hanya hak pembeli sahaja yang perlu dijaga.
Adalah dikira kezaliman pada kita sebenarnya, jika kita 'mengutuk' sebuah kedai nasi lemak seorang islam kerana menjual nasi lemak dengan harga RM2.00, dalam keadaan kedai bukan Islam menjual pada harag yang sama atau lebih murah sedikit. Padahal, si Muslim menjual dengan kadar harga yang ia mampu tawarkan, dan ia juga halal.

Kunci Untuk Faham 

Bagi meneruskan jawapan persoalan ini, adalah terlebih baik jika pembaca dapat menghayati fakta berikut terlebih dahulu :-

a) Bank-bank Islam adalah merupakan syarikat-syarikat berlesen dan berdaftar yang juga mensasarkan keuntungan agar organisasi dapat mara lebih maju lagi ke hadapan. Bagi mencapai sasaran itu, perbankan Islam menawarkan khidmat kewangan menurut Islam melalui produk-produknya yang diiktiraf Shariah. Ia bukannya badan kebajikan yang menawarkan perkhidmatan secara percuma.

b) Bank-bank Islam juga mempunyai pelabur-pelabur yang mengharapkan pulangan yang baik hasil pelaburannya, dan ia bukannya wang subsidi yang diberi secara percuma.

c) Bank-bank Islam juga mempunyai para kakitangan yang perlu di bayar gaji selaras dengan nilai pasaran. Keuntungan adalah amat penting bagi menjamin kakitangan yang berkualiti dapat di kekalkan bagi meneruskan "bank's efficiency" dan "its competitiveness".

d) Bank-bank Islam juga perlu membayar seluruh kos operasi bangunannya dan peralatan-peralatannya. Justeru jika khidmat yang di tawarkan adalah percuma dan amat murah, bagaimana mungkin sebuah bank Islam mampu terus berkembang.

Selepas memahami empat fakta di atas, cuba fahami fakta berikut pula :-

a) Jika anda mengatakan bahawa, perbankan Islam sepatutnya sentiasa lebih murah berbanding konvensional kerana ia perlu membantu orang ramai terutamanya orang Islam. Anda perlu menyedari bahawa, kebajikan dan kepentingan bank juga perlu dijaga agar mampu terus menerus membantu segenap lapisan masyarakat. Nabi SAW tidak membenarkan kawalan harga dibuat oleh kerajaan pada masa yang tidak terdesak. Ia adalah kerana Nabi SAW tidak mahu menghadkan hak peniaga bagi mendapat keuntungan, justeru, selagi mana ruang keuntungan masih berada di paras pasaran, ia adalah dibenarkan. (Mahanij Ijtihad Fi Istinbad bi rakyi, Dr Fathi Ad-Durayni, ketika menghuraikan isu tas'ir iaitu penetapan harga oleh kerajaan)

b) Jika anda mengatakan, perbankan Islam sepatutnya membantu orang-orang yang susah dan bukan semakin menyukarkan mereka. Maka anda perlu memahami bahawa jika sesebuah bank islam itu memperolehi keuntungan, ia akan mengeluarkan zakat bagi asnaf (kumpulan) yang layak menurut Shariah. Malah selain itu, Bank-bank Islam juga mempunyai peruntukan sumbangan kebajikan "charity" yang diberikan menurut keadaan. Bukankah itu juga membantu individu yang susah dan memerlukan.

Ini jelas, kerana orang yang benar-benar susah tidak akan mampu langsung untuk mendekati Bank dan mengajukan permohonan. Maka sesiapa yang diluluskan permohonannya oleh Bank-Bank Islam sebenarnya adalah orang yang agak senang. Justeru, bukankah amat baik apabila zakat yang dikeluarkan oleh Bank disalurkan kepada orang yang benar-benar susah berbanding yang sederhana susah. Kita perlu mengetahui bahawa jumlah peruntukan zakat yang sediakan oleh Bank-Bank Islam dan jendela "windows" perbankan Islam bagi tahun kewangan 2005 sebagai contoh adalah seperti berikut :  RHB ISLAMIC Bank : RM 920 ribu, HSBC Amanah : RM 49 ribu, Maybank "Islamic windows": 1.172 juta ; Public Bank "Islamic windows": 55 ribu ; Hong Leong Islamic : RM 45 ribu  Rujukan : Laporan setiap Bank Berkenaan bagi Tahun Kewangan 2005). Bukankah ini benar-benar membantu orang yang susah sebagaimana yang diinginkan?.

c) Keuntungan baik yang diperolehi oleh Bank-Bank islam juga akan membolehkan Bank ini meluaskan lagi jangkauan operasinya, selain memantapkan lagi keuntungan akan datangnya. Ia adalah amat baik kerana bakal menghasilkan lebih banyak peluang kerjaya baru bagi individu Muslim di Perbankan Konvensional yang ingin berhijrah ke perbankan Islam, ia juga mewujudkan banyak peluang pekerjaan buat rakyat sekaligus membantu mereka. Malangnya, ramai yang suka menyempitkan pemikiran mereka dengan hanya melihat kepada kadar-kadar pembiayaan sahaja.

d) Tidakkah anda sedar bahawa, apabila bank mendapat kentungan yang baik, maka ia juga akan menghasilkan kadar pulangan yang tinggi bagi penyimpan-penyimpan di akaun Islam sebagai contoh Akaun Mudharabah, sudah tentu penyimpan ini akan mendapat pulangan yang lebih besar. Demikian juga penyimpan yang menyimpan di dalam akaun simpanan jenis wadiah. Mereka juga berpeluang mendapat pulangan ‘hibah' yang lebih menarik. Ia juga satu lagi bentuk bantuan tetapi tidak disedari oleh orang yang merungut ini.

Jika hujjah ini masih lagi tidak mencukupi, saya sertakan lagi hujjah lain bagi memahamkan rakyat Malaysia terhadap perbankan Islam :-

1)      Nilai sesuatu yang halal adalah tidak ternilai.
Seorang usahawan Malaysia pernah memberitahu saya pengalamannya di London, bahawa harga ayam yang disembelih jauh lebih mahal dari ayam yang tidak di sembelih. Bagaimanapun, umat Islam tetap terpaksa membeli ayam yang mahal tadi demi memastikan makanannya halal walaupun ia lebih mahal.

Demikian analogi yang ingin saya utarakan; jikalau benar sekalipun tuduhan yang mengatakan produk Bank Islam lebih mahal ; perlu diingat ia telah dipastikan halal di sisi Shariah menerusi pengesahan Majlis Penasihat Shariah masing-masing berbanding produk-produk yang tidak di ‘sah' kan Shariah.

Satu fenomena yang agak ganjil berlaku hari ini apabila wujud di kalangan orang Islam yang amat mengambil berat agar tidak memakan makan yang dicampur dengan ayam tidak sembelih dan sebagainya, tetapi sering melupakan bahaya dosa keterlibatannya dengan Riba, sedangkan dosa Riba adalah jauh lebih berat dari memakan ayam bangkai atau khinzir.

2)      Kos tambahan untuk khidmat professional pengesahan Shariah.

Jika dilihat dari perspektif perniagaan dan logik pula. Perlu kita sedari bahawa  proses pengesahan Shariah amat diperlukan di dalam semua produk, aktiviti pelaburan dan pembiayaan oleh Bank Islam. Justeru, keadaan ini boleh di anggap sebagai satu proses penambah piawanan professional yang pastinya memerlukan kos masa, tenaga dan kepakaran tambahan. Keadaan ini sekali lagi menyebabkan semua produk yang di tawarkan Bank Islam adalah unik, istimewa dan melalui proses Shariah Screening. Sesuatu yang lebih unik dan berkualti sudah tentu mempunyai nilai pasaran yang sedikit berbeza.

3) Bank-bank Islam adalah pemain-pemain kecil yang sedang meningkat naik.
Ini ternyata dari statistik yang dikeluarkan oleh Laporan bank Negara Malaysia Tahun 2005 yang menyebut bahawa aset semua Bank-bank Islam dan Jendela Perbankan Islam di Malaysia sebanyak RM 111.8 Billion dan ia hanya merupakan 11.6 % dari kesleuruhan aset bank di Malaysia. Ini bermakna, bank konvensional masih menguasai industri perbankan dengan cukup jauh sekali. Bagaimanapun, kita bersyukur kerana prestasi perbankan Islam mencatatkan pertumbuhan sebanyak 17.7 % berbading tahun 2004.

Maka, sebagai pemain-pemain kecil yang sedang naik, kadangkala harga yang di tawarkannya mungkin lebih tinggi sedikit berbanding pemain-pemain besar. Ia bolehlah dianggap seperti harga barangan yang ditawarkan di Kedai Runcit di bandingkan dengan harga di hypermarket. Sebagai penguat hujah ini, seseorang perlu memahami bahawa sebuah bank konvensional yang mempunyai aset besar sekitar RM 150 billion (sebagai contoh), jika ia menghadapi hutang tidak berbayar (non performing loan) dari peminjamnya  berjumlah RM 150 juta, kedudukan Bank itu masih tidak tergugat. Bagaimanapun, sekiranya sesebuah bank Islam dengan asetnya berjumlah RM 8 billion, mempunyai jumlah nilai hutang tidak berbayar yang sama, sudah tentu ia akan amat memberikan kesan yang besar kepada jangka hayat bank Islam itu.

Kesimpulannya, Bank-Bank Islam serta kaunter/ jendela "windows" Islam hari ini perlu diberi lebih sokongan oleh semua rakyat demi memampukan ia mencapai tahap yang di gariskan kerajaan (iaitu 20 % aset perbankan Islam berbanding konvensional), malah mengatasinya. Jika hari ini kita sanggup berkorban sedikit demi memajukan bank-bank Islam, nescaya sudah pasti generasi akan datang mampu melihat dan menikmati kadar yang sangat hebat serta halal dari institusi kewangan Islam dan produk-produk Islam

Oleh:
Ust Zaharuddin Abd Rahman

Pakaian menutup aurat lindungi wanita Islam

Oleh: Ahmad Tarmizi Zakaria (B Harian, 15 Jan 2005)

KEPESATAN ekonomi negara membawa rahmat dan rezeki yang melimpah ruah kepada seluruh masyarakat. Kepesatan ini menyediakan peluang pekerjaan yang begitu banyak kepada rakyat, termasuk wanita.

Tidak dinafikan, ramai wanita Islam yang bekerja sama ada di sektor awam mahupun swasta. Bilangan ini semakin hari semakin bertambah dan tentulah mengundang pelbagai persoalan, terutama dari aspek berpakaian. Adakah sesuai atau tidak pakaian yang dipakai oleh wanita ketika bekerja iaitu dari sudut moral dan lebih-lebih lagi, dari sudut agama.

Dalam hubungan ini, Islam tidak mensyaratkan jenis, bentuk serta potongan pakaian tertentu yang seharusnya dipakai oleh seseorang wanita. Apa yang dikehendaki oleh agama adalah menutup aurat dan menjaga kesopanan serta kebersihan ketika bekerja.

Untuk itu, wanita yang sedar akan tanggungjawabnya sebagai hamba Allah, semestinya berasa terikat dengan peraturan dan hukum syarak. Mereka sentiasa sedaya upaya melakukan sesuatu yang diredai Allah.

Pada masa ini, dapat dilihat pelbagai bentuk fesyen yang kebanyakannya masih mendedahkan aurat. Ia berpunca daripada tiadanya kesedaran atau kefahaman terhadap peraturan pakaian sebenar menurut Islam. Oleh itu, masih ada umat Islam yang tidak faham pengertian aurat itu sendiri.

Hakikatnya, dalam Islam tidak ada satu peraturan tertentu dalam menentukan jenis pakaian. Hanya ditetapkan bahawa aurat wanita adalah keseluruhan tubuh badannya, kecuali bahagian muka dan dua tapak tangan hingga pergelangannya yang wajib ditutup.

Secara umumnya, dapatlah dikatakan bahawa perubahan fesyen pakaian wanita sekarang begitu berkembang luas. Perubahan ini mempengaruhi apa juga keadaan baik dalam keadaan bekerja atau pun tidak.

Bagaimanapun, harus diingat bahawa Islam bukan agama yang sempit dan menyusahkan umatnya. Islam juga tidak menentang permodenan, tetapi biarlah menjurus ke arah yang betul dan tidak terkeluar daripada lunas hukum syarak.

Ada sebilangan orang berasa tidak moden atau tidak mengikut zaman, apabila mereka tidak mengikuti perkembangan fesyen. Pendapat ini sebenarnya tidak salah sekiranya dia berpendirian untuk menjaga ketentuan hukum syarak yang tidak boleh diabaikannya. Namun, apa yang menjadi masalah sekarang, ada yang mengikuti perubahan fesyen hanya memenuhi keinginannya semata-mata tanpa memahami batas aurat dalam Islam.

Dalam menjaga kesejahteraan umat, Islam meletakkan beberapa garis panduan etika berpakaian yang mesti dipatuhi. Antaranya mengharamkan mendedahkan aurat wanita Islam di hadapan orang yang bukan muhrimnya.


Menutup aurat menurut pandangan Islam adalah berdasarkan syarat berikut:

1. Menutup seluruh badan kecuali muka dan kedua-dua belah tangan

Islam menentukan batas yang harus (boleh) dibuka iaitu muka dan dua tapak tangan, manakala bahagian lainnya pula wajib ditutup.

Firman Allah bermaksud: “Katakanlah (wahai Muhammad saw) kepada orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Amat Mendalam Pengetahuan-Nya mengenai apa yang mereka kerjakan. Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka, dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan jangan mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka atau bapa mereka atau bapa mentua mereka atau anak mereka atau anak tiri mereka atau saudara mereka atau anak bagi saudara mereka yang lelaki atau anak bagi saudara mereka yang perempuan atau perempuan Islam atau hamba mereka atau orang gaji daripada orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi mengenai aurat perempuan dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi daripada perhiasan mereka dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah. Wahai orang yang beriman supaya kamu berjaya." (Surah an-Nur, ayat 30 - 31)

2. Berpakaian yang tidak membayangkan kulit dan bentuk tubuh

Antara tujuan berpakaian menurut Islam untuk menutup atau melindungi bahagian tertentu pada badan. Tetapi, sekiranya wanita itu memakai pakaian nipis atau jarang hingga boleh dilihat warna kulitnya dan aurat yang sepatutnya ditutup, maka ini bererti pakaian yang dipakainya tidak berfungsi lagi.

Wanita yang berpakaian sebegini disifatkan oleh Rasulullah sebagai wanita berpakaian tetapi berbogel. Mereka bukan saja dilaknat oleh Allah, malah tidak berpeluang untuk mencium bau syurga. Sabda Rasulullah bermaksud: "Akan ada pada akhir umatku (kaum wanita) yang berpakaian menutup badan dan telanjang (yang berpakaian nipis atau membayangkan kulit badan/bentuknya), atas kepala mereka, laknatilah mereka sesungguhnya mereka golongan yang terlaknat."

3. Tidak memakai pakaian yang ketat

Antara tujuan menutup aurat untuk mengelak daripada berlakunya fitnah. Sekiranya wanita itu berpakaian ketat hingga jelas kelihatan potongan badan dan bahagian anggota tubuh badannya, maka keadaan ini boleh menimbulkan fitnah yang berakhir dengan pelbagai bentuk jenayah yang dikutuk oleh agama.

Usamah Bin Zaid menceritakan bahawa Rasulullah menerima hadiah sejenis kain Qibtiah yang tebal daripada seorang yang bernama Dahiyah Al-Kalbi. Rasulullah menghadiahkan pula kain itu kepada beliau (Usamah) untuk dibuat pakaian, tetapi Usamah pula memberikan kain itu kepada isterinya.

Suatu hari Rasulullah bertanya Usamah: "Kenapa engkau tidak memakai kain Qibtiah itu?" Usamah menjawab: "Aku telah berikannya kepada isteriku." Lalu Rasulullah berkata kepada Usamah: "Suruhlah isterimu mengalaskan kain itu dengan kain yang lain di bawahnya kerana aku bimbang sekiranya kain itu tidak dialas, maka akan kelihatanlah besar kecil tulang badan isterimu (bentuk tubuh badan isterimu)."

4. Tidak memakai bauan yang boleh menarik perhatian lelaki

Abu Musa al-Asy'ari meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Sesiapa juga wanita yang memakai minyak wangi kemudian melintasi khalayak ramai dengan tujuan supaya dihidu bau wangi yang dipakainya, maka dia dikira berzina."

Zainab al-Thaqafiah pula menceritakan bahawa Rasulullah bersabda bermaksud: "Jika salah seorang daripada kamu (kaum wanita) keluar untuk beribadat di masjid, janganlah memakai bau-bauan."

Jika difahami maksud hadis itu, wanita yang hendak ke masjid pun dilarang memakai bau-bauan, apatah lagi bagi mereka yang keluar bersia, ke tempat kerja dan sebagainya. Sudah tentu kesalahannya di sisi agama lebih besar.

5. Pakaian yang tidak menyerupai pakaian lelaki

Menurut hadis sahih daripada Rasulullah, dapat difahami bahawa Allah melaknat wanita yang meniru pakaian lelaki. Begitu juga lelaki yang meniru pakaian wanita.

Abu Hurairah meriwayatkan: "Rasulullah melaknat orang lelaki yang berpakaian perempuan dan orang perempuan yang berpakaian lelaki."

Hal ini bersesuaian dengan sifat seorang wanita yang mana Islam menyarankan agar kaum wanita memakai pakaian yang sesuai dengan sifat dan kejadian mereka, lemah-lembut dan bersopan-santun.

Kesimpulannya, Islam mewajibkan ke atas setiap wanita supaya memakai pakaian yang menutup aurat iaitu menutup seluruh badannya, kecuali muka dan dua belah tangan.


Mereka juga hendaklah memilih jenis kain yang tidak membayangkan warna kulit dan tidak juga memperlihatkan bentuk tubuh badan. Begitu juga dilarang ke atas mereka untuk menghiasi pakaiannya dengan hiasan dan bau-bauan yang boleh mempesona atau menarik perhatian ramai dan menimbulkan fitnah.

Sesungguhnya, Islam tidak menentukan fesyen dan bentuk pakaian yang mesti dipakai oleh seseorang wanita itu sama ada pada masa bekerja atau tidak. Apa yang penting ia tidak berlawanan dengan batas yang ditentukan syarak.

Allahua'lam..



Friday, June 10, 2011

Aurat Wanita

"Aurat Wanita dari Firman Allah dan Hadis-hadis Nabi:



1. Bulu kening

Menurut Bukhari, "Rasullulah melaknat perempuan yang mencukur atau menipiskan bulu kening atau meminta supaya dicukurkan bulu kening." Riwayat Abu Daud FiFathil Bari.


2. Kaki (tumit kaki)

Dan janganlah mereka (perempuan) membentakkan kaki (atau mengangkatnya) agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan." An-Nur: 31. Keterangan: Menampakkan kaki dan menghayunkan/melenggokkan badan mengikut hentakan kaki. 



3. Wangian 

"Siapa sahaja wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melewati suatu kaum supaya mereka itu mencium baunya, maka wanita itu telah dianggap melakukan zina dan tiap-tiap mata ada zina." Riwayat Nasaii, IbnKhuzaimah dan Hibban. 



4. Dada 

Hendaklah mereka (perempuan) melabuhkan kain tudung 

hingga menutupi dada-dada mereka. "An-Nur : 31 



5. Gigi 

Rasullulah melaknat perempuan yang mengikir gigi atau meminta supaya dikikirkan giginya. "Riwayat At-Thabrani, "Dilaknat perempuan yang menjarangkan giginya supaya menjadi cantik, yang merubah ciptaan Allah". Riwayat Bukhari dan Muslim. 



6. Muka dan leher 

"Dan tinggallah kamu (perempuan) di rumah kamu dan janganlah kamu menampakkan perhiasan mu seperti orang jahilliah yang dahulu." Keterangan: Bersolek (make-up) dan menurut Maqatil sengaja membiarkan ikatan tudung 

yang menampakkan leher seperti orang Jahilliyah. 



7. Muka dan Tangan 

"Asma Binte Abu Bakar telah menemui Rasullulah dengan memakai pakaian yang tipis. Sabda Rasullulah: Wahai Asma! Sesungguhnya seorang gadis yang telah berhaid tidak boleh baginya menzahirkan anggota badan kecuali pergelangan tangan dan wajah saja." RiwayatMuslim dan Bukhari. 



8. Tangan 

"Sesungguhnya kepala yang ditusuk dengan besi itu lebih baik daripada menyentuh kaum yang bukan sejenis yang tidak halal baginya". Riwayat At Tabrani dan Baihaqi. 



9. Mata 

"Dan katakanlah kepada perempuan mukmin hendaklah mereka menundukkan sebahagian dari pemandangannya." An Nur : 31. Sabda Nabi SAW, "Jangan sampai pandangan yang satu mengikuti pandangan lainnya. Kamu hanya boleh pandangan yang pertama, pandangan seterusnya tidak dibenarkan." Riwayat Ahmad, Abu Daud danTirmidzi. 



10. Mulut (suara) 

"Janganlah perempuan-perempuan itu terlalu lunak dalam berbicara sehingga berkeinginan orang yang ada perasaan serong dalam hatinya, tetapi ucapkanlah 

perkataan-perkataan yang baik." Al Ahzab: 32. Sabda SAW, "Sesungguhnya akan ada umat ku yang minum arak yang mereka namakan dengan yang lain, iaitu kepala mereka dilalaikan oleh bunyi-bunyian (muzik) dan penyanyi perempuan, maka Allah akan tenggelamkan mereka itu dalam bumi." Riwayat Ibn Majah. 



11. Kemaluan 

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan mukmin, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka dan menjaga kehormatan mereka. " An Nur : 31. "Apabila seorang perempuan itu sembahyang lima waktu, puasa di bulan Ramadhan, menjaga kehormatannya dan mentaati suaminya, maka masuklah ia ke dalam syurga daripada pintu-pintu yang ia kehendakinya." Riwayat Al Bazzar. "Tiada seorang perempuan pun yang membuka pakaiannya bukan di rumah suaminya, melainkan dia telah membinasakan tabir antaranya dengan Allah." Riwayat Tirmidzi, Abu Daud dan Ibn Majah. 



12. Pakaian 

"Barangsiapa memakai pakaian yang berlebih-lebihan, maka Allah akan memberikan pakaian kehinaan di hari akhirat nanti." Riwayat Ahmad, Abu Daud, An Nasaii danIbn Majah. "Sesungguhnya sebilangan ahli neraka ialah perempuan-perempuan yang berpakaian tapi telanjang yang condong pada maksiat dan menarik orang lain untuk melakukan maksiat. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan mencium baunya." Riwayat Bukhari dan Muslim. Keterangan: Wanita yang berpakaian tipis/jarang, ketat membentuk dan berbelah/membuka bahagian-bahagian tertentu."Hai nabi-nabi katakanlah kepada isteri-isterimu, anak perempuan mu dan isteri-isteri orang mukmin, hendaklah mereka memakai baju jilbab (baju labuh dan longgar) yang demikian itu supaya mereka mudah dikenali. Lantaran itu mereka tidak diganggu. Allah maha pengampun lagi maha penyayang." Al Ahzab : 59. 



13. Rambut

"Wahai anakku Fatimah! Adapun perempuan-perempuan yang akan digantung rambutnya hingga mendidih otaknya dalam neraka adalah mereka itu di dunia tidak mahu menutup rambutnya daripada dilihat oleh lelaki yang bukan mahramnya." Riwayat Bukhari dan Muslim.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Photobucket